Gara-gara kegagalan melunaskan bayaran ganti rugi RM30,000 dalam satu kes saman fitnah, barangan dalam rumah milik Ketua Wanita PKR negeri, Norhayati Jaafar di Taman Sri Kijang, Alma di sini hari ini disita oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Mahkamah mengeluarkan perintah sita itu hari ini setelah Norhayati gagal membayar ganti rugi RM30,000 kepada bekas ketua wanita PKR negeri Aminah Abdullah yang memenangi kes saman fitnah terhadap Ketua Wanita PKR negeri itu.
Peguam yang mewakili Aminah, Saiful Ambar Abdullah Ambar berkata jika Norhayati masih gagal membayar ganti rugi selepas 14 hari barangannya disita, mahkamah boleh mengambil tindakan melelong barangan berkenaan.
Katanya pada 27 Sept tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk G.V.Varughese mengeluarkan perintah kepada Norhayati sebagai defendan pertama dan dua lagi defendan, masing-masing membayar ganti rugi RM30,000 kepada Aminah kerana didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dalam akhbar Harakah edisi 20-22 Mei tahun lepas.
"Bagaimanapun tiga bulan selepas keputusan penghakiman dibuat semua defendan termasuk Norhayati gagal membayar ganti rugi berkenaan. Jadi ini adalah salah satu cara yang kita ambil iaitu dengan meminta mahkamah mengeluarkan perintah menyita barangan milik defendan,” katanya kepada pemberita di sini.bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan