KUALA LUMPUR – : Laman Facebook bagi menjawab maklumat salah tentang Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ditimbulkan oleh calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Perak Dyana Sofya Mohd Daud, diwujudkan.
Laman itu yang mula didaftar kelmarin, sehingga kini menerima 406 ‘like’ daripada pengguna media sosial itu.
Menurut laman itu, ia diwujudkan bagi menjawab balik maklumat salah dan penipuan yang disebarkan oleh Dyana Sofya tentang UiTM.
“Untuk menjawab maklumat salah dan pembohongan sedang disebarkan oleh anggota DAP Dyana Sofya Mohd Daud berhubung UiTM,” menurut laman itu.
Dyana Sofya menerima kritikan hebat, khususnya daripada warga UiTM selepas secara lantang mempertikai peranan universiti itu yang memberi pendidikan peringkat tinggi untuk orang Melayu dan Bumiputera.
Dyana Sofya, yang juga bekas penuntut jurusan undang-undang UiTM sebelum ini mendakwa universiti itu hanya mengambil penuntut daripada kalangan keluarga pemimpin Umno yang berada untuk melanjutkan pelajaran, berbanding penuntut miskin yang lebih layak bukan daripada keluarga anggota Umno.
Dakwaan itu kemudian ditolak Naib Canselornya Tan Sri Profesor Sahol Hamid Abu Bakar yang berkata penuntut UiTM dipilih berdasarkan merit dan cukup syarat, bukan berdasarkan fahaman politik dan status keluarga masing-masing.
Sahol Hamid berkata UiTM mengambil penuntut berdasarkan permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) untuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan ia tidak boleh membuat pilihan mengikut parti.
Persatuan Alumni UiTM Malaysia pula menegaskan UiTM tidak harus dijadikan bahan kempen politik seperti yang dilakukan pihak tertentu semasa pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan.
Sementara itu, Pro-Canselornya Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad berkata UiTM perlu dipertahan sebagai sebuah institusi yang memberikan pendidikan peringkat tinggi untuk orang Melayu dan Bumiputera lain seperti yang terkandung dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.-HM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan