NALLAKARUPPAN semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur petang tadi.
KUALA LUMPUR – SELEPAS Yuktes, seorang lagi individu yang pernah rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Senator Datuk K. S. Nallakaruppan juga mahu mencabar Ketua Umum PKR itu di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang tidak lama lagi.
Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) mengumumkan keputusannya itu bagi menyelamatkan rakyat khasnya pengundi di DUN Kajang supaya tidak terperangkap dengan tipu helah Anwar.
“Saya calon paling sesuai dan layak untuk mencabar Anwar. Saya tidak sabar untuk berkongsi segala rahsia tentang Anwar kepada masyarakat dan pengundi di Kajang.
“Segala rahsia dia (Anwar) ada dalam poket saya dan bersedia untuk berkongsi beberapa kisah dan cerita benar hangatnya bersama pengundi Kajang menjelang kempen PRK kali ini,” katanya pada pemberita ketika mengumumkan keputusan bertanding di ibu pejabatnya di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau bukan menawarkan diri sebagai calon bebas tetapi sebagai calon mewakili BN tetapi terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN untuk membuat keputusan.
Keputusan itu diambil setelah melihat drama yang telah dipentaskan di DUN Kajang apabia penyandangnya Lee Chin Cheh telah melepaskan jawatan itu tanpa sebarang sebab relevan dan memberi laluan kepada Anwar.
Selain itu, Nallakaruppan turut mencabar Anwar supaya melepaskan jawatannya selaku Ahli Parlimen Permatang Pauh sementara beliau turut bersedia untuk melepaskan jawatan senator yang sedang dipegangnya sejak tahun 2012 untuk berdepan satu lawan satu di Kajang.
“Jika dia merasakan dirinya sebagai gentleman, dia perlu letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk menentang saya di Kajang. Saya cabar dia kalau berani letak jawatan dan berdepan saya satu lawan satu.
Menyedari DUN Kajang tradisi MCA, Nallakaruppan yang juga rakan sepermainan tenis Anwar itu memberitahu, beliau calon paling layak menentang bekas Timbalan Perdana Menteri yang disifatkan sebagai pelakon paling handal itu.
“Saya harap BN mempertimbangkan permintaan saya, sekiranya tidak diberi peluang saya akan memikirkan alternatif terbaik yang lain,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan