Segala artikel yang disiarkan di laman blog ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ianya tidak mewakili mana-mana parti, orginasasi atau mana-mana pertubuhan. Jika berlaku sebarang kecelaruan emosi ketika membaca atau menyaksikan bahan-bahan yang dipaparkan ianya di luar tanggungjawab penulis. Ingin berkongsi artikel dan maklumat yang menarik emelkan kepada : Koboimacho@gmail.com"

NUFFNANG

TRANSLATE

Jumaat, 21 Mac 2014

MH370: Kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang media mengenai MH370 di Hotel Sama Sama di sini, hari ini. Turut sama Wakil Khas Perdana Menteri Malaysia ke China Tan Sri Ong Ka Ting (kanan) dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman (kiri).
Beliau mengumumkan kapal tentera laut memerlukan masa untuk berlayar ke kawasan sejauh 2,500 kilometer dari Perth dalam usaha untuk mendapatkan pengesahan dari maklumat berkaitan penemuan objek di Lautan Hindi oleh satelit Australia.
KUALA LUMPUR - Berikut kenyataan Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada taklimat media mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas, di Sepang, Selangor, Jumaat:

"Malaysia terus berusaha menangani cabaran diplomatik, teknikal dan logistik melibatkan operasi mencari MH370.

"Kami masih menunggu maklumat daripada operasi mencari dan menyelamat Australia mengenai sama ada objek dipaparkan dalam imejan satelit dikeluarkan Australia semalam (20 Mac) benar-benar berkaitan dengan MH370.

"Pada masa yang sama, kami meneruskan operasi mencari dan menyelamat di kawasan koridor selatan dan koridor utara yang masih belum diliputi. Kini, saya akan berikan taklimat perkembangan terkini operasi.

Perkembangan operasi

"Usaha mencari di barat daya Perth diteruskan, dan pihak berkuasa Australia mempergiatkan usaha mereka di kawasan itu. HMAS Success dijangka sampai ke kawasan objek itu esok (22 Mac)."

"China menghantar lima kapal dan tiga helikopter yang sedang menuju ke koridor selatan. Tiga pesawat China (dua Ilyushin IL-76s dan satu Shaanxi Y-8) tiba di Malaysia pada 11 pagi ini (21 Mac). Ia juga akan melakukan pencarian di koridor selatan.

"Jepun menghantar asetnya ke Perth, termasuk dua pesawat P-3 Orion, untuk membantu Australia dalam usaha mencari.

"Pagi ini (21 Mac) saya bercakap dengan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom yang mengesahkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah bercakap dengan Perdana Menteri UK (David Cameron), dan HMS Echo sudah dalam perjalanan menuju ke selatan Lautan Hindi untuk membantu usaha mencari. Beliau turut mengesahkan bahawa UK akan memberikan kita senarai aset yang mungkin boleh dikerahkan jika perlu.

"Beliau turut mengesahkan bahawa, sebagai tambahan kepada bantuan teknikal diberikan setakat ini, ia juga bersedia memberikan bantuan pakar pencarian dan penyiasatan sebaik sahaja lebih banyak maklumat mengenai nasib MH370 diketahui.

"Saya juga berhubung dengan delegasi Perancis, diketuai Duta Besar Perancis di Malaysia, dan termasuk individu yang mengetuai penyiasatan nahas Air France 447 terhempas. Mereka telah bersetuju untuk membantu kita berdasarkan pengalaman dan kepakaran mereka."

"Saya juga akan menghubungi Setiausaha Pertahanan AS pada 21:15 malam ini (21 Mac), untuk memohon aset khusus lain untuk membantu usaha mencari dan menyelamat, termasuk kenderaan beroperasi menggunakan alat kawalan jauh bagi pencarian di laut dalam.

"Pihak Kazakhstan telah memberi jaminan kepada kami bahawa mereka tidak menemui sebarang kesan MH370, dan kami sedang menunggu kebenaran bagi Kazakhstan digunakan sebagai pusat bagi operasi mencari.

"Mengenai penyiasatan polis, polis Ukraine telah mengesahkan pemeriksaan latar belakang terhadap penumpang warga Ukraine mendapati mereka 'bersih'.

Pemerosesan data satelit

"Saya mahu bincangkan secara ringkas pemerosesan data Inmarsat.

"Pasukan penyiasat menerima data kasar satelit Inmarsat yang lengkap termasuk enam 'handshake' pada kira-kira 15:00 Rabu, 12 Mac.

"Data jenis ini biasanya tidak digunakan dalam penyiasatan seperti ini. Oleh kerana kita hanya mempunyai begitu sedikit maklumat lain untuk digunakan dalam situasi sukar dan tidak pernah berlaku sebelum ini, menyebabkan data ini digunakan.

"Sebaik menerima data kasar, pihak berkuasa Malaysia serta merta berbincang dengan pasukan AS mengenai bagaimana data ini boleh digunakan. Pasukan AS dan pasukan penyiasat kemudian menghantar data ini ke AS, kerana ia memerlukan pemerosesan lebih lanjut sebelum boleh digunakan.

"Keputusan awal diterima pada Khamis 13 Mac pada kira-kira 13:30, tetapi telah dipersetujui oleh pasukan AS dan pasukan penyiasat bahawa ia perlu diperhalusi lagi, jadi data itu sekali lagi dihantar ke AS.

"Keputusan diterima pada kira-kira 14:30 Jumaat 14 Mac, dan dibentangkan kepada pasukan penyiasat pada mesyuarat peringkat tinggi pada 21:00 Jumaat. UK AAIB, yang turut memproses data ini secara bebas, membentangkan keputusan mereka - yang selaras dengan keputusan kami dan pasukan AS - pada mesyuarat itu.

"Perdana Menteri diberikan taklimat mengenai maklumat satelit ini pada 08:00 Sabtu, 15h Mac, dan mengumumkannya pada sidang akhbar pada waktu makan tengah hari Sabtu. Operasi mencari dan menyelamat dialih ke koridor utara dan koridor selatan.

Penjagaan keluarga
     
"Malam tadi di Kuala Lumpur kami mengadakan taklimat untuk anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370. Seperti saya nyatakan dalam kenyataan semalam, taklimat itu untuk memaklumkan perkembangan terkini kepada anggota keluarga, dan untuk menjawab soalan dan menjelaskan sebarang kekeliruan.
    
"Mesyuarat itu telah dihadiri anggota keluarga dari negara berlainan, termasuk Malaysia, dan wakil Kedutaan China di Kuala Lumpur.
   
"Delegasi peringkat tinggi Malaysia, termasuk wakil Malaysia Airlines, Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara turut menghadiri mesyuarat.
    
"Perbincangan berlangsung secara konstruktif dan berterus terang. Walaupun kami menjawaB hampir semua soalan dikemukakan, kami tidak dapat menjawab semuanya. Taklimat ini akan diteruskan – mengikut kesesuaian keluarga – selagi keluarga mahukannya.
    
"Taklimat menjadikan anggota keluarga dan pihak berkuasa Malaysia lebih rapat, bukan sahaja dari segi berkongsi maklumat, tetapi juga dari segi
mendengar suara hati anggota keluarga.

"Duta Khas Perdana Menteri ke China akan menyelaraskan taklimat di Kuala Lumpur mulai sekarang.
 
"Pasukan peringkat tinggi saya umumkan semalam tiba di Beijing malam tadi. Hari ini mereka bertemu dengan anggota keluarga selama tiga jam setengah.
        
Kenyataan penutup
    
"Usaha mencari akan diteruskan melibatkan pelbagai negara dari seluruh dunia dan diselaraskan Malaysia. Kami terus menerima tawaran bantuan, termasuk aset khusus yang dapat membantu operasi mencari dan menyelamat. Kami mengalu-alukan semua bantuan tatkala kami meneliti semua petunjuk berwibawa. " - Bernama

Tiada ulasan: