KUALA LUMPUR – DAP hari ini berpuas hati dengan penjelasan Pas dan Kerajaan Kelantan mengenai hasrat mereka melaksanakan hukum hudud namun ia tetap isu berasingan dan bukan agenda PR.
Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, walaupun isu hudud itu isu persendirian Pas, namun pihaknya cuba mencari persefahaman dalam perikatan itu.
“Kami telah memberikan pandangan dan jelaskan pendirian kami bahawa isu hudud, bukan agenda bersama dalam PR dan kita masih dalam perbincangan serta berkongsi pandangan.
“Mesyuarat ini cuba mencari titik pertemuan dan agenda bersama, hudud bukan salah satu agenda kami (PR),” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat setiausaha agung PR di Pejabat Agung Pas, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas lanjut pertemuan khas PR antara wakil DAP dan PKR bagi mendengar penerangan serta penjelasan Pas Pusat serta Kerajaan Kelantan mengenai hukum hudud di negeri itu.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Setiausaha Agung DAP, Ngeh Khoo Ham; Naib Pengerusi, Teresa Kok Suh Sim dan Pengarah Strategi DAP, Ong Kian Ming dan wakil PKR, R Sivarasa.
Mengulas lanjut, beliau berharap semua pihak berkepentingan memahami isu tersebut dan jika Pas bertegas meneruskannya akan mendatang risiko kepada parti itu dalam PR.
“Kita akan berharap semua boleh fahami isu tersebut dan risiko politik yang dibawa bersama dengan isu ini,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan