KUALA LUMPUR – Insiden kehilangan pesawat MH370 melangkaui kepentingan politik dan kerajaan tidak pernah mengaitkan isu tersebut dengan mana-mana pihak termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menegaskan demikian, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan, pihaknya konsisten untuk menumpukan usaha mencari pesawat berkenaan dan tidak mahu melihatnya sebagai elemen untuk dipolitikkan.
Malah, katanya, dakwaan penglibatan Anwar dalam insiden kehilangan MH370 sebenarnya dimainkan oleh media asing.
“Isu politik ini hanya dibangkitkan oleh media asing, kami masih kekal merentasi fahaman politik,” kata Hishammuddin dengan tegas pada sidang media di Hotel Sama-Sama, Sepang hari ini.
Hishammuddin ditanya mengenai spekulasi penglibatan Anwar dalam kehilangan pesawat berkenaan yang sudah memasuki hari ke-10.
“Pencarian adalah lebih penting daripada politik, politik tidak penting di sini.”
Beliau juga menggesa seluruh rakyat Malaysia mengenepikan perbezaan politik ketika berdepan situasi krisis dalam kehilangan MH370.
“Saya gesa semua rakyat Malaysia mengenepikan perbezaan dan bersatu ketika saat sukar ini, memandangkan fokus kita sekarang adalah mencari pesawat dan 239 nyawa,” kata Hishammuddin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sidang media khasnya petang Sabtu lalu mengatakan siasatan kini beralih dan tertumpu kepada anak kapal pesawat berdasarkan petunjuk baru.
Menafikan bahawa terdapat unsur rampasan, Najib berkata, pesawat MH370 berpatah balik ke arah barat selaras dengan tindakan yang disengajakan oleh seseorang dalam kapal terbang itu.
Akhbar tabloid Britian Daily Mail melaporkan pada Ahad kemungkinan juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah bertindak mensabotaj pesawat kerana kecewa Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Bagaimanapun Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberitahu, walaupun Zaharie merupakan anggota seumur hidup PKR, perkara ini mustahil untuk berlaku kerana ia melibatkan nyawa ramai orang.
Selepas lebih seminggu gagal menemui MH370, penyiasat kini menumpukan siasatan ke arah juruterbang dan anak kapal serta penumpang bagi meneliti punca kehilangan pesawat Boeing 777-200ER itu daripada sudut lain.
MH370 yang membawa 227 penumpang termasuk 12 anak kapal hilang daripada radar selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dalam perjalanan ke Beijing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan