KANGAR - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di mahkamah majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan melakukan khianat terhadap beberapa bendera Barisan Nasional (BN) dan UMNO di Abi dekat sini pada Isnin lepas.
Lelaki itu, Azhari Abu Bakar@Chik yang bekerja sendiri dari Kampung Batu 4 dekat sini didakwa mencabut empat helai bendera BN, tiga helai bendera UMNO, 17 keping plastik tertera logo BN, dua batang bendera UMNO, 24 batang bendera BN dan memotong satu sepanduk BN membabitkan kerugian kira-kira RM25.
Azhari, 48, yang diwakili peguam Asrul Abdul Halim didakwa melakukan kesalahan itu bersama sembilan lagi yang masih bebas di hadapan Bilik Gerakan BN cawangan Abi pada pukul 8.45 malam, 15 April.
Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Mohd Tarmizi Nik Mohd Syukri membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dan menetapkan 31 Mei 2013 untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan Ketua Unit Pendakwaan Perlis Azhar Mokhtar. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan