KUALA LUMPUR - Selepas dikritik secara terbuka di laman Facebook oleh pengacara, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, penceramah bebas, Ustaz Don Daniyal tampil menjawab dakwaan kononnya beliau tidak membuat rujukan sebelum membuat ceramah.
Mengakui terkilan dengan tindakan Wardina, Ustaz Don menegaskan, adalah tidak adil sekiranya beliau dinilai bersandarkan video yang diedit daripada ceramahnya sebelum ia dijadikan alat untuk menyerangnya secara keterlaluan.
Sambil menyifatkan tuduhan yang dilemparkan itu sebagai berat, penceramah terkemuka itu mempersoalkan niat Wardina menggunakan maklumat-maklumat Internet untuk menghentam dirinya.
Menurut Ustaz Don, Wardina pernah membuat kenyataan supaya pemilik media sosial supaya tidak memuatnaik perkara-perkara yang dilarang tetapi beliau sendiri yang melakukannya.
Beliau turut menyarankan supaya Wardina bertemu alim ulama bukannya menggunaka ustaz goggle,facebook atau Twitter.Apakah video itu menjadi satu dalil kepada Wardina untuk menghentam orang lain? soal beliau lagi.
Wardina melalui laman Facebook sebelum ini meminta para ulama, ustaz dan mufti di Malaysia supaya menyemak semula isi kandungan penceramah terkenal, Ustaz Don Daniyal yang didakwanya mengandungi “maklumat tanpa rujukan” sehingga boleh mengelirukan orang ramai.
Sebelum ini, Wardina pernah berkongsi video berjudul Kompilasi hadis palsu dan pendustaan Don Daniyal dari seorang wanita yang bernama Nur Puteri Dayana.
Perkongsian video tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai sehingga ada yang menyokong malah tidak kurang juga menghentam tindakan Wardina menegur Ustaz Don secara terbuka.
Mengulas lanjut, Ustaz Don mempelawa Wardina hadir dalam ceramahnya, bukannya mengambil daripada video sekerat-sekerat supaya bekas model itu tahu sepenuhnya apa yang beliau ingin sampaikan.
“Siapa yang buat video sekerat-sekerat ni, apa tujuannya selain daripada untuk tujuan propaganda, jika mereka ikhlas kenapa perlu edit video tersebut.
“Saya juga tidak kata saya betul semua, saya manusia biasa tetapi ada orang yang memilih untuk menghentam jika orang itu tidak dalam ahlinya. Mungkin saya selalu kerap keluar di TV Alhijrah menyebabkan ada orang yang tak senang duduk, saya tidak tahu,” ujarnya lagi.
Ustaz Don jug hairan kenapa Wardina memilih beliau sebagai individu untuk dihentam, namun apabila kafir menghina Agama Islam Wardina hanya mendiamkan diri.
“Saya tak kenal pun dengan orang yang buat video itu, takkan saya tak buat rujukan dalam setiap ceramah saya. Sebagai seorang penceramah sudah semestinya saya membuat rujukan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang ceramah.
“Saya tak pernah cari pasal dengan sesiapa pun, antara bahan rujukan saya tentang Bani Tamim adalah saya membuat rujukan dengan Ustaz Badlishah. Pendapat dan teori memang ada dikalangan ulama mengikut hadis-hadis,” jelas Ustaz Don.
Beliau menarik perhatian mengenai kisah Juraij yang telah difitnah oleh seorang pelacur yang cantik yang berkata, ‘Jika kalian menghendaki, aku akan memberinya fitnah’.
Ustaz Don turut menasihatkan semua pihak supaya datang sendiri ke ceramah beliau dan bukan membuat rujukan daripada video yang diedit sehingga boleh menimbulkan keraguan orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan