Segala artikel yang disiarkan di laman blog ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ianya tidak mewakili mana-mana parti, orginasasi atau mana-mana pertubuhan. Jika berlaku sebarang kecelaruan emosi ketika membaca atau menyaksikan bahan-bahan yang dipaparkan ianya di luar tanggungjawab penulis. Ingin berkongsi artikel dan maklumat yang menarik emelkan kepada : Koboimacho@gmail.com"

NUFFNANG

TRANSLATE

Khamis, 9 Januari 2014

MAIS - Kenyataan MKPN tidak tepat

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)  menyifatkan kenyataan Pengerusi Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional seperti yang dilaporkan media baru-baru ini adalah tidak tepat sehingga boleh menyebabkan salah tanggap masyarakat terhadap Jabatan Islam Agama Selangor (JAIS) berhubung serbuan ke atas Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada 2  Januari lalu.
Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa dalam satu kenyataan hari ini berkata, dakwaan bahawa serbuan tersebut dilakukan semata-mata kerana adanya cetakan Bible adalah tidak benar, sebaliknya atas dasar kalimah Allah digunakan dalam Bible berkenaan sekaligus mendorong JAIS untuk melakukan siasatan mengikut Seksyen 9 Enakmen 1988.
Berikut adalah kenyataan penuh MAIS:
Kenyataan media Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhubung tindakan penguatkuasa Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan orang Islam) 1988.
Kenyataan media ini dibuat bagi menjelaskan tindakan yang telah diambil oleh pihak JAIS sebagai badan penguatkuasa undang-undang Islam di negeri Selangor.
MAIS menegaskan bahawa tindakan yang dilakukan oleh JAIS pada 2 Januari 2014 dengan memasuki premis perniagaan di Damansara Kim atas nama Bible Society of Malaysia, Petaling Jaya seterusnya menyita sebilangan jumlah kitab Bible (Al-Kitab) bersi Bahasa Melayu termasuk nashkah cetakan Bahasa Melayu Injil Lukas yang tertera Kalimah Allah adalah selaras dengan kuasa yang diberikan di bawah undang-undang khususnya di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembanhan di kalangan Orang Islam) 1988 (selepas ini dirujuk sebagai Enakmen).
Tindakan JAIS adalah satu tindakan pemeriksaan dan penyiasatan setelah aduan orang ramai diperolehi berkaitan dengan kegiatan penerbitan kitab Bible (Al-Kitab) yang menggunakan kalimah Allah di dalam kitab Bible (Al-Kitab) berkenaan yang merupaka suatu kesalahan di bawah Seksyen 9 Enakmen 1988.
Pihak JAIS mempunyai kuasa melakukan tindakan pemeriksaan dan penyiasatan walaupun melibatkan orang bukan Islam oleh kerana Enakmen 1988 adalah terpakai bukan sahaja kepada orang Islam tetapi orang bukan Islam juga dan peruntukan Seksyen 12 Enakmen 1988 yang dibaca bersama Jadual di dalam Enakmen 1988 berkenaan jelas memberi kuasa kepada pihak JAIS di samping pihak polis untuk melakukan penyiasatan.
MAIS juga menegaskan bahawa tindakan JAIS bukan atas dasar cetakan Bible berkenaan di dalam versi bahawa Melayu tetapi atas dasar kalimah Allah telah digunakan dalam Bible berkenaan dan ini mengundang kepada satu justifikasi siasatan bagi mengenalpasti sama ada berlaku satu kesalahan di bawah Seksyen 9 Enakmen 1988. Malangnya pihak media termasuklah kenyataan Pengerusi National Unity Consultative Council (NUCC) seperti yang dilaporkan dalam akhbar semalam telah melaporkan fakta yang tidak tepat sama sekali bagi menggambarkan seolah-olah tindakan JAIS adalah semata-mata kerana cetakan Bible berkenaan adalah di dalam versi bahasa Melayu. Tindakan pihak-pihak berkenaan amatlah dikesali kerana mereka telah membuat kenyataan tanpa menyemak fakta yang sebenar. Ini menyebabkan salah tanggapan masyarakat terhadap tindakan JAIS.
Di samping itu, pihak MAIS juga menegaskan bahawa JAIS tidak perlu memaklumkan kepada mana-mana pihak apabila ingin mengambil sesuatu tindakan pemeriksaan dan penyiasatan kerana ini akan mengganggu proses penyiasatan yang hendak dilakukan. Walau bagaimanapun tindakan pihak JAIS ini dilakukan setelah pihak MAIS mengambil penegasan di dalam mesyuarat bulanan MAIS agar pihak JAIS mengambil tindakan terhadap aduan orang ramai berkaitan dengan kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen 1988 atau dengan kata lain menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada di Selangor.
Tindakan JAIS ini hendaklah jangan disalah anggap sebagai satu tindakan yang bersifat menyekat atau campur tangan terhadap kebebasan beragama oleh penganut-penganut agama lain sepertimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah kerana tindakan JAIS sekadar menguatkuasakan satu undang-undang yang sedia ada yang telah digubal menurut peruntukan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, ianya tidak ada kena mengena dengan unsur-unsur menyekat kebebasan penganut agama lain daripada melaksanakan amalan agama mereka. JAIS tidak langsung mengambil tindakan menyekat orang-orang yang beragama Kristian dan melaksanakan upacara keagamaan mereka seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan.
Adalah juga diingatkan kepada orang awam bahawa di samping Enakmen 1988 mengenai pengawalan penggunaan kalimah Allah, terdapat juga fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan selangor yang telah diwartakan pada 18 Februari 2010 yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama-agama bukan Islam yang lain. Malah fatwa Jawatankuasa Negeri ini konsisten dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-82.
Di samping itu, Mahkamah Rayuan di dalam kes Menteri Dalam Negeri & 8 Yang Lain lawan Titular Roman Catholic Arcbishop of Kuala Lumpur (Rayuan Sivil No. W-01-1-2010) telah memutuskan pasda 14 Oktober 2013 bahawa penggunaan kalimah Allah di dalam agama Kristian akan menyebabkan kekeliruan di dalam masyarakat dan kalimah Allah bukanlah merupakan asas atau tunjang utama kepada  kefahaman agama Kristian. Keputusan kes ini walaupun sedang menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan setakat ini keputusan berkenaan mengikat semua pihak di Negara ini.
Berikutan dengan Fatwa yang dikeluarkan di peringkat Negeri dan Kebangsaan serta keputusan Mahkamah Rayuan dengan juga mengambil kira peruntukan undang-undang di bawah Enakmen 1988, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam negeri Selangor setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor telah memutuskan agar setiap tindakan yang bakal diambil oleh badan pengutkuasaan agama negeri Selangor perlulah seleras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada yang terpakai di negeri Selangor khususnya Enakmen 1988.
Dengan penjelasan ini, MAIS meminta orang ramai tidak mengambil kesempatan untuk memprolemikkan isu ini agar penyiasatan dapat dijalankan tanpa sebarang tekanan dari mana-mana pihak demi mencapai matlamat penyiasatan yang adil dan efektif
Datuk Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa
Pengerusi MAIS

Tiada ulasan: