KUALA LUMPUR, 24 April – Pemilihan PKR yang bakal diadakan pada Mei depan memaparkan wajah hodoh kepimpinan parti terbabit yang sebelum ini lebih cenderung menuding jari kepada parti lain khususnya UMNO dengan pelbagai kata-kata negatif, kata Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul.
Jelasnya, dengan pencalonan sehingga membabitkan empat orang dalam kepimpinan timbalan presiden parti maka ia menunjukkan bagaimana wujudnya kelompok-kelompok tertentu yang saling tidak puas hati.
“Sebelum ini pakatan pembangkang termasuklah pemimpin PKR sendiri seringkali melabelkan UMNO dengan kononnya wujud kem-kem tertentu, ada kelompok-kelompok masing-masing untuk memenangi jawatan dalam parti namun dengan apa yang ditunjukkan melalui pencalonan bagi pemilihan PKR, terbukti tindakan mereka lebih teruk daripada apa yang mereka tuduh UMNO buat,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.
Berdasarkan pencalonan, empat nama yang disahkan bertanding merebut kerusi timbalan presiden ialah penyandang jawatan, Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Agung parti, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk K. Ramachandram.
“Antara kepimpinan Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim seakan ada yang tidak selesai kerana masing-masing sememangnya tidak sehaluan dan mempunyai pendekatan yang berbeza dan apa yang dapat dilihat, sehingga empat individu bertanding untuk jawatan tersebut maka ia boleh disimpulkan sebagai ada yang tak kena.”
Jelas beliau, sepanjang kewujudan UMNO yang telah melalui berpuluh kali pemilihan parti namun belum pernah ada sehingga empat orang individu menawarkan diri bagi jawatan timbalan presiden apatah lagi untuk melibatkan hubungan suami isteri dalam pertandingan jawatan presiden.
“Apakah lagi sandiwara yang mahu ditunjukkan oleh PKR kepada rakyat kerana dengan jumlah individu yang bertanding itu sendiri sudah menunjukkan bagaimana ramainya pihak yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran dan perjalanan politik parti itu sendiri.”
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan presiden sementara anak Anwar, Nurul Izzah pula akan bertanding bersama 15 yang lain bagi jawatan naib presiden PKR.
“Pencalonan ini sendiri secara langsung telah memberi gambaran bagaimana kepimpinan atasan gagal mengawal partinya sehinggakan pemilihan parti boleh dianggap seolah-olah hilang haluan.”
Dalam hal ini, beliau menjadikan UMNO sebagai perbandingan yang menganggap bahawa pemilihan UMNO sewajarnya menjadi contoh kepada mereka dengan mewujudkan keterbukaan apabila memberi ruang dan peluang kepada lebih 146,000 anggotanya untuk memilih kepimpinan tertinggi partinya selain berlangsung lancar.
“PKR telah terbukti tidak mengotakan apa yang dikata, menuduh orang lain dengan macam-macam kata, kronilah, berpuak-puak, nipotisme dan macam-macam lagi tetapi akhirnya mereka sendiri yang berbuat demikian.
“Lihat sahaja jawatan presiden, mana mungkin pasangan suami isteri boleh bertanding bersama dan saling berlawan sedangkan sepatutnya mereka saling memberikan sokongan. Ini memang sandiwara dan apa-apa sahaja yang mereka laksanakan telah serlahkan keburukan mereka sendiri,” tegasnya lagi. - MediaUMNO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan