Kubur lama di tengah Masjid Razaleigh
Orang ramai melihat kubur kubur Nik Mah yang menjadi tanda tanya selama ini.
Kubur lama di tengah Masjid Razaleigh
Masjid Razaleigh di Bandar Lama Gua Musang ada menyimpan sejarah tersendiri.
Mungkin ramai tertanya-tanya mengenai kubur yang berada di tengah-tengah Masjid Razaleigh di Bandar Lama, di Gua Musang, Kelantan. Ini kerana belum pernah ditemui di mana-mana masjid sama ada di dalam atau luar negara kubur orang awam berada dalam masjid.

Kebanyakan mereka daripada kalangan ahli jemaah terutama yang datang dari luar daerah ini sudah tentu membuat pelbagai andaian tersendiri, berikutan tidak mengetahui sejarah sebenar yang berlaku apabila melihat kubur yang dianggap pelik itu.

Diakui semakin sukar untuk menjejak sejarah serangan komunis di Bandar Gua Musang sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kerana kebanyakan orang lama yang asal tinggal di bandar ini telah meninggal dunia.

Bagaimanapun, mujur masih ada rujukan menerusi catatan sejarah dalam diari mengenai serangan komunis itu yang ditulis sendiri bekas Penggawa Hulu Kelantan ketika itu, Allahyarham Nik Jaafar Nik Soh.

Mangsa sarat mengandung

Catatan sejarah itu masih sulit untuk diedarkan kepada umum kerana masih disimpan anak tunggal lelakinya sebagai kenangan walaupun hanya orang tertentu sahaja boleh mendapatkan salinan daripadanya sebagai bukti sejarah itu benar-benar berlaku.

Sebenarnya kubur lama yang berada di tengah-tengah Masjid Razaleigh itu adalah kubur seorang wanita sarat mengandung, Allahyarham Nik Mah Nik Soh, yang mati dibunuh komunis secara kejam di dalam longkang berhampiran jalan masuk masjid.

Serangan komunis itu yang pernah berlaku di Gua Musang pada 4 Januari 1943 apabila ramai orang Melayu ketika itu mati dibunuh dan hanya seorang penggawa ketika itu, Allahyarham Nik Jaafar yang berjaya melepaskan diri dari kepungan komunis.

Nik Mah juga adik kepada Nik Jaafar gagal melarikan diri pada masa serangan itu berlaku kerana sarat mengandung. Allahyarhamah itu terpaksa berselindung di dalam longkang  tersebut namun diserang hendap pasukan komunis yang menyerbu ke kawasan terbabit.

Dalam keadaan ketakutan ketika itu, penduduk yang masih selamat mengusung jenazah Nik Mah yang dalam keadaan berlumuran darah ke dalam kawasan masjid sebelum membuat keputusan tanam di bahagian tangga belakang masjid itu.

Pada waktu itu masjid berkenaan dibina dengan kayu dan mampu menampung hanya kurang 100 jemaah sahaja sebelum diubah suai 50 tahun kemudian untuk menampung bilangan jemaah bertambah ramai menyebabkan kubur terbabit berada di tengah-tengahnya.

Sejarah serangan komunis ketika itu juga menyebabkan kebanyakan penduduk tidak boleh tinggal setempat dan kerap berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk mencari perlindungan termasuk sanggup berjalan kaki dalam hutan.

Berselindung dalam longkang

Allahyarham Nik Jaafar seperti yang tercatat dalam tulisan sejarahnya beliau lari seorang diri untuk meminta perlindungan di Balai Polis Bertam.

Ini kerana kebanyakan rumah penduduk ketika itu termasuk kuarters kereta api dan balai polis di Gua Musang dibakar komunis yang mengganas  dan merosakkan semua harta benda penduduk.
Nik Mah dibunuh kejam serangan komunis itu bersama 25 orang Melayu terperangkap ketika berselindung dalam longkang berkenaan.

Ada juga yang dibunuh ketika cuba menyeberangi Sungai Galas di belakang kedai Jalan Besar untuk menyelamatkan diri.

Walaupun Gua Musang telah lama diwujudkan, tetapi bilangan penduduk Orang Melayu tidak ramai.

Tumpuan utama komunis berkampung di Kampung Pulai yang selalu memeras ugut Orang Melayu bagi merampas harta termasuk makanan.

Pendapatan utama penduduk ketika itu hanya mengharapkan kepada hasil tanaman dan kerap meminta bantuan kerajaan menerusi pejabat daerah ketika itu terletak di Kuala Krai kerana tanaman dimusnahkan komunis.

Dengan tersiarnya catatan sejarah mengenai kubur Allahyarham Nik Mah dalam Masjid Razaleigh itu dapat memperjelaskan lagi kepada orang ramai berhubung perkara itu dan menjadi kenangan sepanjang masa.