KUALA LUMPUR – AHLI Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dicabar mendesak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar mengikut lunas demokrasi dan mematuhi peraturan parti terlebih dahulu sebelum memberi amaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang tidak menerima serta mengiktiraf pemilihan semula CEC-DAP September lalu.
Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Nordin berkata, beliau membuat desakan itu kerana terlalu banyak pendedahan dan aduan daripada ahli DAP yang mendakwa betapa tidak demokratik dan tidak telusnya parti itu dalam amalan demokrasi termasuk proses pemilihan parti mereka sendiri.
Katanya, lihat sahaja kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Janice Lee yang dikatakan menjadi mangsa ketidakadilan sistem demokrasi DAP.
“Gobind Singh harus ingat tindakan yang diambil oleh ROS adalah berdasarkan aduan oleh ahli DAP sendiri dan dibuat mengikut lunas undang-undang serta peraturan sedia ada.
“Sebelum kamu nak mencabar ROS supaya menerima dan mengiktiraf pemilihan CEC DAP, kamu sendiri wajib menerima dan mengiktiraf kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Kamu sendiri wajib menerima dan mengakui hakikat bahawa rakyat masih mahukan pemerintahan kerajaan UMNO dan BN. Kamu sendiri wajib menerima dan mengakui bahawa rakyat menolak pembangkang DAP-PKR-PAS,” tulis beliau dalam blognya zul4kulim.blogspot.com.
Menurut Zulkifli, Gobind Singh tidak perlu mendesak atau memberi amaran kepada ROS untuk mengheret ke mahkamah bagi memaksa jabatan itu mengiktiraf serta menerima keputusan pemilihan semula CEC DAP pada 29 September lalu.
Ini kerana, ujar beliau, sebelum ke mahkamah, anak kepada peguam terkenal Karpal Singh itu perlu menjawab tiga isu yang sehingga kini masih misteri dan belum ada penjelasan dibuat daripada mana-mana pemimpin tertinggi DAP.
“Bagaimana ROS boleh dipaksa menerima dan mengiktiraf pemilihan semula itu kerana sehingga kini penjelasan mengenai ketidakhadiran 851 delegasi dalam sidang khas itu belum diberikan. Jumlah ini hampir 33 peratus atau satu per tiga delegasi. Jumlah yang besar ini boleh mengubah corak pengundian yang dilaksanakan.
“Contohnya, calon teratas sekali Liew Chin Tong menerima 1,438 undi, manakala calon tercorot Ngeh Koo Ham mendapat 809 undi. Cuba bayangkan kalau semua 851 delegasi yang tidak hadir itu mengundi Ngeh Koo Ham, beliau akan mendapat 1,656 undi mengatasi calon teratas,” katanya.
Begitu juga kata beliau, Gobind Singh sepatutnya mencabar Guan Eng memberi penjelasan mengapa 753 delegasi tidak hadir ketika Kongres Nasional DAP Ke-16 pada 15 Disember tahun lalu yang menjadi sebab mengapa ROS membatalkan pemilihan dan mengarahkan pemilihan semula dilaksanakan.
“Sehingga kini Guan Eng dan DAP gagal memberikan penjelasan munasabah, malah dakwaan DAP kononnya mereka mempunyai surat daripada 500 ahli yang tidak hadir gagal dibuktikan,” katanya.
Beliau turut meminta Gobind Singh mencabar dirinya sendiri dengan bertanya mengapa 522 delegasi tidak hadir dalam mesyuarat pemilihan DAP peringkat Selangor baru-baru ini.
“Daripada 1,221 delegasi yang layak hadir, hanya 699 sahaja hadir dan mengundi. Ke mana pergi 522 delegasi lagi? Hampir 43 peratus delegasi tidak hadir atau mengundi.
“Saya mencabar Gobind Singh supaya mencerminkan muka sendiri kerana beliau sendiri menduduki tempat kedua dengan memperolehi hanya 491 undi, manakala calon teratas hanya mendapat 495 undi. Bermakna jumlah delegasi yang tidak hadir mengatasi jumlah undi diperolehi Gobind dan calon teratas.
“Gobind wajib mencabar Sekretariat DAP Selangor dan Guan Eng untuk memberi penjelasan mana pergi 522 delegasi ini. Mengapa hampir 43 peratus delegasi tidak hadir dan mengundi,” katanya.
Zulkifli yang juga seorang peguam, mengingatkan rakannya itu supaya tidak bersikap ‘double standard’ dan hipokrit sebagaimana bapanya Karpal mengenai peristiwa 22 Oktober 1997 yang membuat dakwaan dalam Dewan Rakyat bahawa Anwar Ibrahim seorang peliwat.
Malah, katanya, Karpal sendiri mendakwa mempunyai bukti dan keterangan hendak mensabitkan kesalahan Anwar, tetapi tiba-tiba apabila Ketua Pembangkang itu didakwa di mahkamah tahun 2008 atas tuduhan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhori, Karpal menjadi peguam membela Anwar.
“Jelas ini satu sikap ‘double standard’ dan hipokrit oleh Karpal Singh. Adakah kerana tahun 1997 beliau mendakwa Anwar peliwat kerana duduk dalam UMNO, tetapi kerana sekarang sudah satu bantal dengan DAP beliau pula menjadi peguam membela Anwar dalam kes liwat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan