Segala artikel yang disiarkan di laman blog ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ianya tidak mewakili mana-mana parti, orginasasi atau mana-mana pertubuhan. Jika berlaku sebarang kecelaruan emosi ketika membaca atau menyaksikan bahan-bahan yang dipaparkan ianya di luar tanggungjawab penulis. Ingin berkongsi artikel dan maklumat yang menarik emelkan kepada : Koboimacho@gmail.com"

NUFFNANG

TRANSLATE

Ahad, 21 April 2013

BUAT PERTAMA KALI DALAM SEJARAH POLITIK MALAYSIA INI TERJADI !!!!


Kuala Lumpur: Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semalam mencipta sejarah dan melakar kejutan yang tidak pernah berlaku pada beberapa siri pilihan raya umum sebelum ini apabila beberapa nama besar sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun pakatan pembangkang terdiri PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sanggup melakukan ‘kamikaze politik’ apabila bertanding calon Bebas menentang calon rasmi parti mereka.
Paling mengejutkan ialah tindakan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Kamilia Ibrahim, 60, yang tampil mengemukakan borang pencalonan sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Perak menentang calon BN Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad serta calon PAS Dr Khalil Idham Lim Abdullah. Kamilia dipercayai mengambil tindakan nekad itu akibat kecewa berikutan tidak dicalonkan BN mengakibatkan beliau dipecat serta-merta daripada parti seumur hidup.

Seorang lagi nama besar dalam UMNO yang sanggup melakukan tindakan sama ialah bekas Timbalan Menteri Pertanian Datuk Seri Mohd Shariff Omar yang turut tampil bertanding calon Bebas di kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua, Pulau Pinang, dengan alasan sama berikutan kecewa tidak dicalonkan bertanding dalam PRU-13 pada 5 Mei depan. Mohd Sharif berdepan saingan tiga penjuru dengan calon BN Shabudin Yahaya dan wakil PAS Datuk Seri Abdul Rahman Maidin yang juga bekas Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia. Bagi DAP pula, antara nama besar yang turut melakukan tindakan kamikaze politik ialah veteran DAP Melaka Sim Tong Him yang mulanya dicalonkan parti itu bertanding di kerusi Parlimen Kota Melaka menentang calon BN Dr Yee Kok Wah sebelum mengambil tindakan nekad bertanding calon Bebas di kerusi DUN Kota Laksamana, Melaka menentang calon rasmi parti itu Lai Keun Ban dan calon BN Datuk Chiw Tiang Chai untuk saingan tiga penjuru kerusi berkenaan.
Seorang lagi pemimpin DAP yang turut bertanding sebagai calon Bebas akibat kecewa digugurkan ialah penyandang ADUN Teratai dalam Parlimen Pandan, Selangor Janice Lee Ying Ha untuk saingan lima penjuru menentang calon rasmi DAP Tiew Wang Keng, Liew Poh Boon (BN)) serta dua lagi calon Bebas iaitu Chin Kok Keong dan Lim Ah Chai.

Bagi PAS, terdapat dua ahlinya yang turut bertanding calon Bebas di Kelantan iaitu DUN Guchil dan Selising. Di Guchil, Ketua PAS Cawangan Guchil Hulu Kuala Krai Mohamad Bustaman Yaacob, 54, bertanding Bebas selepas mendakwa tidak berpuas hati dengan penyandang ADUN Guchil dari PKR Tuan Zamri Ariss Tuan Zakaria yang didakwa kacang lupakan kulit manakala di Selising, Setiausaha PAS Cawangan Danan Timur Ibrahim Ismail, 63, bertanding Bebas kerana tidak puas hati PAS tetap mencalonkan penyandang DUN Selising Saipul Bahrin Mohamad bertanding semula. Usaha wartawan menemubual Kamalia gagal apabila beliau dipercayai ‘melarikan’ diri kira-kira setengah jam sebelum pengumuman pencalonan dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Kangsar Dr Zulkapli Mohamed, kira-kira jam 12 tengah hari.

Sejurus itu, Kamalia menerusi akaun laman sosial Facebook mengumumkan peletakan semua jawatan disandangnya dalam UMNO.
Statusnya dipetik sebagai ‘Saya Kamilia Ibrahim telah disahkan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) sebagai calon Bebas Parlimen Kuala Kangsar dan dengan ini mengumumkan peletakan jawatan selaku Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Ketua Wanita UMNO Kuala Kangsar dan ahli UMNO’.

Sim pula berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan DAP mengenai perkara itu.
“Saya serahkan kepada pemimpin DAP untuk membuat keputusan. Jika mereka mendapati ini sesuatu perkara yang serius, saya bersedia menghadapi akibatnya. “Saya membuat keputusan yang amat sukar, saya sudah lama mempertimbangkan keputusan ini. Saya membuat keputusan ini demi kepentingan parti sebab apabila calon Kota Laksamana diumumkan, ramai penyokong parti membantah dan cakap mereka sanggup undi BN. “Sebab saya tak mahu Kota Laksamana ditewaskan oleh BN, maka saya membuat keputusan ini,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon bagi kawasan Parlimen Kota Melaka di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu, Melaka, semalam.

Di Tasek Gelugor, Mohd Shariff berkata, beliau bersedia dikenakan apa saja tindakan oleh Lembaga Tatatertib UMNO kerana bertanding atas tiket Bebas.

“Saya menawarkan diri bertanding atas tiket Bebas kerana yakin pengundi tahu siapa yang akan mereka pilih berdasarkan rekod perkhidmatan kepada rakyat sebelum ini,” katanya selepas menyerahkan borang penamaan calon di Dewan Besar Sungai Dua, semalam.

Di Selangor, Parlimen Sepang turut menyaksikan penyandangnya Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berdepan tentangan rakan sepasukan iaitu bekas ADUN Dengkil Datuk Suhaimi Mohd Ghazali yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Selangor yang bertanding atas tiket Bebas.

Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu Kawan A Mohan juga meninggalkan GERAKAN dan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen itu dan DUN Bukit Tengah menentang Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow.

Parlimen Batu Kawan menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila calon BN N Gobalakrishnan ditentang calon Parti Cinta Malaysia (PCM) Huan Cheng Guan, calon DAP P Kasthuriraani selain Mohan. Sementara itu, ahli MCA yang bertanding atas tiket Bebas digugurkan keanggotaannya serta-merta tanpa sebarang pengecualian, kata Presiden parti itu Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, semalam.

Menurutnya, MCA tidak akan membenarkan mana-mana ahlinya bertanding atas tiket Bebas kerana mereka melakukan kesalahan serius melanggar perlembagaan dan disiplin parti.

“MCA sebelum sudah mengingatkan ahli, sesiapa yang bertindak mensabotaj kempen pilihan raya, keahlian mereka akan digugurkan dan tidak akan ada kompromi berhubung perkara ini.

“Parti tidak akan bertolak ansur dengan tindakan ahli yang bertanding sebagai tiket Bebas termasuk Yoong Tham Fook yang bertanding sebagai calon Bebas di Kuala Kubu Baru. MCA akan mengambil tindakan disiplin terhadap beliau dan menggugurkan keahliannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Tan Kok Wai berkata, semua anggota DAP yang bertanding sebagai calon Bebas dalam PRU-13 akan dipecat termasuk Jenice dan Sim.

Beliau berkata, pendirian itu sudah diputuskan oleh kepimpinan parti lebih awal.

Bagaimanapun, katanya, menurut perlembagaan parti, pihak terbabit boleh merayu dalam tempoh 14 hari.

“Sesiapa yang bertanding atas tiket bebas boleh dipecat, namun mereka boleh membuat rayuan dalam tempoh 14 hari,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Di Kelantan, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, dua ahli PAS yang bertanding calon Bebas di negeri ini bakal berdepan tindakan kerana mereka melanggar etika parti.

Menurutnya, tindakan ahli PAS berkenaan akan dirujuk kepada pucuk pimpinan dalam masa terdekat untuk menentukan bentuk tindakan bakal diambil.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan dibincangkan terlebih dulu kerana PAS tidak akan mengambil keputusan drastik seperti memecat keahlian.

“Tindakan dibuat itu (bertanding calon Bebas) sesuatu yang tidak kena dengan parti, namun kita akan rujuk kepada pucuk pimpinan sebelum mengadakan perbincangan menentukan tindakan bakal diambil,” katanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apabila Anwar melanggar adab, susila, ketaatan kepada Negara, beliau mudah digelar Petualang Negara. Ramai baik tua baik muda menyoal tahap kesetiaan Anwar kepada bangsa, agama dan negara.

Oleh itu, PRU13 adalah ujian getir ANWAR.