1. DI mana negara pun akan ada orang yang berkuasa. Mereka berada di berbagai peringkat. Di negara yang demokratik pun terdapat orang yang berkuasa. Budaya orang Malaysia pula demikian sehingga orang yang berkuasa lebih berkuasa kerana tidak akan ada sesiapa yang akan menegur.
Orang yang berkuasa boleh buat apa sahaja termasuk yang tidak dibenar. Hanya jika diadakan pemilihan oleh rakyat atau pengikut barulah ketidakpuasan hati mereka dilahirkan. Walaupun demikian faktor lain sering menenggelamkan faktor salahguna kuasa.
2. Saya mengaku bahawa inilah pengalaman saya semasa menjadi pemimpin yang berkuasa. Jarang terdengar teguran melainkan oleh musuh terutama parti lawan. Dan teguran oleh musuh jarang dapat diterima kerana ini memang sifat mereka. Saya dapati teguran pihak ketiga, pihak yang tidak punyai kepentingan biasanya lebih ikhlas dan perlu ditimbang secara serius.
3. Kebiasaannya ramai yang bersedia untuk menyokong dan memuji apa sahaja yang dilakukan oleh orang yang berkuasa. Sokongan mereka mungkin kerana mereka betul-betul dan ikhlas berpendapat apa yang dilakukan memang baik atau buruk.
Tetapi ada juga yang menyokong dan mengiakan apa sahaja kerana ini akan disukai oleh yang berkuasa. Dan ini juga akan meningkat pengaruh mereka dan banyaklah nikmat yang akan dikecapi oleh mereka.
4. Mereka yang dapat mempengaruhi orang yang berkuasa sebenarnya mendapat sedikit dari kuasa itu. Lebih kuat pengaruh lebih banyaklah kuasa yang didapati oleh mereka. Dan ramailah mereka yang cuba mendekati dan mengelilingi seseorang yang berkuasa.
Mereka akan cuba pengaruhi pihak yang berkuasa sehingga pendapat mereka sahaja yang diterima. Apabila ini berlaku maka kuasa yang didapati oleh mereka amatlah besar, begitu besar sehingga tiada pendapat atau nasihat lain yang akan diterima.
5. Jika pendapat mereka ini baik dan hanya untuk menjayakan pihak berkuasa tidaklah sukar untuk diterima. Malangnya yang kerap berlaku apabila sahaja seseorang atau sekumpulan orang keliling sudah dapat menguasai fikiran dan tindakan orang yang berkuasa, maka bermulalah usaha untuk memperalatkan orang yang berkuasa untuk kepentingan diri.
6. Ramai akan sedar dan melihat kesan buruk dari orang sekeliling pihak berkuasa. Ramai yang akan bercakap berkenaan perkara ini, ramai yang tidak senang tentang apa yang sedang berlaku.
7. Tetapi di Malaysia mereka tidak sanggup untuk menasihat pihak berkuasa, takut dimarahi atau dipandang serong.
8. Tanpa teguran yang berani oleh mereka, maka akan lebih buruklah prestasi pihak berkuasa. Kemarahan orang akan meningkat menjadi kebencian.
9. Kita lihat dalam sejarah raja dan orang kuat pun akhirnya dihadapkan dengan tindakan keras dan ganas oleh rakyat untuk menjatuhkan mereka. Inilah yang berlaku kepada beberapa raja dan diktator di Timur Tengah.
10. Rakyat Malaysia belum tahu cara yang ganas. Mereka mungkin mengguna pilihanraya untuk memperbetulkan keadaan.
11. Tetapi janganlah kita terlalu yakin yang mereka terus berlembut.
12. Dalam sejarah raja yang berkuasa mutlak pun tindakan ganas untuk menyatukannya pernah berlaku. Sultan Mahmud dibunuh walau pun tabiat orang Melayu tidak menderhaka kepada raja.
13. Jika hendak berkuasa lama jangan salahguna kuasa yang diberi walaupun ada yang menasihat kita kebal dan segala salahlaku kita tidak akan diketahui dan jika diketahui pun tidak ada yang berani membuat apa-apa.
14. Pembodek di antara penasihat dan orang keliling ialah sebabnya yang berkuasa menyalahguna kuasa sehingga tersingkir.
15. Kuasa membawa kepada korupsi dan kuasa mutlak akan menyebabkan korupsi yang tidak terhad.
16. Bahasa Mat Salleh berbunyi “Power corrupts and absolute power corrupts absolutely”.
17. Mereka yang pegang kepada pepatah ini akan bertegas elak atau gugurkan sahaja kuasa. Bangsa yang korap dan negara yang terkenal dengan bangsa yang korap tidak mungkin maju, bahkan akan runtuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan