Segala artikel yang disiarkan di laman blog ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ianya tidak mewakili mana-mana parti, orginasasi atau mana-mana pertubuhan. Jika berlaku sebarang kecelaruan emosi ketika membaca atau menyaksikan bahan-bahan yang dipaparkan ianya di luar tanggungjawab penulis. Ingin berkongsi artikel dan maklumat yang menarik emelkan kepada : Koboimacho@gmail.com"

NUFFNANG

TRANSLATE

Jumaat, 25 April 2014

Penduduk Kelantan didedah mengenai GST

KOTA BHARU - Kira-kira 40 peratus daripada 1.54 juta penduduk Kelantan telah didedahkan mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan.
   
Pengarahnya Datuk Azis Yacub berkata pendedahan serta penerangan mengenai CBP dibuat meliputi pelbagai golongan masyarakat bermula daripada kumpulan profesional sehingga ke petani.
   
"Kita mengharapkan mereka lebih memahami dan tidak memburukkan kerajaan terhadap pelaksanaan cukai tersebut mulai 1 April 2015.
   
"Kita sedang giat adakan ceramah-ceramah untuk memberi penerangan di seluruh negeri mengikut bidang pekerjaan masing-masing. Contohnya, semalam kita jumpa pengilang-pengilang dalam kumpulan kecil seramai 120 orang untuk terangkan kepada mereka secara terperinci mengenai pelaksanaan CBP," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.
   
Azis berkata pihaknya berharap mereka yang mendengar penerangan mengenai kaedah pelaksanaan CBP itu akan bertindak menerangkan kepada rakan yang lain.

 "Kita juga sedang memenuhi pelawaan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), parti politik, jawatankuasa kampung dan agensi-agensi kerajaan untuk kita beri penerangan supaya mereka benar-benar faham mengenai CBP," katanya.
   
Beliau berkata pihaknya menyasarkan agar semua penduduk negeri ini diberi penerangan sebelum pelaksanaan CBP pada 1 April 2015.
   
"Sejak tujuh bulan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pelaksanaan CBP ini, pihak Kastam sedaya upaya mencari inisiatif untuk memberi penjelasan kepada rakyat mengenai cukai tersebut.
   
"Kita ada masa kira-kira 11 bulan lagi untuk menerangkan kepada kesemua rakyat di negeri ini yang masih belum mendapat penerangan mengenai cukai ini dan berharap ia mampu dicapai sebelum pelaksanaannya," katanya.
   
Sementara itu, seorang suri rumah Rahimah Jaafar, 48, berkata beliau lebih memahami kaedah pelaksanaan cukai tersebut setelah mendengar penerangan daripada anaknya yang bekerja sebagai guru.

"Sebelum ini saya dah dengar CBP ini beberapa kali dan menonton iklan tersebut di televisyen tetapi masih tidak memahami apa kaedah dan cara pelaksanaannya...dan apabila anak jelaskan saya lebih faham," katanya.
   
Seorang petani, Hamzah Che Man, 52, berkata beliau faham mengenai CBP apabila diperjelaskan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dalam satu kumpulan kecil.
   
"Sebelum ini saya tidak faham dan menganggap barangan akan naik apabila CBP dilaksanakan namum setelah mendengar penerangan melalui perjumpaan dengan JKKKP saya lebih faham dan tiada masalah sekiranya CBP dilaksanakan," katanya.
   
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2014 pada Oktober tahun lepas mengumumkan cukai tunggal CBP (GST) pada kadar 6 peratus akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus. - Bernama

Tiada ulasan: