SHAH ALAM, 19/09/2012 - Seramai 2,020 pengguna air hari ini memfailkan saman menuntut ganti rugi RM1.15 juta daripada Kerajaan Negeri Selangor kerana tidak menikmati air percuma seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 Pakatan Rakyat (PR) empat tahun lalu.
Selain kerajaan Selangor, plaintif yang terdiri daripada penduduk kawasan Shah Alam dan Petaling Jaya, turut menamakan Menteri Besar Tan Abdul Khalid Ibrahim dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sebagai defendan kedua dan ketiga.
Mereka memfailkan saman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada jam 9.45 pagi menerusi peguam Kamarudin Ahmad.
Kamarudin ketika ditemui pemberita selepas memfailkan tuntutan itu berkata, saman akan diserahkan kepada semua defendan dalam tempoh seminggu.
Ini merupakan kumpulan kedua pengguna di Selangor mengambil tindakan perundangan dalam isu air percuma.
Kamarudin dipetik berkata, saman akan diserahkan kepada semua defendan dalam tempoh seminggu.
Beliau berkata, tuntutan itu membabitkan kumpulan kedua pengguna air meter pukal selepas kumpulan pertama membabitkan 711 pengguna air dari kawasan Shah Alam memfailkan tuntutan hampir RM500,000 pada 11 September lepas.
"Saman ini adalah usaha terakhir plaintif bagi mendapatkan keadilan dan pembelaan dari sistem kehakiman negara memandangkan kerajaan negeri Selangor telah membuat keputusan untuk tidak melayan tuntutan hak Skim Air Percuma daripada pengguna meter pukal domestik dalam negeri Selangor," katanya.
Dalam penyata tuntutan, kesemua 2,020 pengguna air itu mendakwa semasa kempen pilihan raya pada Mac 2008, rakyat di negeri Selangor dijanjikan mendapat air percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan kepada pengguna domestik.
Plaintif mendakwa berdasarkan manifesto semasa kempen, setiap pengguna air domestik di Selangor yang mempunyai akaun dengan Syabas layak menerima subsidi RM11.40 sebulan tidak kira sama ada menggunakan meter individu atau meter pukal, lapor Bernama.
Mereka mendakwa selepas memenangi pilihan raya kerajaan negeri Selangor memulakan skim air percuma tersebut pada 1 Jun 2008.
Bagaimanapun, plaintif mendakwa, mereka tidak menerima subsidi air percuma tersebut dan mendapati tiada sebarang potongan meter padu pertama ke atas bil air mereka yang dikeluarkan oleh Syabas.
Plaintif mendakwa Abdul Khalid melalui kenyataan akhbar 30 Ogos lalu berkata bahawa pengguna air yang masih memakai meter pukal tidak layak menikmati skim subsidi air percuma itu.
Plaintif mendakwa Syabas seharusnya menukar meter mereka memandangkan kerajaan Selangor mengarahkan Syabas membuat penukaran meter individu kepada mereka sejak 2007 tetapi gagal berbuat demikian.
Mereka mendakwa dengan kegagalan itu mereka tidak seharusnya dipersalahkan selain dinafikan pula hak menikmati subsidi air percuma serta menanggung kerugian.
Plaintif menuntut ganti rugi RM1.15 juta daripada kerajaan negeri dan/atau Syabas atau secara alternatif dibayar ganti rugi sejumlah potongan 20 meter padu air yang mereka bayar setakat ini dari Jun 2008 sehingga Ogos 2012.
Mereka juga menuntut pengisytiharan bahawa Skim Air Percuma yang dijanjikan kerajaan Selangor merangkumi semua pengguna air di negeri ini tanpa mengira sama ada pengguna meter pukal atau individu selain perintah injunksi mandatori supaya Syabas mengeluarkan bil air dengan rebat atau potongan yang dijanjikan kepada plaintif
sumber nadi tg karang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan