Segala artikel yang disiarkan di laman blog ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ianya tidak mewakili mana-mana parti, orginasasi atau mana-mana pertubuhan. Jika berlaku sebarang kecelaruan emosi ketika membaca atau menyaksikan bahan-bahan yang dipaparkan ianya di luar tanggungjawab penulis. Ingin berkongsi artikel dan maklumat yang menarik emelkan kepada : Koboimacho@gmail.com"

NUFFNANG

TRANSLATE

Khamis, 25 April 2013

Salah muat naik gambar kertas undi


PUTRAJAYA - Perbuatan memuat naik gambar kertas undi merupakan satu kesalahan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruddin Mohamed Baria.


Beliau mengulas perbuatan beberapa pengguna laman sosial yang memuat naik gambar kertas undi yang akan digunakan oleh pengundi pos bagi Pilihan Raya Umum ke-13.
Berikutan itu, SPR membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya semalam.
"Selain untuk menjaga nama baik dan integriti SPR, laporan dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan selaras dengan Akta 574 Kanun Keseksaan (Pindaan) 1997," katanya pada sidang akhbar di sini.
Kamaruddin bagaimanapun menafikan gambar kertas undi yang dipaparkan dalam beberapa laman sosial itu adalah daripada sumber SPR.

"Selepas pihak polis menjalankan siasatan, barulah SPR menentukan tindakan yang akan diambil terhadap individu yang didapati memuat naik gambar berkenaan, biar polis buat siasatan dulu," katanya.
SPR sudah mengeluarkan kertas-kertas undi pos dalam negara kepada pengundi yang layak mengundi melalui pos mulai 22 April lepas sementara pengundi pos luar negara dihantar semalam.
Kategori mereka yang layak mengundi melalui pos dalam negara terdiri daripada anggota tentera dan polis yang bertugas di perbatasan atau pun yang terlibat dalam operasi, petugas media dan petugas SPR.
Kategori pengundi pos luar negara pula membabitkan rakyat Malaysia di luar negara dan Pengundi Tidak Hadir (PTH) terdiri daripada penjawat awam yang berkhidmat di pejabat perwakilan dan pelajar sepenuh masa.
Selain itu, SPR turut menafikan maklumat yang disebarkan dalam laman sosial yang menyebut proses pengundian awal bagi kategori pengundi yang layak telah dilaksanakan kelmarin (23 April) sebaliknya menegaskan pengundian awal hanya dijalankan pada 30 April ini.
"Perbuatan ini sekadar untuk mengelirukan orang ramai dan berharap orang ramai jangan mempercayai berita tersebut, jika ada sebarang pertanyaan dan kekeliruan, hubungi SPR untuk penjelasan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: