PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat, agar suruhanjaya itu memantau setiap perbelanjaan kewangan KBS.
Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan akan mengetuai pasukan pemantauan itu yang bertujuan memastikan semua perbelanjaan KBS dibuat dengan telus.
"KBS perlu berhati-hati menguruskan kewangannya, sebagai contoh projek pembangunan seperti pembinaan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), pembekalan peralatan IKBN dan lain-lain, membabitkan kewangan yang besar nilainya, mencecah jutaan ringgit setahun maka MoU dengan SPRM ini dapat memastikan tiada ketirisan dan pembaziran wang,” katanya.
Khairy berkata, demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 kepada 351 warga KBS dan agensi di bawahnya, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Jamil Salleh. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan