Iblis datang kepada Nabi Musa dan berkata: “Engkaulah yang dipilih oleh Allah sebagai rasul-Nya dan Kalimullah sedangkan aku seorang makhluk biasa yang ingin juga bertaubat kepada Tuhan. Maka tolonglah aku semoga taubatku diterima. Nabi Musa merasa gembira lalu ia berwuduk dan sembahyang kemudian ia berdoa: “Ya Tuhan, iblis adalah makhluk-Mu dan dia ingin bertaubat maka terimalah taubatnya.”
Nabi Musa sangat gembira dan menyampaikan suara wahyu itu kepada iblis. Tiba-tiba iblis marah dan sombong serta berkata: “Aku tidak sujud kepadanya pada masa hidupnya, bagaimana aku hendak sujud kepadanya selepas kematiannya?
Lalu iblis berkata: Hai Musa kerana engkau telah menolongku, maka kini engkau berhak menerima hadiah daripadaku, maka aku berpesan kepadamu tiga perkara iaitu ingatlah kepadaku ketika marah sebab aku di dalam tubuhmu mengikut saluran darah, ingatlah kepadaku ketika menghadapi musuh semasa di medan perang sebab aku datang kepada anak Adam mengingatkan kepadanya keadaan isteri, anak, hartanya sehingga dia lari ke belakang dan awaslah iaitu ketika duduk sendirian dengan wanita yang bukan mahram sebab aku sebagai utusannya kepadamu dan utusanmu kepadanya.”
Perasaan marah adalah sifat tercela yang paling banyak membawa kebinasaan kerana perlakuan sedemikian akan mengakibatkan tindak balas anggota badan memukul, memaksa dan membunuh. Sementara dalam hatinya timbul rasa dendam, dengki dan gembira jika bala menimpa orang dimarahi.
Sebaliknya, dia berasa dukacita dan marah jika mereka mendapat nikmat lalu berazam akan membuka rahsianya. Kesemua itu sebab menjadikan seseorang rosak binasa.
Imam al-Ghazali berkata, berlakunya sifat marah itu kerana urat saraf manusia ditarik oleh syaitan. Ini bererti orang yang suka marah telah mengikat persahabatan dengan syaitan.
Daripada Abu Hurairah, seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Wasiatkan kepadaku. Sabda Baginda SAW: Jangan marah. Kemudian beliau berulang kali bertanya. Sabda Baginda SAW: Jangan marah.” (Riwayat al-Bukhari)
Janganlah marah ialah jangan menurut hawa nafsu kemarahan bukan melenyapkan sama sekali nafsu itu kerana kemarahan adalah satu-satunya daripada tabiat manusia yang tidak mungkin dihapuskan.
Kita seharusnya mengatasi sifat marah dengan ilmu pengetahuan dan tindakan susulan berbentuk ucapan kalimah Allah. Ilmu pengetahuan inilah yang mengetahui tidak ada sebab untuk kita marah kecuali kita mengingkari sesuatu berlaku atas kehendak Allah SWT.
Rentetan daripada itu, ucapan ‘Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang terkutuk’ wajar diucapkan bagi menghilangkan sifat marah dalam diri.
Marah itu berpunca daripada syaitan. Jika kemarahan masih belum reda dan berhenti dengan ucapan tadi, hendaklah duduk jika kita berdiri. Kalau duduk, hendaklah berbaring tetapi jika kemarahan masih berlarutan dan sukar reda, hendaklah kita mengambil air sembahyang.
Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api dan api hanya boleh dipadamkan dengan air, maka apabila salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil air sembahyang.” (Riwayat Abu Daud)
Sabda Rasulullah SAW lagi: “Ketahuilah bahawa marah itu seperti bara api dalam jantung (hati) anak Adam. Adakah tidak kamu melihat ketika marah pada kedua-dua matanya dan bengkak urat lehernya, maka sesiapa yang mendapat sesuatu daripada sedemikian itu, maka hendaklah ia memukul pipinya dengan bumi.” (Riwayat at-Tarmizi)
Menahan kemarahan adalah perlakuan terpuji. Allah SWT berfirman: “Dan orang yang sabar menahan marah.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)
Mudah-mudahan kita semua termasuk dalam golongan orang yang mampu menahan perasaan marah dan akhir sekali mendapat rahmat serta pembalasan sewajarnya daripada Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan