Segala artikel yang disiarkan di laman blog ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ianya tidak mewakili mana-mana parti, orginasasi atau mana-mana pertubuhan. Jika berlaku sebarang kecelaruan emosi ketika membaca atau menyaksikan bahan-bahan yang dipaparkan ianya di luar tanggungjawab penulis. Ingin berkongsi artikel dan maklumat yang menarik emelkan kepada : Koboimacho@gmail.com"

NUFFNANG

TRANSLATE

Ahad, 1 Jun 2014

Dua Sampel Coklat Cadbury Diambil Terus Dari Kilang – Jamil Khir

BANGI, 1 Jun – Dua sampel coklat Cadbury, yang didakwa mengandungi DNA khinzir, diambil terus dari kilang pembuatan bagi mengelak sebarang pencemaran, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata sampel itu juga diteliti makmal yang terletak di Petaling Jaya dan telahpun diberikan autoriti oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengeluarkan sijil halal.
Makmal itu juga diwarta sebagai makmal makanan yang kompeten dalam menganalisis makanan selain mendapat akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia berdasarkan Standard MS ISO/IEC 17025: 2005 bagi pengujian DNA, termasuk pengujian produk makanan terproses.
“Untuk Kementerian Kesihatan Malaysia, makmal mereka didedikasikan bukan untuk menentukan halal dan DNA berunsur khinzir tetapi hanya penemuan sampingan, sampel mereka juga bukan dari kilang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perasmian Ijtima Ahlus Sunnah Wal Jamaah bersempena program Dakwah Negara 2014 di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.
Jamil Khir berkata sumber sampel juga merupakan perkara yang penting dalam meneliti kandungan bahan itu di makmal sama ada melalui orang persendirian, kedai atau kilang.
Justeru, beliau meminta orang ramai agar menunggu sehingga Rabu ini iaitu selepas tujuh hari waktu bekerja bagi mendapat pengesahan berkaitan kedua-dua produk.
Khamis lepas, Jakim berkata keputusan rasmi berhubung status halal berikutan penemuan DNA khinzir dalam dua sampel coklat Cadbury akan diumum sebaik keputusan analisis Jabatan Kimia diperoleh dalam tempoh tujuh hari.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Jakim bersama-sama Kementerian Kesihatan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Standard Malaysia.
Mesyuarat turut memutuskan agar Kementerian Kesihatan menghantar secara rasmi laporan hasil penemuan analisis kedua-dua sampel produk berkenaan kepada Jakim bagi melengkapkan hasil siasatan.
Catat Ulasan