K0TA BHARU 26 Mac - Ketua Pas Cawangan Guchil Hulu, Kuala Krai, Muhamad Bustaman Yaacob tetap akan meneruskan hasrat bertanding atas tiket Bebas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil, Kuala Krai walaupun tidak direstui Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Tegasnya, beliau akan hanya menarik balik keputusan itu sekiranya Pas meletakkan calon di kawasan berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana beranggapan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak relevan di Kuala Krai mahupun Kelantan.
"Alasan utama saya mahu bertanding kerana wakil rakyat yang ada sekarang tidak menjalankan tugas dengan baik selain PKR tidak mempunyai jentera dan hanya bergantung harap kepada jentera Pas ketika pilihan raya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Nik Abdul Aziz percaya Pas akan 'jahanam' sekiranya semua pemimpin bawahan yang tidak bersetuju dengan keputusan parti itu keluar dan mahu bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya umum akan datang.
Sehubungan itu, bagi mengelak berlaku perpecahan beliau mahu semua ahli Pas bersetuju dengan keputusan dibuat pemimpin Pusat dalam soal pemberian kerusi dalam kalangan pakatan pembangkang.
Muhammad Bustaman berkata, calon PKR tidak akan dapat memastikan kemenangan pakatan pembangkang kerana parti itu tidak mempunyai pengaruh di negeri berkenaan.
"Saya percaya rakyat di peringkat akar umbi sependapat dengan saya, malah orang kampung dari mulut ke mulut bercakap PKR memang tidak ada harapan di Guchil dan kemungkinan besar hilang deposit sekiranya mereka bertanding," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan