Segala artikel yang disiarkan di laman blog ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ianya tidak mewakili mana-mana parti, orginasasi atau mana-mana pertubuhan. Jika berlaku sebarang kecelaruan emosi ketika membaca atau menyaksikan bahan-bahan yang dipaparkan ianya di luar tanggungjawab penulis. Ingin berkongsi artikel dan maklumat yang menarik emelkan kepada : Koboimacho@gmail.com"

NUFFNANG

TRANSLATE

Selasa, 3 Jun 2014

Jika Was was makan Coklat Cadbury sila baca ini,mungkin dapat membantu ?

Berhubung isu coklat Cadbury, saya berpendapat:

1) Rakyat Malaysia beragama Islam wajar meletakkan kepercayaan kepada bahagian Halal JAKIM yang merupakan autoriti di dalam hal seumpamanya di Malaysia. Saya yakin SOP mereka dan juga tahap profesionalisme mereka di dalam isu pelabelan halal boleh diyakini. Sebarang penyalahgunaan label mereka adalah di luar kawalan makmal mereka. Keputusan JAKIM yang mengesahkan bahawa dua jenia coklat Cadbury yang dikatakan mengandungi DNA babi (porcene) adalah tidak benar dan status kehalalannya kekal adalah wajar dipercayai dan diiktiraf oleh rakyat Malaysia beragama Islam.

2) Keputusan Jabatan Kimia menguatkan lagi dan mengesahkan lagi kredebiliti pengesahan JAKIM. Jabatan Kimia merupakan pihak yang tiada kepentingan di dalam isu ini, dan pihak yang lebih lama mempunyai reputasi dan kredebiliti di dalam hal ini. Hasil kajian mereka sewajarnya diterima dan dijadikan kata pemutus berhubung penemuan DNA babi di dalam dua jenis coklat Cadbury. Kedua-dua JAKIM dan jabatan Kimia adalah 'ahl dhikr' (pihak yang mempunyai autoriti di dalam bidang mereka) yang wajar dijadikan rujukan oleh rakyat Malaysia beragama Islam di dalam isu halal dan haram.

3) Pihak KKM wajib bertanggungjawab untuk bersikap telus demi menjaga kredebiliti mereka. Sumber coklat yang mereka uji, pihak yang telah menyerahkan sampel tersebut dan juga pihak yang telah membocorkan maklumat hasil kajian mereka kepada media sosial yang sepatutnya dirujuk kepada JAKIM sebagai pihak yang berautoriti perlulah didedahkan dan mengambil tanggungjawab. Hal ini amat perlu berteraskan konsep transparency (ketelusan) dan akauntabiliti. Tindakan ini juga perlu memandangkan apa yang berlaku dan ditumbilkan oleh pihak KKM telah menyebabkan suasana tidak tenteram dan kegelisahan melampau di kalangan rakyat Malaysia beragama Islam.

4) Pihak Cadbury sebagai sebuah syarikat pengeluar coklat bertaraf antarabangsa wajar diakui ketinggian integriti mereka, terutamanya di dalam proses pengeluaran dan persijilan. Kekeliruan yang timbul tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menjatuhkan langsung nama dan juga reputasi syarikat berkenaan yang telah bersikap profesional dan tidak gopoh di dalam mendepani isu tersebut. Walau bagaimanapun, demi memperbaiki kerosakan imej mereka yang kritikal di kala ini, samada di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa, mereka perlulah menubuhkan badan penasihat Syariah atau Halal advisory council untuk memantau proses pembuatan mereka dan memberikan keyakinan kepada para pelanggan Muslim samada di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa. Penubuhan Syariah advisory council di pihak Cadbury juga akan meningkatkan kredebiliti Cadbury untuk jangkamasa yang panjang.

5) Bagi pihak konsumer Muslim di Malaysia pula, sikap kepekaan dan sensitiviti berhubung halal haram  berhubung isu Cadbury amatlah dihargai. Hal ini menunjukkan bahawa penjagaan Syariat, walaupun dalam isu terpilih, masih mengalir di dalam pengamalan rakyat Muslim terbanyak. Walau bagaimanapun, sikap reaksi melampau sesetengah pihak yang merupakan kesan normal di kalangan rakyat Melayu Muslim di dalam berhadapan isu yang berkaitan sentimen perlulah diperbaiki di masa-masa hadapan. Konsep bertenang dan tidak mudah melatah, sikap profesional di dalam menerima sebarang maklumat di media-media sosial dengan bersikap kritikal dan memastikan kesasihan sumber perlu dipertingkatkan. Islam amat menitil beratkan sikap profesional dan sikap berhati-hati di dalan menerima maklumat, bertindak di atas maklumat yang tersebar mahupun di dalam membuat apa-apa hukuman ke atas pihak yand dituduh aehinggalah bukti dan juga penghukuman telah dikeluarkan oleh pihak yang berautoriti.

6) Di samping itu, umat Islam juga perlu mengelakkan menghukum sebelum sesuatu isu itu diputuskan oleh pihak yang bertanggungjawab perlu diamalkan. Sikap kegopohan dan tidak cermat di dalam membuat kenyataan seperti ingin membakar kilang Cadbury, ingin menyaman, memaksa Cadbury menanggung prosea penyucian darah dan juga menyebarkan teori konspirasi bahawa pihak musuh Islam ingin merosakkan umat Islam melalui coklat Cadbury ataupun lebih malang menuduh bahawa JAKIM atau kerajaan BN mempunyai kepentingan di dalam syarikat Cadbury adalah terlalu emosional, tidak berjejak di atas fakta dan terlalu prejudis serta tidak Islamik. Sikap tidak Islamik seperti ini tidak akan membantu umat Islam mahupun agama Islam itu sendiri. Walau bagaimanapun, dengan bersikap profesional, ia tidak bermaksud umat Islam tidak perlu peka dan tidak sensitif di dalam isu-isu pengguna. Umat Islam wajib pro-aktif di dalam memperjuangkan isu-isu kepenggunaan dan isu halal-haram berdasarkan tuntutan prinsip 'Islah' yang sentiasa lestari di dalam Syariat Islam.

7) Berdasarkan sikap pro-aktif di dalam isu halal haram, umat Islam di Malaysia juga wajib meluaskan momentum mereka di dalam memerangi riba, rasuah, penyalahgunaan wang awam dan juga ketirisan di dalam penggunaan dana negara. Keharaman riba, rasuah dan salahguna wang rakyat di pihal mana sekalipun adalah lebih besar dari isu coklat Cadbury.

8) Golongan intelektual Muslim perlulah menjadi kumpulan yang memberikan pencerahan, bimbingan dan panduan ketika rakyat dilanda kegelisahan kolektif kerana dilanda isu sensasi yang berkait dengan sentimen. Mereka tidak seharusnya bersikap gopoh, melatah dan terlalu populis dengan mengikuti arus yang timbul tanpa berpihak di atas fakta, metod yang sahih dan juga tahap profesionalisme yang tinggi.

Dr Maszlee Malik
Pensyarah kanan
Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh,
Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Catat Ulasan