Pembelian aset tentera tidak pernah lagi dipolitikkan sebegini rupa sepertimana yang dilakukan oleh SUARAM terhadap kapal selam Scorpene.
Kes kapal selam ini ‘timbul’ lagi di Bangkok baru-baru ini bila SUARAM membuat sidang media untuk memberi taklimat tentang perkembangan siasatan oleh pihak berkuasa di Perancis.
Mengakui bahawa ia berbunyi seperti filem aksi risikan Hollywood, SUARAM terus mendahului mahkamah menuduh kerajaan korup dan Perdana Menteri sebagai pembunuh!
Menurut hakim, siasatan ini tidak akan selesai dalam masa 2-3 tahun. Jadi, kenapakah SUARAM tidak boleh duduk diam sementara menunggu keputusan? Kenapa mesti ada kenyataan akhbar? Kenapa perlukan publisiti? Kenapa sekarang?
Bercakap mengenai kes ini, seseorang itu harus mempunyai sedikit pengetahuan mengenai latarbelakang SUARAM. Dengan Pilihanraya Umum semakin hampir, motif SUARAM ‘membangkitkan orang mati’ adalah jelas.
SUARAM adalah NGO yang amat kritikal terhadap kerajaan. Ini kita faham kerana ia ditubuhkan oleh keluarga bekas tahanan ISA. Dalam ertikata lain, ia ditubuhkan berasaskan dendam kesumat serta hidup atas keinginan untuk membalas dendam terhadap kerajaan. Dan bekerjasama dengan pembangkang adalah cara terbaik untuk melakukannya.
Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, tanpa agenda jahat atau tersembunyi, seharusnya SUARAM membiarkan saja kes ini berlangsung dengan ‘aman’ di mahkamah.
Tetapi SUARAM tidak boleh duduk diam. Mereka perlu merosakkan imej kerajaan dan mencemarkan nama baik Perdana Menteri untuk membantu pembangkang mendapat sedikit keuntungan politik sehingga pilihanraya.
Jika penipuan mereka terdedah selepas pilihanraya, biarkanlah. Tetapi buat masa ini, SUARAM berazam untuk terus menipu kononnya PM dan isteri telah membunuh Altantuya, seorang model dari Mongolia yang didakwa sebagai seorang penterjemah dan dibunuh atas alasan meminta bahagiannya dalam komisen pembelian kapal selam Scorpene.
Tetapi penipuan mereka telah pun terdedah. Skrip asal filem risikan Hollywood telah dimusnahkan oleh penulisnya sendiri iaitu Raja Petra Kamaruddin (RPK).
Di dalam satu wawancara, RPK telah mendedahkan bagaimana dia mereka-reka keseluruhan cerita berkenaan ‘dengar cakap’ setelah diarahkan oleh orang-orang tertentu dalam pembangkang.
Skrip ini juga terlalu dramatik sehingga tidak selari dengan fakta. Fakta kekal merekodkan bahawa pada masa kejadian, PM sedang menghadiri program berbuka puasa di Kedah dan isterinya, Datin Seri Rosmah menghadiri program yang sama bersama anak-anak yatim di Bangunan Tabung Haji, Kuala Lumpur.
Terdapat video, gambar dan juga alibi yang mengesahkan bahawa Datin Seri Rosmah tidak berada di tempat kejadian sepertimana yang ditulis dalam skrip asal RPK.
PM tidak mengenali Altantuya, dan itu juga adalah fakta. Gambar superimpose lemah yang disebarkan oleh Tian Chua, Naib Presiden PKR yang menunjukkan mereka bersama adalah dengan sendirinya bukti bahawa pembangkang adalah penipu.
Bagi menegaskan bahawa beliau tidak mengenali wanita itu, PM lebih dari bersedia untuk bersumpah atas nama Allah mengikut hukum Islam, dan beliau melakukannya bukan sekali, tetapi 4 kali. Tiada seorang Islam yang waras yang berani bersumpah atas nama Allah jika mereka benar-benar bersalah.
Mahkamah Malaysia bukan sahaja tidak dapat menjumpai apa-apa untuk mengaitkan PM atau isteri dengan pembunuhan itu tetapi juga tidak menyebut langsung mengenai komisen atau kewujudan seorang penterjemah dalam perbicaraan.
Mahkamah Malaysia bukan sahaja tidak dapat menjumpai apa-apa untuk mengaitkan PM atau isteri dengan pembunuhan itu tetapi juga tidak menyebut langsung mengenai komisen atau kewujudan seorang penterjemah dalam perbicaraan.
Ini kerana, Altantuya bukan seorang penterjemah dan tiada penterjemah diperlukan dalam transaksi Scorpene memandangkan semua perbualan dan dokumentasi dilakukan dalam bahasa Inggeris.
Justeru, melihat dari semua ini, tidak syak lagi bahawa Scorpene dan nyawa Altantuya hanyalah permainan politik bagi pembangkang…dan juga SUARAM.
SUARAM menyatakan bahawa mereka telah mendapat capaian penuh kepada 153 kertas siasatan dari pejabat pendakwaraya dan kini memberi taklimat secara terpilih dari senarai tersebut.
Jelas bahawa SUARAM cuba membayangkan pertubuhannya sebagai bebas dan punya kuasa untuk menentukan keadilan. Di mana, dalam kes ini, SUARAM hanyalah plaintif atau pengadu yang tiada hak untuk membuat keputusan sama ada korupsi berlaku atau tidak, apa lagi mengaitkannya dengan pembunuhan.
Walaubagaimanapun, SUARAM mengakui bahawa mereka tidak dapat membawa keluar bukti dari Perancis dan taklimat tersebut adalah berdasarkan kata-kata mereka semata-mata.
Kita telah mendengar kata-kata SUARAM dan semakin banyak kita dengar, semakin pelik bunyinya. Bagaimana kita memegang kata-kata keluarga orang-orang yang ditangkap di bawah ISA – iaitu orang-orang yang berpotensi membahayakan keselamatan negara?
Bagaimana kita hendak memegang kata-kata manusia yang penuh dengan dendam kesumat? Bagaimana kita HENDAK memegang kata-kata mereka yang telah terbukti menipu rakyat Malaysia?
Dalam menghalusi motif SUARAM, kita harus bersetuju bahawa dendam sahaja tidak akan menjana wang. Jadi, di mana agaknya SUARAM mendapat wang untuk mengupah peguam Perancis yang mahal, antaranya, Joseph Breham dan William Bourdon untuk mewakili mereka?.
Apakah mereka dibayar mengikut jam sepertimana kebanyakan peguam barat dan Eropah? Ambil maklum bahawa peguam-peguam ini dibawa ke Malaysia dan Bangkok untuk tujuan publisiti. Dan berapa ramai pula pegawai SUARAM di Perancis yang memantau kes ini? dan untuk berapa lama?
Siapakah yang menanggung kos penginapan, pengangkutan, perjalanan, makan-minum, dokumentasi dan segala-galanya?…dan berapakah jumlahnya?
Kita tahu bahawa SUARAM adalah sebuah pertubuhan yang kecil, hampir tidak dikenali langsung di kalangan rakyat biasa di Malaysia. Bagaimana mereka mampu membiayai semua ini?
Penulis percaya, ramai yang akan bersetuju bahawa nampaknya SUARAMlah yang perlu disiasat dan dibicarakan oleh rakyat yang inginkan kebenaran, bukannya kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan