Ustaz Fathul Bari Mat Jahya September 14, 2012 Alhamdulillah, kita merafa’kan setinggi kesyukuran kepada Allah SWT, kita telah menyambut kemerdekaan yang ke-55. Merujuk kepada apa yang dibacakan oleh Tuan moderator sebentar tadi, sandaran hadis kepada Nabi SAW; “cintakan negara itu sebahagian daripada iman”. Sebenarnya perkataan ini bukan merupakan perkataan Nabi SAW, seperti yang dinyatakan oleh Al Imam Ash Shaghani apabila beliau mengulas hadis ini, kata beliau hadis ini maudhu (palsu) yakni hadis yang direka cipta. Ia bukanlah perkataan Nabi SAW .
Walaubagaimanapun, ia merupakan perkataan ilmuwan-ilmuwan terdahulu yang cuba menghubungkan tugas dan tanggungjawab kita kepada Negara dengan iman kepada Allah SWT. Maka mereka berkata cintakan Negara sebahagian daripada iman.
Walaupun ia bukan perkataan Nabi, ia membawa kepada pengertian dan makna yang sahih sekiranya dilaksanakan dengan betul. Maksud dilaksanakan dengan betul, kita mencintai sesuatu mesti ada batasannya. Sepertimana kita sayang, cinta dan kasih kepada anak-anak dan isteri kita, kita bukan menuruti semua kehendak mereka. Ada batasan sebagaimana firman Allah SWT,
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَاErtinya: “Itulah batasan-batasan Allah, maka janganlah kamu melampauinya.” (surah Al-Baqarah, 2: 230)
Maka dalam seluruh urusan kehidupan kita, kita mencintai mahupun membenci sesuatu ada batasannya. Dalam beribadat, beristirehat, makan minum, berpakaian juga ada batasan, dan kita tidak boleh melampaui batasan tersebut.
Begitu juga apabila kita membahaskan tentang “mencintai Negara itu sebahagian daripada iman”, kita tidak boleh melampaui batas sehingga segala sesuatu yang dipraktikkan tetapi bercanggah dengan prinsip Islam kita cintai juga.
Di Amerika, presidennya Barack Obama terpaksa menerima LGBT. Di Amerika tidak ada masalah untuk berkahwin sesama jantina, kerana mereka memberikan kebebasan itu tanpa had atau batasan.
Apabila kita mengatakan mencintai Negara dengan batasan, bererti kita tidak mencintai Negara secara mutlak dan bukan pula kita tidak boleh mencintai Negara. Ditunjuk di dalam hadis Nabi SAW, apabila baginda dihalau daripada Makkah baginda menyebut,
“Engkau wahai Makkah merupakan satu bumi yang baik dan paling aku cintai, kalau sekiranya kaummu tidak mengeluarkan aku darimu nescaya aku tidak akan tetap di mana-mana tempat selain daripadamu.”
Nabi SAW menggambarkan cintanya kepada Makkah Al Mukarramah. Begitu juga di Madinah Al Munawwarah, Nabi SAW berdoa kepada Allah SWT,
اللَّهُمَّ، حَبِّبْ إِلَيْنَا الْمَدِيْنَةَ، كَحُبِّنَا مَكَّةَ أَوْ أَشَدَّErtinya: “Ya Allah, cintakanlah kepada kami Madinah, sebagaimana kecintaan kami kepada Makkah, atau lebih.” (riwayat Bukhari dan Muslim)
Begitu juga dalam hadis yang lain diriwayatkan ketika Nabi SAW pulang dari musafir, baginda melihat ke dalam tingkap-tingkap Madinah, dan baginda menurunkan barang-barang yang baginda bawa, menggerak-gerakkan haiwan tunggangan baginda. Kata ulama hadis yang meriwayatkan hadis ini, perbuatan Nabi ini adalah kerana baginda suka dan cinta kepada Madinah.
Walaupun Makkah dan Madinah merupakan dua bumi suci selain dari Baitul Maqdis yang kita dituntut untuk mengasihinya, kata Al-Imam Al-Hafidz Ibn Hajar Al-Atsqalani, ia juga merupakan dalil perkataan Nabi SAW yang menunjukkan keharusan dan tuntutan untuk kita mengasihi negara kita.
Maka walaupun slogan mencintai negara tadi bukan dari perkataan Nabi, bukan hadis Nabi, tetapi ia membawa kepada makna yang betul, iaitu kecintaan berasaskan garis panduan dan prinsip yang betul.
Apabila kita menghubungkan antara kecintaan negara dengan iman, kita pergi kepada takrifan iman. Kata ahli ilmu seperti Imam Al Bukhari rhm, iman itu terdiri daripada perkataan dan perbuatan.
Ditafsirkan lagi apa itu perkataan; perkataan merujuk kepada perkataan hati dan lisan. Perbuatan pula merujuk kepada perbuatan hati dan perbuatan anggota badan. Sebab itu takrifan umum iman iaitu membenarkan dengan hati, mengungkapkan dengan lisan, mempraktikkan dengan anggota badan.
Maknanya iman tidak akan terpisah dengan amal. Seseorang tidak boleh mengatakan dia beriman tanpa amal, begitu juga tidak boleh beramal tanpa iman. Iman dan amal perlulah bergandingan; membenarkan di hati, mengungkapkan dengan lisan, serta dibuktikan dengan anggota badan.
Firman Allah SWT,
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي اْلأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلاَةَ وَءَاتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ اْلأُمُورِ“Orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan shalat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan. (surah Al-Hajj, 22: 41)
Maka adalah menjadi tugas dan tanggungjawab untuk kita terus mempertahankan dan mencintai negara ini kerana kita pada hari ini masih lagi mampu menunaikan solat 5 waktu sehari semalam. Adakah siapa-siapa yang menghalang kita? Adakah terdapat di mana-mana masjid yang mana kita disekat daripada melakukan shalat di dalamnya, atau mana-mana masjid yang diroboh kerana kebencian terhadap Islam?
Ini adalah asas yang disebut di dalam Al Quran. Sebab itu diriwayatkan juga di dalam hadis, apabila Nabi SAW hendak menyerang satu kawasan, baginda menghantar delegasi perang (tentera). Sampai sahaja di kawasan tersebut, Nabi SAW mendengar laungan azan. Selesai mendengar laungan azan, kata Nabi SAW,
“Tinggalkan (jangan perangi mereka), kerana syiar Islam tertegak di situ.”
Syiar yang terbesar, yang zahir adalah solat.
الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَر“Perjanjian antara kita dan mereka (kafir) adalah shalat. Barangsiapa yang meninggalkannya, maka ia telah kafir (boleh membawa kepada kekufuran)”.
Solat juga boleh dikiaskan dengan hubungan dengan Allah SWT.
Kedua adalah menunaikan zakat, kiasan kepada hubungan dengan manusia. Kata Nabi SAW ketika menjelaskan tentang zakat,
تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْErtinya: “Zakat diambil dari orang-orang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin di kalangan mereka.” (Muttafaqun ‘alaih)
Zakat menggambarkan hubungan sesama manusia. Dan ditutupi ayat tersebut dengan amar ma’ruf dan nahi munkar. Kita berada dalam negara yang berusaha untuk menyuruh dan mengarahkan rakyatnya melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Maka inilah ciri-ciri negara yang dinyatakan oleh Allah yang seharusnya kita cintai dan pertahankan.
Sebagai penutup, kita tidak menafikan bahawa kelemahan, kekurangan, ketidaksempurnaan ada di mana-mana. Tidak ada Negara Islam pada hari ini yang sempurna. Seperti mana Nabi SAW sendiri berhadapan dengan situasi seperti ini.
Ketika di Madinatul Munawwarah, baginda berhadapan dengan golongan yahudi yang mengkhianati perjanjian Piagam Madinah, Nabi berhadapan dengan permasalahan. Kita pada zaman sekarang, jauh daripada zaman Nubuwwah, jauh dari zaman keberkatan, jauh daripada zaman Nabi SAW, kita berhadapan dengan pelbagai isu dan permasalahan.
Cuma selama mana syiar Islam itu masih syiar yang besar, hubungan kita dengan Allah dibebaskan, kita dibiarkan melaksanakan syiar Islam secara terbuka, berhubung dengan manusia secara positif, dibenarkan mengeluarkan zakat, pengurusan kewangan Islam yang baik, ekonomi yang baik, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran masih dipraktikkan walaupun tidak secara menyeluruh, kita harus terus mempertahankan dan mencintai negara ini agar dari masa ke semasa, segala kekurangan disempurnakan dan segala kesilapan diperbetulkan.
Wallahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan