KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu membuktikan beliau seorang yang berfahaman moderat atau sederhana di mata dunia dengan menyelesaikan pertikaian dengan komuniti Kristian berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’, kata DAP.
Ucapan beliau di Majlis Sambutan Krismas peringkat kebangsaan di Pulau Pinang, juga ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low gagal membangkitkan emosi dan mencerminkan negara sebagai ‘sederhana’, kata Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang hari ini.
Lim (kanan) berkata Najib ketika berucap di Pulau Pinang menyeru orang ramai agar memahami sensitiviti mereka yang berlainan agama, sama ada Muslim atau Kristian, agar tidak menyinggung perasaan satu sama lain.
Menurut Lim, Low yang mewakili perdana menteri di majlis minum petang Krismas tahunan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) semalam berkata, perbezaan agama bukanlah faktor yang melemahkan masyarakat kita, sebaliknya elemen yang kuat dalam pembangunan negara.
Walaupun memperakui kebenaran dalam kata-kata Najib dan Low, Lim mempersoalkan mengapa penerimaan terhadap ucapan kedua wakil BN itu dianggap kosong dan mencurigakan semata.
“Kenapa? Adakah kerana lelaki dan perempuan yang rasional dan sederhana di Malaysia telah menjadi ekstremis, menolak sentimen kesederhanaan, keharmonian dan hidup bersama seperti yang dikatakan Najib dalam dua ucapan Krismas semalam?” tanya beliau.
“Ini kerana masa telah sampai untuk Najib, dalam penggal kedua dan tahun kelima beliau sebagai perdana menteri Malaysia yang keenam, untuk membuktikan beliau bersikap sederhana dengan perbuatannya dan keputusannya, dan bukan hanya sesumpah politik yang bertukar warna antara sederhana dan tidak sederhana dalam ucapan mengikut penonton dan acara,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan