KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak dapat membayangkan apa akan berlaku kepada rakyat Selangor sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi menteri besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau kenal Anwar dan tahu sikap serta perangai Ketua Umum PKR tersebut kerana pernah bersama dengannya dalam Kabinet.
“Tentu sekali Selangor tidak selamat bawah dia (Anwar) sebagai menteri besar. Ini yang saya takut,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Tun Mahathir Perdana Global Peace Pengerusi Yayasan Keamanan Global di Moot Court Ahmad Ibrahim Kulliyah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, petang ini.
Turut hadir, Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Ditanya mengenai kesungguhan Anwar mahu menjadi menteri besar, Tun Dr Mahathir berkata, Penasihat pakatan pembangkang tidak boleh menjadi menteri besar dengan baik kerana sepanjang menjadi ketua parti (PKR) pun beliau gagal.
“Tengoklah parti yang dia jaga. Pecah tiga… ada pro Khalid, ada pro Azmin Ali dan ada pro dia (Anwar), itu dalam PKR, belum lagi dalam pakatan pembangkang Selangor. Pas pun tidak suka.
“Dia juga selalu turun naik mahkamah kerana kesnya (liwat)…bersambung-sambung. Macam mana nak selamat kalau kakitangan dia pun tidak selamat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan