Segala artikel yang disiarkan di laman blog ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ianya tidak mewakili mana-mana parti, orginasasi atau mana-mana pertubuhan. Jika berlaku sebarang kecelaruan emosi ketika membaca atau menyaksikan bahan-bahan yang dipaparkan ianya di luar tanggungjawab penulis. Ingin berkongsi artikel dan maklumat yang menarik emelkan kepada : Koboimacho@gmail.com"

NUFFNANG

TRANSLATE

Khamis, 9 Januari 2014

Jais tidak perlu maklumkan serbuan, kata Mais selepas Selangor umum SOP baru

Berhubung tulisan Admin @pm semalam berkenaan saranan MB Selangor yang mahu sebarang tindakan jais harus memberitahu Kerajaan Negeri untuk di bawa berbincang maka hari ini Mais meminta orang ramai tidak mengambil kesempatan mempolemikkan isu serbuan Jais ke atas premis milik PBM minggu lalu agar penyiasatan dapat dijalankan tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak demi mencapai matlamat penyiasatan yang adil. 
SHAH ALAM -Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak perlu memaklumkan kepada mana-mana pihak sebelum membuat sebarang serbuan kerana ia hanya akan mengganggu proses penyiasatan, kata Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa menegaskan, tindakan Jais menyerbu premis Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) minggu lalu adalah berlandaskan Enakmen 1998 yang mana merupakan peruntukan undang-undang sedia ada di Selangor.
“Pihak Mais juga menegaskan bahawa Jais tidak perlu memaklumkan kepada mana-mana pihak apabila ingin mengambil sesuatu tindakan pemeriksaan dan penyiasatan kerana ini akan mengganggu proses penyiasatan yang hendak dilakukan.
“Bagaimanapun tindakan pihak Jais ini dilakukan setelah pihak Mais mengambil penegasan di dalam mesyuarat bulanan Mais agar pihak Jais mengambil tindakan terhadap aduan orang ramai berkaitan kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen 1988 ini atau dengan kata lain menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada di Selangor,” kata Mohamad Adzib dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Kenyataan ini datang selepas kerajaan Selangor semalam menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baru Jais yang berkuatkuasa serta-merta memperuntukkan pihak berkuasa agama itu perlu mendapatkan kebenaran kerajaan negeri sebelum apa-apa serbuan melibatkan perkara sensitif dilakukan.
Perkara itu disahkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor di Shah Alam petang semalam.
“Kerajaan negeri juga akan meneruskan perbincangan dengan Mais dan Jais untuk memastikan penguatkuasaan pada masa hadapan dijalankan secara tertib dan bertanggungjawab,” kata Abdul Khalid ketika sidang media sejurus tamat mesyuarat berkenaan.
“Ia (SOP) akan diimplementasikan sekarang dan sudah berkuatkuasa. Tiap-tiap tindakan akan dibuat bersama,” katanya.
Tindakan Jais merampas 300 naskhah Bible berbahasa Melayu dan Iban dari pejabat PBM tegasnya, bukan atas dasar cetakan Bible berkenaan di dalam versi bahasa Melayu tetapi atas dasar kalimah Allah telah digunakan di dalam Bible berkenaan.
“Ini mengundang kepada satu justifikasi siasatan bagi mengenalpasti samada berlaku satu kesalahan di bawah Seksyen 9 Enakmen 1988,” jelasnya lagi.
Mohamad Adzib berkata, tindakan Jais itu hendaklah jangan disalah anggap sebagai satu tindakan bersifat menyekat atau campur tangan terhadap kebebasan beragama oleh penganut-penganut agama lain seperti mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Ini kerana tindakan Jais sekadar menguatkuasakan satu undang-undang yang sedia ada yang telah digubal menurut peruntukan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, ia tidak ada kena mengena dengan unsur-unsur menyekat kebebasan penganut agama lain daripada melaksanakan amalan agama mereka,” katanya.
Jais juga jelasnya tidak langsung mengambil tindakan menyekat penganut beragama Kristian  melaksanakan upacara keagamaan mereka seperti yang diperuntukan di dalam Perlembagaan.
Beliau turut berkata, di samping Enakmen 1988 mengenai pengawalan penggunaan kalimah Allah, terdapat juga fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 18 Februari 2010 yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam yang lain.
“Malah fatwa Jawatankuasa Negeri ini konsisten dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-82,” katanya.
Tegas Mohd Adzib, Mahkamah Rayuan di dalam kes Menteri Dalam Negeri dan lapan yang lain lawan Titular Roman Catholic Arcbishop of Kuala Lumpur telah memutuskan pada 14 Oktober 2013 bahawa penggunaan kalimah Allah di dalam agama Kristian akan menyebabkan kekeliruan di dalam masyarakat dan kalimah Allah bukanlah merupakan asas atau tunjang utama kepada kefahaman agama Kristian.
“Keputusan kes ini walaupun sedang menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan, setakat ini keputusan berkenaan mengikat semua pihak di negara ini,” katanya.
Jelasnya lagi, berikutan dengan fatwa yang dikeluarkan di peringkat negeri dan kebangsaan serta keputusan Mahkamah Rayuan dengan juga mengambil kira peruntukan undang-undang di bawah Enakmen 1988, Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor telah memutuskan agar setiap tindakan yang bakal diambil oleh badan penguatkuasaan agama negeri Selangor perlulah selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada yang terpakai di Selangor khususnya Enakmen 1988.
“Dengan penjelasan ini, Mais meminta orang ramai tidak mengambil kesempatan mempolemikkan isu ini agar penyiasatan dapat dijalankan tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak demi mencapai matlamat penyiasatan yang adil dan efektif.” 
Diharap selepas ini MB Selangor dapat memberi ruang kepada JAIS dalam melaksanakan tanggung jawabnya terhadap kepentingan Islam dan juga Admin berharap khaled menunaikan 10 aku janji beliau semasa perlantikan mengangkat sumpah menjadi MB Selangor dulu iaitu menjaga kepentingan Agama dan diharap dengan tiada campur tangan dari nya maka Dap tidak menyalah guna kuasa bersuara menentukan jalan pemerintahan Negeri Selangor.

Tiada ulasan: