MACHANG - Orang ramai terus mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung isu klip video 'Onederful Malaysia CNY 2014' walaupun wakil rakyat itu telah hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur 12 Februari lalu.
Terbaru, dua pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) mewakili kawasan masing-masing tampil membuat laporan polis berkaitan penerbitan klip video itu.
Pengerusi JKKKP Kemunchup, Nawai Shayal berkata, klip video berkenaan bukan hanya mampu mengganggu gugat keharmonian kaum malah akan memburukkan imej negara di mata warga asing.
Katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas kerana isu itu mampu membenihkan rasa benci kepada kepimpinan negara yang dipilih rakyat.
"Sebagai pemimpin, Teresa Kok tidak sewajarnya membuat tindakan sedemikian dan sekalipun mewakili pihak pembangkang, beliau sepatutnya bekerjasama dengan kepimpinan negara untuk bersama-sama memajukan Malaysia serta menjaga kebajikan rakyat.
"Beliau tidak sepatutnya mengapi-apikan perasaan rakyat dengan rasa kebencian kepada kepimpinan negara," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi JKKKP Kampung Kepang, Che Othman Yaakob berkata, kedegilan Teresa yang berkeras tidak mahu memohon maaf dianggap melampau dan biadab kerana wakil rakyat itu didakwa telah beberapa kali melakukan provokasi terhadap orang Melayu dan Islam sebelum ini.
"Dulu beliau (Teresa) pernah beberapa kali menyinggung perasaan orang Melayu dan Islam dengan kenyataan dan perbuatan tidak sensitif. Beliau seperti tidak pernah menyesali perbuatannya.
"Jika dibiarkan tanpa tindakan tegas, beliau tentu akan mengulangi perbuatan seumpama ini. Teresa telah terapkan budaya tidak sihat di negara kita dan pihak berkuasa harus tangkap serta ambil tindakan tegas terhadapnya," katanya di Sinar Harian hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan