SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan besar akan ditangkap dalam masa terdekat atas dakwaan terlibat dengan pencerobohan militan Sulu di Lahad Datu, kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.
Beliau berkata ia merupakan agenda kerajaan untuk mengalih perhatian masyarakat terhadap kesilapan menguruskan isu Lahad Datu oleh pentadbiran negara, lapor FMT.
"Sepanjang 15 tahun dulu, mereka (kerajaan) berusaha untuk menuduh Anwar tentang semua kesilapan yang berlaku dalam negara.
"Tetapi untuk mengaitkan beliau dengan insiden Lahad Datu adalah sangat tidak munasabah," kata beliau.
Sejak pencerobohan di Sabah yang bermula pada 12 Februari lalu, media Filipina telah beberapa kali melaporkan bahawa askar Kesultanan Sulu itu dijemput oleh seorang pemimpin politik pembangkang Malaysia yang berjanji untuk mempertimbangkan tuntutan sebahagian kawasan di Sabah.
Media tempatan yang memetik laporan berkenaan melaporkan individu tersebut adalah Anwar yang didakwa pernah bertemu dengan sekutu Sultan Sulu, bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari yang menyokong tuntutan mendapatkan Sabah.
Selain itu turut dilaporkan bahawa Datuk Dr Jeffrey Kitingan terlibat dalam mengadakan pertemuan dengan Sultan Muidzullail T. Kiram iaitu salah seorang pemerintah Kesultanan Sulu juga beberapa bulan sebelum kejadian pencerobohan berlaku.
Jeffrey adalah bekas Naib Presiden PKR yang kini menjadi Presiden Parti Reformasi Sabah (STAR) dan pengerusi United Borneo Front (UBF), parti pembangkang untuk Sabah dan Sarawak.
Azmin seterusnya mendakwa kerajaan telah menetapkan sasaran terhadap beberapa pemimpin pembangkang termasuk dirinya.
"Saya telah menerima notis dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), memberitahu supaya saya perlu hadir memberi kenyataan pada jam 2 petang hari ini.
"Apabila peguam saya tanya mengenai isu apa, mereka hanya berkata ia adalah sesuatu yang berkaitan dengan Lahad Datu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan