KUALA LUMPUR- Bekas ketua pengarang akhbar New Straits Times hari ini melancarkan serangan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan ucapannya yang dibuat secara berseloroh, bahawa nilai mata wang ringgit akan diangkat supaya bersamaan dengan nilai dolar Amerika Syarikat, sekiranya beliau menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
A Kadir Jasin (gambar), menulis dalam blognya, melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Anwar itu seperti dilaporkan The Malaysian Insider semalam, berkata ia adalah “satu lagi contoh khayalan, lepas cakap dan ‘outrageousness’” yang ditunjukkan Anwar.
“Tapi hendak ubah kadar tukaran mata wang adalah mustahil kecuali, entah macam mana, selepas menang PRK Kajang, Anwar bukan menjadi Menteri Besar Selangor tetapi menjadi Perdana Menteri dan beliau boleh menggunakan rizab mata wang Bank Negara atau membeli bertimbun-timbun jongkong emas untuk menyokong nilai RM,” kata Kadir dalam kiriman blog yang merungkai kembali pengalamannya bersama bekas timbalan perdana menteri itu sehingga pemecatannya pada 1998.
Anwar membuat kenyataan itu dalam satu majlis Dialog Anak Muda di Seremban semalam, ketika menjawab tuduhan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa satu undi kepada dirinya ibarat memberikan undi kepada Amerika Syarikat.
“Menang sahaja saya, saya isytihar RM1 bersamaan US$1 di Kajang. Saya dah 15 tahun dihamun setiap malam. Siapa ahli politik paling banyak kena maki. Sayalah,” kata Anwar.
Dalam mempersoalkan kewibawaan Anwar, Kadir berkata Anwar bukan lagi seorang politikus yang mempunyai rangkaian luas, seperti pada ketika beliau menerajui Umno.
“Anwar bukan seorang yang mementingkan butiran. Beliau seorang pemidato dan penghasut (dalam erti kata positif).
“Beliau bukan seorang perancang seperti disangka sesetengah pihak. Ketika beliau dalam Umno dan kabinet, beliau bergantung kepada pasukan perancang dan beliau ada perancang untuk semua aktivitinya. Malah ada petugas yang membaca bagi pihaknya,” kata Kadir, yang mendakwa daya tarik Anwar telah membutakan ramai orang.
“Sejak dipecat dari Umno dan kerajaan pada 1998, bilangan organisasi sokongannya telah berkurangan. Ramai penyokong kuat beliau tidak menyertai gerakan Reformasi, dan mereka yang menyertainya telah hampa dan meninggalkannya,” tulis Kadir.
Kadir menamakan timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan setiausaha agung Saifuddin Nasution Ismail sebagai “mereka yang dilatih Umno”, sambil membandingkan kumpulan ini dengan pemimpin muda PKR.
“Walaupun PKR boleh bermegah dengan kehadiran ramai pemimpin muda yang berpendidikan dan bersemangat, mereka ini umpama bayi jika dibandingkan dengan orang lama yang membantu ‘mencipta’ Anwar, dan ramai antaranya tidak kenal Anwar melewati Reformasi,” kata Kadir, merujuk kepada slogan yang menjadi laungan perjuangan Anwar berikutan pemecatannya dari Umno pada September 1998. – TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan