KUALA LUMPUR – Memasuki bulan baharu, harga barangan keperluan harian di seluruh negara masih terkawal.
Menurut portal http://www.1pengguna.com, harga bagi sekilogram ayam bersih standard di Kuala Lumpur dijual antara RM3.88 dan RM6.20 manakala ayam hidup pada harga kurang RM8 sekilogram.
Barangan sama dijual di beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Pahang dan Kedah pada harga antara RM5.98 dan RM8.50 sekilogram namun bagi Sarawak dan Sabah, ayam bersih standard dijual antara RM8 dan RM10 sekilogram.
Portal itu turut menyenaraikan harga bawal hitam saiz M di Selangor antara RM16.90 dan RM19.90 di pasar raya manakala RM15 dan RM24 sekilogram di pasar basah.
Ibu negara juga mencatat harga antara RM0.99 hingga RM6.99 bagi sekilogram bawang besar merah (India) manakala di Sabah dan Sarawak, barangan itu dijual pada harga tidak melebihi RM6 sekilogram.
Harga bagi sekilogram bawang putih (Cina) dijual antara RM1.88 dan RM9 di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (RM1.88-RM7), Pulau Pinang (RM2.55-RM5) Perlis (RM2.90-RM5), Kelantan (RM2.48-RM7) dan Terengganu (RM3.50-RM6).
Cili merah pula dijual antara RM6.25 dan RM26.90 sekilogram di seluruh negara manakala harga sekilogram kobis bulat tempatan di Kuala Lumpur dan negeri di Semenanjung ialah antara RM1.75 dan RM5.99 manakala di Sabah dan Sarawak adalah antara RM1.69 dan RM5.
Menurut portal itu, harga 10 biji telur ayam Gred A di seluruh negara ialah antara RM3.20 dan RM4.99.
Harga sekilogram tomato dicatat antara RM3.88 dan RM5.99 di pasar raya manakala di pasar basah RM4.50 dan RM5.50 di Selangor.
Portal kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu membolehkan orang ramai menyemak harga barangan keperluan di pasaran bagi mendapatkan harga terbaik yang boleh membantu mereka menangani kos sara hidup.
Mereka juga boleh mengemukakan aduan berhubung harga barang menerusi talian 1800-886-800 atau mengisi borang aduan yang disediakan. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan