Segala artikel yang disiarkan di laman blog ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ianya tidak mewakili mana-mana parti, orginasasi atau mana-mana pertubuhan. Jika berlaku sebarang kecelaruan emosi ketika membaca atau menyaksikan bahan-bahan yang dipaparkan ianya di luar tanggungjawab penulis. Ingin berkongsi artikel dan maklumat yang menarik emelkan kepada : Koboimacho@gmail.com"

NUFFNANG

TRANSLATE

Isnin, 30 Disember 2013

Majlis Fatwa - Haram berdemonstrasi untuk timbul huru-hara

Semalam, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru hara dan kekacauan dalam negara. 

Pengerusinya, Professor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, jawatankuasa memandang serius isu itu di mana sebahagian umat Islam telah bertindak sebagai perusuh jalanan dalam banyak perhimpunan atau demonstrasi termasuk seperti yang berlaku pada perhimpunan di ibu negara 28 April lepas. 
Memetik kenyataan beliau dalam Sinar Harian Online sebagai berkata “Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. 
Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama. 
Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah.”
Saya kesal apabila kenyataan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan ini telah dipolitikkan oleh pelbagai lapisan masyarakat, daripada politikus sesat, kepada pemain politik biasa, mahupun golongan ulama politik dan yang lebih teruk dari kalangan rakyat marhaen yang tidak tahu menahu tentang hukum hakam agama. 
Saya khuatir komen-komen yang diberikan bakal menyongsangkan hukum Allah dan yang lebih teruk lagi memberi imej yang buruk kepada kesucian agama Islam, lebih-lebih lagi apabila Majlis Fatwa Kebangsaan ini dianggotai oleh Mufti-Mufti kerajaan negeri dan golongan cendekiawan agama di pelbagai bidang yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja. 
Sebab itu, rasa tidak hormat ini telah menyebabkan masyarakat Islam hari ini kucar-kacir, banyak fatwa seperti fatwa rokok dibiarkan sepi, yang akhirnya pemikiran golongan fundamentalis dan liberal diangkat dan diresepikan bersama amalan harian sehingga tergelincir daripada landasan syarak.
Mungkin pada pandangan sesetengah pihak, fatwa yang dikeluarkan ini berat sebelah dan berbaur politik, hanya kerana ia hadir seminggu lebih selepas demonstrasi aman Bersih 3.0 bertukar liar minggu lalu, dan yang lebih malang apabila fatwa ini tidak memihak kepada golongan-golongan ini. 
Apabila ramai yang menyalahertikan fatwa ini, saya terpanggil untuk menulis artikel ini bukan untuk memandai sendiri mengeluarkan fatwa baru, bukan juga untuk menggunakan ilmu agama yang seciput ini, tetapi hanya untuk membuka persepsi bagaimana fatwa ini telah dilihat (perceived) dan bagaimana seharusnya fatwa ini dilihat (received).
Umum perlu faham fatwa itu tidak menyatakan secara spesifik bahawa Perhimpunan Bersih 3.0 adalah haram, sebaliknya menyatakan perhimpunan yang menyebabkan huru-hara atau yang mempunyai niat tidak baik adalah haram. 
Ini selari dengan tuntutan agama Islam yang mahukan keamanan, konsep menghormati orang lain dan menghormati undang-undang adalah tuntutan syariat. 
Dirujuk kepada perhimpunan Bersih 3.0 minggu lalu, yang menjadi haram kepada mereka yang bertindak mewujudkan huru-hara, pada saya termasuklah pihak polis yang menyalahgunakan kuasa, dan kepada orang awam yang saya lihat dengan mata kepala saya sendiri membaling botol air, merosakkan tong sampah awam, dan pihak penganjur yang lepas tangan, tidak mahu menjalankan tanggungjawab mereka untuk mewujudkan keamanan. 
Kesemua tindakan ini tidak pernah sekali-kali, kalau dirujuk dalam mana-mana kitab sekalipun dihalalkan oleh agama. Maka jelas fatwa yang dikeluarkan itu tidak langsung bercanggah, sebaliknya telah dimanipulasikan oleh segelintir pihak yang melihat fatwa tersebut tidak menyokong niat politik mereka.
Saya kesal apabila membaca komentar Nurul Izzah Anwar yang mencabar Majlis Fatwa dengan beberapa isu melibatkan integriti dan tidakboleh-percayaan kita kepada majlis Fatwa.


  1. Perhimpunan Bersih 3.0 telah mendapat kebenarandi bawah peruntukkan Akta Perhimpunan Aman, adakah masih haram? Komen saya: Tidak, perhimpunan Bersih 3.0 pada asalnya tidak haram dari segi undang-undang tetapi kuasa kerajaan tempatan untuk memberikan lokasi perhimpunan terletak kepada budi bicara mereka. Walau apa-pun alasannya, apabila Dataran Merdeka tidak dibenarkan, maka kewajipan kita sebagai rakyat untuk mematuhi arahan tersebut selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat agama. Tetapi, tindakan merempuh dan merusuh sehingga menyebabkan huru-hara hanya kerana nafsu dan ego untuk mendapatkan juga Dataran Merdeka pada saya selari dengan Fatwa dikeluarkan adalah tindakan yang haram.
  2. Arahan mahkamah melarang perhimpunan ke ruangan Dataran Merdeka adalah menafikan hak asasi rakyat dalam sebuah negara demokratik, oleh itu ia ‘bertujuan tidak baik’ dan menimbulkan ‘suasana konfrontasi’. Justeru, adakah tindakan ini haram? Komen saya: mahkamah punya pandangan dan tanggungjawab sendiri yang melihat kepentingan keseluruhan masyarakat berbanding kehendak golongan tertentu sahaja. Kalau mahu ikutkan kehendak saya, mahu sahaja hak saya untuk memandu 200km/j di lebuhraya dipenuhi, tetapi bolehkah saya membuat huru-hara apabila kehendak saya ini tidak dipenuhi. Kalau nak kata Dataran Merdeka hak rakyat, Seri Perdana juga hak rakyat, bangunan Istana Kehakiman juga hak rakyat, jadi apakah kalau esok saya mahu berkhemah di depan pintu Istana Kehakiman, atau bergurau senda dengan keluarga di Seri Perdana boleh dibenarkan. Kalau boleh, esok juga saya mahu ke kediaman rasmi Menteri Besar Selangor saja suka-suka. Segala hak itu datang dengan tanggungjawab, kerana Nurul Izzah perlu ingat, bukan dia sahaja rakyat, bukan setengah juta rakyat yang turun hari itu sahaja rakyat Malaysia, masih ada jutaan rakyat yang mungkin tidak sependapat, dan adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk menimbang-tara.
  3. Tindakan berlebihan pihak berkuasa mengepung dan menghalang orang ramai bersurai secara teratur dan aman serta tindakan menggunakan kekerasan berlebihan seperti gas pemedih mata, pancutan air kimia, pukulan dengan cota dan kekerasan yang diperlakukan segelintir anggota polis secara am – adakah semuanya haram? Komen saya: Tindakan tidak bertanggung jawab polis dan keganasan polis itu sudah pasti haram, kerana tidak berlandaskan etika mereka, tetapi komen tentang pihak berkuasa tentang mereka mengepung dan menghalang orang ramai bersurai secara teratur adalah berat sebelah dan tidak benar. Bagi mereka yang ada di lokasi, anda pasti tahu kenapa.
  4. Keempat, Pengerusi Jawatankuasa, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin juga menyebut: “Tindakan merusuh, mewujudkan kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.” Oleh demikian bagaimana fatwa tindakan umat Islam di Tunisia, Mesir, Libya dan kini Syria ke atas kerajaan masing-masing yang sah di sisi undang-undang juga haram? Komen saya: Selagi mana keadaan itu menimbulkan suasana kacau bilau dan memudaratkan, maka ia tetap haram. Pertempuran yang berlaku dengan pihak berkuasa di sana jauh bezanya dengan tragedi 28 April lalu.
  5. Apakah fatwa untuk menipu di pilihan raya dengan berbagai kaedah …. (dipendekkan. Rujuk Sinar Harian) … wang merasuah pengundi dan pengunaan pengundi hantu – adakah ia haram? Komen saya: Tidak perlu dikeluarkan fatwa lagi, kerana sudah jelas hukum menipu, memberi rasuah adalah haram. Soalnya, dalam isu politik di Malaysia, adakah dakwaan-dakwaan ini berasas?
  6. Apakah fatwa mengenai sebuah kerajaan yang dibentuk berdasarkan pilihan raya yang tidak bebas dan tidak adil – adakah ia kerajaan haram? Komen saya: Saya tidak pasti ‘kerajaan haram’ yang dimaksudkan ini bertepatan dengan fatwa haram yang dikeluarkan kerajaan yang haram adalah kerajaan yang tidak sah, tetapi bagaimana pula Majlis Fatwa mahu mengeluarkan sesebuah kerajaan itu haram. Kalaupun Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa kerajaan itu haram, maka apakah kesan pada masyarakat? Adakah menjadi rakyat kerajaan itu adalah hakam, makan hasil sumbangan kerajaan itu juga haram? Mendapat pendidikan percuma (kalau diberikan) daripada kerajaan itu juga haram? Adakah mengambil wang sumbangan daripada sebuah kerajaan haram itu hukumnya haram?
Disebabkan itu, saya berpendapat Nurul Izzah terlalu mengikutkan emosi, bersifat tidak rasioanal dan kebudak-budakkan dalam menilai fatwa ini, melatah sebelum benar-benar memahami. Saya pasti Fatwa itu bukanlah menyatakan secara terus Bersih 3.0 adalah pergerakkan haram, sebaliknya bersifat terbuka dengan menyatakan perhimpunan yang menyebabkan huru-hara dan melanggar undang-undang adalah haram. Sebab itu, kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib dan Mursyidul Am TG Nik Aziz sendiri hanya menyentuh soal landsan perjuangan Bersih 3.0 untuk menyatakan pergerakkan tersebut tidak punya apa-apa masalah dari hukum syarak, tanpa menyatakan secara terperinci apakah sekiranya benar berlaku rempuhan tempoh lalu, apa pula hukumnya. Sekiranya ada yang membaling botol ke anggota polis dan merosakkan tong sampah awam tempoh hari, apakah hukumnya, dan sekira memaki mencaci polis, membuat provokasi untuk mencetuskan huru-hara 28 April lalu, adakah tindakan itu haram? Itu persoalan rasioanal dalam Fatwa ini.
Permainan politik perlulah bersih. Janganlah sampai kita memporak-perandakan institusi keagamaan, menggadaikan maruah dan kesucian agama hanya kerana pemikiran kita yang dangkal, dan memesongkan fakta hanya untuk memenangi pilihanraya, kerana sesungguhnya kemenangan yang lebih besar itu adalah tempat di sisi Allah.

Tiada ulasan: