Yayasan Restu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terkenal dalam penghasilan manuskrip Al-Quran bertulisan tangan, akan menganjurkan Festival Warisan Rasul dan Anbia mulai esok hingga 7 Julai ini dalam usaha mendedahkan kepada masyarakat mengenai tamadun umat Islam dan kemasukan pengunjung adalah percuma kecuali di tempat tertentu yang memerlukan kos tinggi bagi menyediakan pameran di mana bayaran RM5 dikenakan untuk orang dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak
Pengerusinya, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, festival itu yang akan diadakan di Kompleks Taman Seni Islam Selangor, Persiaran Damai, Seksyen 10 di sini, bersebelahan Masjid Negeri Shah Alam, akan turut mengadakan aktiviti memanah, kursus singkat mengenai penyembelihan, pengurusan jenazah dan resepi pemakanan sunnah.
Selain pedang Rasulullah SAW dan sahabat baginda, mushaf Al-Quran termasuk koleksi lama, artifak kegemilangan Melayu dan Al-Quran Mushaf Palestin akan turut dipamerkan, katanya di sini hari ini.
Festival itu turut mengadakan majlis ilmu, tazkirah, kuliah, kelas tafsir, seminar dan diskusi serta gerai jualan bahan ilmiah, pakaian dan produk makanan serta kesihatan berasaskan sunnah, serta pertandingan khat, hafazan al-Quran dan persembahan nasyid, katanya.
Beliau berkata pameran itu juga akan memanfaatkan teknologi moden dan teknologi maklumat (ICT) sebagai medium dakwah yang lebih efektif
Tiada ulasan:
Catat Ulasan