Segala artikel yang disiarkan di laman blog ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ianya tidak mewakili mana-mana parti, orginasasi atau mana-mana pertubuhan. Jika berlaku sebarang kecelaruan emosi ketika membaca atau menyaksikan bahan-bahan yang dipaparkan ianya di luar tanggungjawab penulis. Ingin berkongsi artikel dan maklumat yang menarik emelkan kepada : Koboimacho@gmail.com"

NUFFNANG

TRANSLATE

Selasa, 19 Februari 2013

Debat Di Alam Maya Menurut Pandangan Islam


Debat Di Alam Maya Menurut Pandangan Islam...mari bersama kita renungkan sejenak... 

Dakwah adalah suatu takhlif atau kewajiban yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada seluruh hamba-hambaNya yang mukhallaf. Secara asasnya, dakwah tidak terbatas kepada sesuatu tempat dan waktu secara khusus. Dakwah juga tidak terhad oleh wasilah ( cara ) tertentu sahaja dan ia adalah tugasan mulia yang dilaksanakan oleh para Nabi dan Rasul, kemudian dilanjutkan pula oleh para pewarisnya dari kalangan para ulama dan kaum muslim semuanya.

Sebagaimana yang diketahui dakwah tidak boleh tidak semestinya melibatkan wasilah. Fakta semasa membuktikan dakwah hari ini telah melangkaui wasilah konvensional dan tradisional kerana kini wasilahnya lebih luas; contemporary dan moden seperti menerusi telefon dan sms juga sistem audio dan visual. Mutakhir ini dakwah semakin moden dan menampakkan pengaruh melalui penggunaan internet ; emel, laman forum diskusi, laman sosial seperti yahoo messenger, facebook, MIRC, blog dan seumpamanya memenuhi ceruk rongga lautan alam maya yang tak bertepi. Sedangkan dahulunya hanya menggunakan berbagai wasilah seperti perutusan surat, penulisan-penulisan kitab, usrah-usrah, halaqah, katibah-katibah, wacana dan lain-lain yang tidak bersifat sepertimana hari ini di mana "dunia dihujung jari anda". 

Berdakwah di alam nyata sememangnya memiliki beberapa perbezaan dengan dakwah di alam maya. Dalam keadaan sebenar kita mengetahui siapakah mad'u (sasaran dakwah) kita secara langsung kerana kita melihatnya secara fizik, terjadi pertentangan mata sehingga komunikasi dapat berlangsung secara hampir sempurna dengan adanya bahasa lisan dan tubuh badan. Berbeza dengan alam maya, yang mana kita tidak mengetahui siapa dan apakah watak sebenar mad'u kita kerana komunikasi yang terjadi biasanya hanya melalui tulisan. Dalam erti kata lain bolehlah dikatakan dakwah di alam maya memiliki keterbatasan dibandingkan dengan alam nyata.

Realiti Dakwah Menggunakan Kaedah Berdebat Di Alam Maya.

Penggunaan wasilah seumpama fb group dan laman-laman forum lain yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Namun amatlah dikesali apabila di antaranya kelihatan tidak dikawal dengan baik. Malahan segelintir mereka yang berpendidikan termasuk juga sebilangan kecil para da'ie ( pendakwah ) yang sepatutnya lebih faham daripada sebahagian yang lainnya akhirnya terjebak sama dengan perbahasan dan perdebatan yang agak keterlaluan, keadaan ini pastinya adalah sesuatu yang menyedihkan kerana memungkin dakwah berubah menjadi dakyah. 

Realiti masakini, jika ditinjau kepada forum-forum debat atau diskusi di wall facebook group atau seumpamanya membuktikan banyak sekali perdebatan yang tidak bermanfaat terjadi. Kebanyakkannya pula tidak ada ketua yang memantau perdebatan yang muncul di situ. Sehingga semua jenis debat mulai dari yang benar dan salah bercampur aduk di situ, malah tidak dapat dinafikan terdapat makian, hasutan, penghinaan, provokasi dan lainnya yang jelas tidak akan membawa kebaikan dan manfaat bagi keimanan. 

Gejala yang tidak sepatutnya janganlah dibiarkan berterusan dalam wasilah mana sekalipun, namun wasilah moden untuk berforum, berbahas serta menjawab pelbagai isu dan persoalan adalah sesuatu perkara baru yang berpengaruh juga tidak terlepas daripada hukum sepertimana dakwah di alam nyata. Perkara-perkara yang merosakkan tugas dakwah pasti boleh dielakkan jika adanya kefahaman yang jitu dalam fiqh yang berkaitan dengannya, InsyaAllah. 

Usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan oleh semua pihak untuk menghilangkan mafsadat yang sentiasa memburu para da'ie yang terbabit dalam perdebatan di alam maya. Jangan terus dibiarkan niat-niat dakwah yang baik pada awalnya berubah menjadi sesuatu yang mudharat dan tidak bermanfaat kepada para da'ie dan mereka yang sama melabuhkan sauh di situ untuk tumpang mengaut hasil. Tiada jalan lain selain daripada saling mengingatkan dengan hak dan kesabaran. 

Justeru itu perlunya usaha-usaha untuk membuat sebuah penjelasan tentang panduan-panduan dakwah khususnya melalui media baru ini agar seorang muslim dapat lebih bijaksana dan menepati kehendak syarak dalam memanfaatkannya untuk menyeru ke jalan Allah dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan akhlak muslim yang soleh dan sempurna.

GARIS PANDUAN DEBAT ALAM MAYA

Dalam alam maya terutamanya laman sosial seperti fb group dan seumpamanya, kerapkali pelayar-pelayarnya bertembung ombak-ombak perbincangan atau debat yang terjadi dalam membahas sesuatu permasalahan atau isu. Sememangnya benar jika dikatakan debat ( jidal ) adalah suatu cara daripada pelbagai cara yang ada untuk berdakwah dan ianya diizinkan oleh Allah swt, sebagaimana firmanNya di dalam al-Qur’an al karim :

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan contoh pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik (an Nahl 16: 125)

Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (al Mujaadalah 58: 1)

Selain memperbolehkan wasilah debat atau diskusi ini, Allah dan rasulNya juga telah menentukan garis panduan dalam melakukan debat ini kerana daripada segi hukum asalnya adalah sama walaupun dalam hal aplikasinya adalah berbeza. Selayaknya para da'ie dan para pelayar lain di alam maya sekalian memahaminya. 

Langkah-langkah awal yang utama mesti diambil kira sebelum berdebat.

Perhatikan siapa yang kita berdepan.

Pertama sekali dalam perdebatan selepas membetulkan niat yang menjadi asas dan mempunyai pengetahuan mengenai amal yang mahu dilakukan ialah perhatikan siapakah lawan debat atau diskusi kita. Sebagai pendakwah (da'ie) yang terpaksa memilih jalan debat dalam keadaan tertentu seharusnya mempunyai sasaran iaitu objek dakwah (mad'u) di mana mad'u itu adalah seseorang yang kelihatannya memang menginginkan dan mencari kebenaran, bukan hanya menyenangi debat atau menjadikan debat untuk memperolok-olok agama Islam. Dalam ertikata lain dia membuka ruang untuk seseorang menyampaikan hujah kebenaran bukan bertujuan untuk menunjukkan kehebatannya bersilat kata dengan membabi buta dalam mempertahankan alasannya apabila diberi hujah kebenaran yang dibawa kepadanya.

“Tidak ada satu kaum yang tersesat setelah mendapat petunjuk, melainkan kerana mereka suka berdebat” Kemudian Rasulullah saw membaca ayat: “Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud membantah saja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar. (Az-Zukhruf 43: 58)” [HR. Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad]

Justeru itu hendaklah disedari bahawa tidak semua manusia yang diseru dengan ayat-ayat Allah akan bertambah keimanannya. Bukankah Allah SWT telah memperingatkan kepada kita bahawa adanya golongan yang bertambah kekafirannya ketika dibacakan ayat-ayatNya. Maka ayat Allah tidak layak dibacakan kepada mereka yang tergolong dalam kategori ini.

Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surat itu bertambah kekafiran mereka, di samping kekafirannya (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir 
(at Taubah 9: 125)

Mungkin pada awalnya mereka ini berpura-pura namun jika sudah mendapat kepastian bahawa teman perbincangan kita adalah termasuk orang munafik ataupun kafir yang memang bukan mencari kebenaran dalam debat dan perbahasan, maka segeralah meninggalkannya dan beristighfarlah kepada Allah kerana kita mungkin telah melakukan hal yang tidak bermanfaat dan sia-sia.

Dan apabila kamu melihat orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain. Dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini), maka janganlah kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu sesudah teringat (akan larangan itu) (al An’am 6: 68)

Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al Quran bahawa apabila kamu diperdengarkan ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan, maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahannam.
(An-Nisaa 4: 140)

Maksud “duduk berserta (bersama)” adalah berada dalam suatu forum atau yang seumpamanya, sehingga seolah-olah dengan adanya kita disitu menjadi bahan pengesahan bahawa apa yang mereka lakukan iaitu memperolok ayat-ayat Allah adalah suatu keharusan.

Imam as Syafi’ie sendiri berpendirian tegas dalam perihal berdebat dengan orang semacam itu :

“Tiadalah aku berdebat akan ahli kalam kecuali sekali. Dan setelah itupun aku beristighfar kepada Allah dari hal sedemikian itu”.

Imam Malik pula mengancam tindakan berdebat yang sebegitu dengan berkata :

“Termasuk (perbuatan) merendah dan meremehkan ilmu jika seseorang membicarakan ilmu di hadapan orang yang tidak mentaati ilmu itu”.

Dan Imam al Auza’ie juga telah menyampaikan:

“Jika Allah menginginkan kehinaan pada sesuatu kaum, maka Allah akan membuka atas mereka jidal (perdebatan), dan menghalangi mereka dari beramal.”

Berpandukan kepada petikan-petikan di atas (lihat juga :: berbantahan dan debat yang merugikan ), maka jelaslah daripada melayani golongan sebegini adalah lebih baik kita melakukan dengan cara yang lebih berhikmah dengan menggunakan masa yang ada dalam dunia maya untuk menambah pengetahuan dan membuat posting atau entry dakwah tanpa perlu menjawab setiap bantahan mereka. Kemudian carilah sasaran dakwah lain yang lebih bermanfaat kepada dakwah. 

Ingatlah, menghabiskan masa walaupun cuma sebentar untuk berdebat dengan mereka yang bersikap sebegitu tetap bererti kita membuang kesempatan untuk berdakwah kepada mereka yang mahu mendengarkannya. Atau anda boleh beramal saja dengan pelbagai amalan soleh yang lain daripada mendebat orang yang tidak ingin mencari kebenaran. Apapun jangan lupa untuk mengikut keutamaan tugasan kaum Muslimin. Sila rujuk kitab Fiqh al Aulawiyat oleh sheikh Dr Yusuf al Qardhawi.

Perhatikan tajuk yang diperbahaskan

Seorang mukmin pastinya tidak akan menceburkan dirinya dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya dibincangkan apalagi diperdebatkan. Seorang mukmin tidak akan terburu sehingga terjerumus dalam perkara yang tidak bermanfaat, dan juga dalam perkara-perkara yang tidak akan meningkatkan keimanan ketika mendebat/mendiskusikan sesuatu tajuk. Begitu juga harus diperhatikan mengenai konsep amar maa'ruf nahi mungkar...

Dalam perbincangan, kita hanya boleh membahas hal-hal yang telah Allah perbolehkan untuk membincangkannya dan menjauhi perkara yang telah dilarang atau dimakruhkan untuk membincangkannya . Termasuk perkara ini adalah mendebat Allah dan ayat-ayatNya.

dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah, dan Dia-lah Tuhan Yang Maha keras siksa-Nya.
(ar Ra’du 13: 13)

Berdebat tentang al Qur’an adalah kufur [HR. Ahmad Syakir]

Selain itu, kita juga diperintahkan untuk jangan terlalu dalam dalam memperdebatkan sesuatu yang ghaib semacam takdir,kewujudan Allah dan yang sebagainya...

Diriwayatkan dari Nabi saw. beliau bersabda, “Jika diperbincangkan tentang sahabatku maka hentikanlah, jika diperbincangkan tentang ilmu nujum maka hentikanlah, dan jika diperbincangkan tentang takdir, maka hentikanlah,” (Hasan, lihat kitab ash-Shahihah ).

Konsep perdebatan menurut perspektif Islam

Masa para da'ie adalah terlalu berharga untuk membantah golongan yang memang tidak ingin mencari kebenaran. Dan apabila kita menemui entry, posting atau komen-komen yang menyerang Islam di internet, janganlah terburu-buru untuk membahaskannya secara berdebat sehingga meninggalkan konsep debat yang digariskan kerana mungkin itulah yang diingini oleh segelintir pihak yang memusuhi Islam. Mereka ini sentiasa berusaha mencari peluang untuk menjadi mulia dengan memijak kepala para da'ie sedangkan mereka ini bukanlah layak menjadi mad'u yang perlu diperbetulkan namun sebenarnya mereka ini adalah al mala' dan al mustakbirin.

Dan Kami tidak mengutus kepada sesebuah negeri: seseorang Rasul pemberi amaran melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: "Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya. Dan mereka berkata lagi: "Kami lebih banyak harta benda dan anak pinak, dan kami pula tidak akan diseksa. (Saba' : 34-35)

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat). Ketua-ketua dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami melihatmu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata. (al A'raaf : 59-60)

Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: "Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta. Patutkah ia menafikan tuhan-tuhan yang berbilang itu dengan mengatakan: Tuhan hanya Satu? Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang menakjubkan!. Dan (ketika itu) keluarlah ketua-ketua dari kalangan mereka (memberi peransang dengan berkata): "Jalan terus (menurut cara penyembahan datuk nenek kamu) dan tetap tekunlah menyembah tuhan-tuhan kamu. Sebenarnya sikap ini adalah satu perkara yang amat dikehendaki. Kami tidak pernah mendengar tentang (soal mengesakan Tuhan) itu dalam agama yang terakhir; perkara ini tidak lain hanyalah rekaan dan dusta semata-mata. (Shad : 4-7).

Secara asasnya, ada beberapa konsep berkaitan debat menurut perspektif Islam yang perlu diketahui dan difahami, antaranya :

1. Debat dilakukan dalam percanggahan idea yang sedang diperbahaskan
Debat dilakukan dengan menyerang dan menjatuhkan alasan-alasan yang batil dengan memberikan hujah-hujah yang jitu dan benar, berdasarkan kajian hingga sampai pada suatu kebenaran. Dalam konsep yang mudah disebut, debat memiliki dua sifat iaitu merobohkan dan membangun perbalahan kata. 

Di antara teladan cara debat melalui kaedah berfikir secara rasional yang diajarkan melalui al Quran adalah:

Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan mematikan,” orang itu berkata: “Saya dapat menghidupkan dan mematikan”. Ibrahim berkata: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat,” lalu hairan terdiamlah orang kafir itu; (al Baqarah 2: 258)

2. Debat mesti dilakukan dengan cara yang baik sebagaimana yang diperintahkan Allah

Maksudnya dilakukan dengan menggunakan panduan yang sama, iaitu al Qur’an dan al Hadis. Bukan berpandukan pada hujah yang tidak bersandar ataupun dengan akal fikiran yang tidak sewajarnya. Sekiranya menggunakan akal, maka semestinya dengan menggunakan buah fikiran (idea) yang rasional seperti dinyatakan dalam konsep pertama, bukan menggunakan kaedah spekulatif (yang berdiri persangkaan ataupun falsafah yang menyeleweng )

Barangsiapa yang beriman pada Allah dan hari akhir maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam [HR Bukhari dan Muslim]

Amma ba’du: sesungguhnya perkataan yang paling benar adalah kitabullah, dan sebaik-baik petunjuk, adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam [HR. Tirmizi, Ibnu Majah]

Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu Al Qur’an) (az Zumar 39: 23)

Diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib katanya: “Jika agama itu dibangun dengan akal fikiran tentu saja bagian bawah khuf (sarung kaki yang diperbuat daripada kulit) lebih patut disapu daripada bahagian atas. Sesungguhnya saya melihat Rasulullah s.a.w. menyapu di bahagain atas khufnya. [HR. Abu Daud]

3. Menghindari berkata yang buruk, keji, mencaci atau memaki individu

Ketika kita sebagai da'ie berdebat maka perlu sentiasa ingat bahwa apa yang kita debatkan adalah idea yang disampaikan oleh orang yang dianggap sebagai mad'u, yang telah kita niatkan untuk mengubahnya. Maka mesti berusaha untuk tidak menjatuhkan peribadi yang menyampaikan alasan. Jangan sehingga kita menyerang keperibadiannya dan sehingga menggunakan kata-kata yang tidak mencerminkan keimanan kita kepada Allah.

Bukanlah seorang mukmin jika suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji [HR. Tirmidzi]

Namun begitu tidaklah Islam itu menafikan hak seseorang yang dimaki hamun untuk membalas kata-kata yang dilemparkan terhadap dirinya. Apapun janganlah kita memulakan dan membalas lebih daripada apa yang dilemparkan kepada kita, sebaik-baiknya adalah memaafkan. Jika dilihat sehingga peluang untuk berdakwah telah ditutup oleh mad'u yang berubah kepada al mala' atau mustakbirin. Maka tinggalkanlah mereka.

Lihat : Keadaan yang mengharuskan mengumpat dan mencerca

4. Tidak mencari-cari perdebatan atau senang dengan perdebatan
Sebagaimana yang diterangkan pada awalnya al Qur’an telah menjadikan debat sebagai salah satu cara dalam menyampaikan kebenaran Islam, tapi haruslah diingat bukanlah bererti al Qur’an memerintahkan kita untuk sesuka berdebat dan apalagi sengaja mencari-cari perdebatan. Sebagai da'ie seseorang mukmin itu seharusnya memahami bahawa perdebatan cumalah sejuzu' dari uslub dakwah. Ianya adalah jalan terakhir dalam dakwah, bukan malah mengawali dakwah dengan perdebatan. Jangan didahului sesuatu yang kemudian, yang utama diutamakan dan yang kemudian mestilah dikemudiankan.

Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar (al Anfaal 8: 46)

Peringatan Penting : Tinggalkan perdebatan di laman terbuka.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, diperbolehkan perdebatan cumalah sebagai jalan terakhir dalam cara berdakwah dengan bertujuan menegakkan yang hak dan meruntuhkan kebatilan atau sekurang-kurangnya ia adalah usaha menghilangkan mafsadat serta mendatangkan masalih. Maka apabila perdebatan yang menjadi jalan terakhir ini dilakukan melalui wasilah berbentuk umum yang dapat terlihat secara terbuka, maka memungkinkan sahaja perdebatan semacam ini akan lebih banyak mudharatnya bagi yang lain dan pasti akan menjadi perdebatan yang tidak berhujung jika ia tidak terkawal.

Dalam suasana terbuka sebegitu terkadang emosi yang lebih menguasai, dan emosi yang diluahkan melalui penulisan ini dibaca oleh sesiapa saja dan menimbulkan suatu persepsi buruk kepada para da'ie. Jelas sekali hal-hal seperti ini menimbulkan mudharat dan haram hukumnya. Sedangkan kaedah fiqh menyatakan: “wasilah (sarana) yang boleh membawa kepada keharaman maka wasilah itu haram”. Maka berdebat di internet dalam forum-forum umum dan boleh diakses semua orang tanpa ketua adalah haram kerana kewujudan ketua dalam hal sebegini adalah wajib untuk menghalang sebarang keburukan. Untuk lebih memahaminya silalah memahami konsep sad'u zara'ie.

Jika benar-benar ingin menasihati dan berdebat secara ahsan, seorang da'ie perlulah mengundang mad'u untuk berdebat dan berbahas secara tertutup kerana ini lebih baik daripada kita berdebat dan berdiskusi secara terbuka di alam maya. Boleh sahaja dibuka satu forum atau fb group yang khusus untuk para pendokong isme yang bukan Islam yang memiliki kriteria mulia sebagai pendiskusi yang baik untuk berdebat dengan secara terhormat, itupun jika debat diperlukan sebagaimana telah disebut bahawa ia adalah jalan terakhir. 

Sebagaimana kewujudan fb group dan seumpananya yang membincangkan isu-isu berat seperti pertembungan pemikiran, para admin yang terbabit hendaklah memainkan peranan utama untuk menjadikan laman yang diuruskan sebagai medan diskusi atau debat yang memberi manfaat yang seumpama sebuah lubuk yang dihuni oleh ikan-ikan yang bernilai tinggi. 

Tanpa kefahaman yang jitu dan kesungguhan dalam melaksanakan beberapa cara yang telah disebut, maka pasti banyak perbahasan dakwah berubah rupa. Al mashalih yang cuba dipukat namun mafsadat yang terlekat. Tidaklah boleh sama sekali mana-mana admin yang sepatutnya bertindak sebagai ketua dan tuan rumah membiarkan posting-posting dan komen-komen yang bertentangan dengan agama atas alasan apa sekalipun. Janganlah dibiarkan sebegitu saja tanpa sebarang tindakan. Sesungguhnya niat tidak menghalalkan cara!...

Justeru itu niat yang benar daripada setiap individu di sana hendaklah dilaksanakan dengan cara yang benar. Bila mana ditemui sesuatu yang bercanggahan dengan kehendak Islam di internet, maka kita memiliki pilihan samaada mahu turut serta atau tidak kerana dakwah tidak semestinya hanya berbahas dan hanya bertempat dalam dunia maya. Jangan risau peluang kita untuk mengaut pahala masih banyak, insyaAllah. 

JANGAN DIBIAR DAKWAH MENJADI DAKYAH!!!....Wallahua'lam..

Tiada ulasan: