Tahaluf siyasi: Pas hanya pelakon tambahan |
Pengerusi Biro Bertindak Agama Minda Pondok Kelantan, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff berkata, pelaksanaan konsep tersebut tidak pernah memberi kesan positif kepada ummah dan negara sama ada dari sudut politik mahupun agama.
"Pas sepatutnya sedar akan statusnya saling tak tumpah seperti pelakon tambahan dalam drama politik pembangkang yang selalu akur kepada sutradaranya iaitu DAP dan PKR.
"Pas tidak mampu mempertahankan Islam, contohnya dalam isu kalimah Allah, mereka gagal mempertahankan kalimah suci itu apabila membenarkan ia diguna pakai oleh bukan Islam sedangkan perkara ini berkaitan dengan soal akidah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, Pas juga sanggup menggadai identiti Islam setelah membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid serta berucap di dalamnya dan keadaan ini ternyata bercanggah dengan amalan di zaman kerajaan Rasulullah.
Jelas beliau, Islam membenarkan tahaluf siyasi bersama bukan Islam tetapi ia hendaklah dilaksanakan mengikut acuan Islam sebenar yang boleh memberi keadilan kepada seluruh ummah.
"Tahaluf siyasi dalam Islam tidak bersifat kekal. Ia suatu keperluan pada suatu masa selagi kepentingan Islam tidak tergugat. Namun jika sebaliknya maka dari segi hukum tahaluf tersebut perlu dikaji semula," katanya.
Beliau berkata, dari sudut politik pula, tahaluf siyasi antara Pas dengan DAP dan PKR itu menyebabkan kuasa orang Melayu semakin terhakis akibat berlakunya perpecahan sesama sendiri.
"Lihat apa yang berlaku ke atas Pas itu sendiri, pengaruhnya kian lemah manakala sokongan orang Melayu terhadap parti itu merosot. Ini diakui oleh pimpinan Pas sendiri baru-baru ini," katanya.
Dalam ucap tama Multaqa Ulama SeMalaysia baru-baru ini, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menyarankan Majlis Syura Ulama Pas mengkaji semula tahaluf siyasi berdasarkan garis panduan syura atas alasan pengaruh parti itu semakin lemah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan