Jumaat, 21 Februari 2014

SAIDINA UTHMAN BIN AFFAN RA

Biografi

Uthman bin Affan (Arab,عثمان بن عفان ) merupakan salah seorang sahabat Nabi Muhammad S.A.W. Uthman merupakan khalifah Islam yang ketiga selepas Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar al-Khattab. Beliau dilantik menjadi khalifah melalui persetujuan orang ramai (syura).
Nama beliau sebenarnya ialah Uthman bin ‘Affan bin Abul-As yang mana beliau dilahirkan ketika baginda Nabi Muhammad SAW berumur 5 tahun. Uthman merupakan seorang bangsawan dari golongan Quraish dari Bani Ummayah.
Beliau terkenal sebagai seorang yang lemah lembut, pemurah dan baik hati. Beliau merupakan salah seorang dari saudagar yang terkaya di Tanah Arab, sehingga beliau digelarkan dengan gelaran “al-Ghani“. Selepas memeluk Islam beliau banyak mendermakan hartanya ke arah kepentingan agama Islam, sebagai contohnya dalam peperangan Tabuk, beliau telah mendermakan hartanya iaitu 950 ekor unta, 50 ekor kuda dan 1,000 dinar. Begitu juga ketika umat Islam berhijrah ke Madinah, umat Islam menghadapi masalah untuk mendapatkan air minuman. Oleh itu Saidina Uthman telah membeli telaga Ruma dari seorang Yahudi dengan harga 20,000 dirham untuk digunakan oleh umat Islam dengan percuma.
Saidina Uthman bin Affan ra adalah seorang yang bertaqwa dan bersikap wara’. Tengah malamnya tak pernah disia-siakan. Beliau memanfaatkan waktu itu untuk mengaji Al-Quran dan setiap tahun beliau menunaikan ibadah haji. Bila sedang berzikir dari matanya mengalir air mata haru. Beliau selalu bersegera dalam segala amal kebajikan dan kepentingan umat, dermawan dan penuh belas kasihan. Khalifah Uthman telah melaksanakan hijrah sebanyak dua kali, pertama ke Habsyah, dan yang kedua ke Madinah.

Perjalanan ke Islam

Era sebelum Islam memerintah, orang Arab menyembah berhala dan hidup dalam keadaan jahiliyyah seperti menanam anak perempuan hidup-hidup dan menumpahkan darah yang jumlahnya bukan sedikit walaupun tanpa alasan. Semangat perkauman antara kabilah sangat kuat, dan menjadikan tuan menghina dan menzalimi hamba mereka. Perempuan diperlakukan dengan kejam, dianggap sebagai objek pemuas nafsu lelaki. Mereka semata-mata untuk melahirkan anak dan kegunaan pribadi.
Sebagai pemuda yang penuh denga kekuatan, `Uthman bin Affan menjelajah ke banyak tempat untuk berdagan. Kerana itu dia mendapat kesempatan untuk mengenali berbagai orang dari berbagai bangsa dan untuk belajar banyak tentang pelbagai kepercayaan lain, yang berbeza darinya. Pandangannya tentang berhala dan gaya hidup orang Arab berubah ketika dia mengetahui tentang Kristian dan Yahudi.
Satu hari ketika `Uthman bin Affan kembali ke Mekah setelah selesai berdagang, dan ketika itu orang berbicara tentang Muhammad bin Abdullah. Seluruh kota nampaknya berada dalam kekacauan kerana Muhammad memperkenalkan dirinya sebagai Rasulullah kepada semua orang di seru untuk menyembah hanya satu tuhan yakni Allah yang layak disembah dan tidak harus dikaitkan dengan apapun. Muhammad meminta mereka untuk meninggalkan kebiasaan menyembah semua berhala dan beribadah kepada Allah saja. Meskipun Arab mengetahui Allah, dakwah Muhammad nampaknya aneh, kerana mereka telah sejak lama menyembah tuhan lain selain Allah.
`Uthman bin Affan mengetahui tentang Muhammad dengan sangat baik. Muhammad adalah seorang yang luar biasa yang sangat baik kepribadiannya. Walaupun dia tidak segera menerima kepercayaan Islam, ia tidak menentang Muhammad atau Islam seperti yang di lakukan oleh pemimpin Quraisy. Dia ingat akan pengalaman yang di perolehi dalam perjalanannya berdagang, dia mendengar cendekiawan Kristian dan Yahudi berbicara tentang kedatangan Nabi akhir di tanah Arab. Apabila `Uthman bin Affan mendengar tentang nabi akhir dari Kristian dan orang-orang Yahudi, ia berharap bahwa nabi yang mereka cakapkan akan memimpin Arab ke dalam jalan terang dan lurus. Dia berfikir tentang apa yang Kristian dan Yahudi bicarakan dan akhirnya dia memutuskan untuk mengunjungi salah satu temannya, Abu Bakar, untuk mengetahui tentang kepercayaan baru ini. Dia tahu bahwa Abu Bakar telah menerima Islam dan dia sangat rapat dengan Muhammad. Abu Bakar menjelaskan banyak hal tentang Islam. Dia mengatakan bahawa orang Islam diminta untuk beribadah kepada Allah saja dan untuk melepaskan dari menyembah tuhan palsu atau berhala. Kemudian Abu Bakr mengundang dia untuk memeluk agama Islam. `Uthman bin Affan merasa bahwa Islam adalah agama yang benar dari Allah dan segera masuk Islam atas undangan Abu Bakar. Setelah itu, `Uthman bin Affan bertemu Nabi dan menyatakan bahwa dia menerima Islam.
Beliau digelarkan sebagai “Zunnurain” yang bermaksud dua cahaya kerana menikahi dua orang puteri Rasulullah iaitu Ruqayyah dan Ummi Kalthum. Setelah Ruqayyah meninggal dunia, Rasulullah SAW telah menikahkan beliau dengan puteri Baginda iaitu Ummi Kalthum. Uthman berkahwin sebanyak tujuh kali selepas kematian Ummi Kalthum dan seluruh anaknya berjumlah seramai 16 orang. Isterinya yang terakhir ialah Nailah binti Furaifisha.

Detik-Detik Pemilihan Menjadi Khalifah

Sesudah wafatnya Khalifah Umar maka kumpulan enam sahabat itu, yang terdiri daripada Uthman ibn Affan, Ali ibn Abi Talib, Saad bin Abi Waqqas, Zubeir bin al-Awam, dan Abdul Rahman bin Auf mengadakan mesyuarat tanpa kehadiran Talhah bin Ubaidillah, kerana beliau berada di luar Madinah.mesyurat diadakan dirumah al-Mansur bin Mukhramah atas nama sebuah Majlis yang dikenali sebagai”Majlis Syura”, dan berlansung dalam tempoh waktu yang panjang tanpa keputusan yang muktamad.
Untuk mengatasi kebuntuan ini maka Abdul Rahman bin Auf menarik diri dengan rela. Zubeir dan Saad bagaimanapun, masing-masing mencalonkan Uthman dan Ali, lalu keputusan belum tercapai sehingga malam yang ketiga sesudah wafat Saidina Umar. Abdul Rahman mengambil langkah terakhir dengan memilih Saidina Uthman, dan demikian, secara majoriti bersesuaian dengan wasiat Khalifah Umar, Saidina Uthman terpilih sebagai khalifah yang baru. Selepas itu, para sahabat tadi melahirkan ikrar kesetiaan melalui “bai’ah”, dengan meletakkan tangan setiap orang di atas tangan Uthman ibn Affan, dengan jemaah muslimin yamg lain memberi sokongan atas pemilihan itu. Manakala, Talhah adalah seorang anggota “Majlis Syura” dan juga salah seorang golongan “al-Asyaratu’l Mubasyarah”, akan tetapi beliau tidak dapat mengambil bahagian dalam pencalonan kerana berada di luar Madinah.

Sifat Dermawan

Dalam tahun kesembilan hijrah, Nabi mendapat berita bahwa Rom sedang merancang untuk memusnahkan Negara Islam yang baru muncul. Nabi seterusnya mengarahkan kaum kaum Muslimin untuk melengkapi diri mereka dengan persiapan perang. Tetapi persediaan menjadi sukar kerana pada tahun itu, kaum Muslimin nampaknya kekurangan sumber tanaman, dan mereka sedang menghadapi musim panas yang sangat panas. Mereka tidak memiliki kelengkapan yang cukup seperti tentera, kerana sebahagian besar Muslimin terdiri dari golongan yang miskin. Situasi ini tidak menghentikan Nabi SAW. Baginda mendesak para sahabat mempersiapkan diri untuk berperang. Setiap sahabat mencuba segala yang terbaik untuk memperkuatkan pasukan Muslimin. Perempuan menjual perhiasan emas dan permata yang mereke miliki untuk membantu persiapan perang.
Walaupun ratusan sahabat yang siap untuk masuk ke medan perang, mereka kekurangan banyak perkara yang diperlukan untuk berperang, seperti kuda, unta, dan bahkan pedang. Nabi mengatakan kepada mereka bahawa ini adalah persoalan yang hidup atau mati untuk negara Islam yang baru. Nabi lantas membuat pengumuman yang jelas: “Barangsiapa yang menyediakan kelengkapan untuk para prajurit, akan diampuni segala dosa oleh Allah.”
Uthman bin Affan saat mendengar ucapan Rasulullah SAW, dia menyiapkan dua ratus unta berpelana untuk melakukan perjalanan ke As-Sham, dan mereka semua disiapkan dengan 200 auns emas sebagai sumbangan. Dia menyumbangkan 1000 dinar dan meletakkannya ke atas riba Nabi. Lagi dan lagi `Uthman bin Affan sampai ia memberi sumbangan dengan menambah 900 unta dan 100 kuda, selain wang yang diberikan. Melihat kedermawanan `Uthman bin Affan, Nabi membuat pernyataan berikut:” Dari pada hari ini, tidak akan ada apa yang akan membayakan `Uthman bin Affan walaupun apa yang dilakukannya.”

Kepimpinan Dan Sejarah Pentadbiran

Ahli sejarah telah membahagikan tempoh pemerintahan Khalifah Uthman selama 12 tahun kepada dua bahagian iaitu pertamanya zaman atau tahap keamanan dan keagungan Islam, manakala yang keduanya pula ialah tahap atau zaman “Fitnatul-Kubra” iaitu zaman fitnah.

Zaman Keamanan Dan Keagungan Islam

Kegemilangan pemerintahan khalifah uthman bermula dengan pembukaan dan penawanan wilayah-wilayah baru yang terletak di Antalia dan Asia kecil sebelah barat. Wilayah yang lain berjaya di tawan oleh Cyprus, Afghanistan, Samarkand, Tasykent, Khurasan, dan Tabrastan di sebelah Timur dan Timur Laut, sementara Libya, algeria, Tunisia dan Maghribi yang terletak di sebelah bahagian Utara Afrika turut ditawan oleh kaum muslimin. Dunia islam sewaktu pemerintahan Uthman, terbentang luas gagasannya, mencukupi bahagian Benua Asia dan Afrika, di antaranya wilayah-wilayah Uzbekistan, Parsi ,Iraq, Armenia, Azerbaijan, Turki, Syria, Palestin, Jordan, Mesir, Yaman termasuk kawsan-kawasan di teluk dan Semenanjung Arab.
Perkembangan dakwah Islamiah seterusnya menyusur masuk secara aman, tenang dan tenteram, dan diterima baik oleh rakyat di bahagian Tengah dan Timur Afrika, sekalipun kawasan tersebut tidak pernah disentuh oleh pemerintah Islam. Kejayaan gemilang yang diperoleh pada peringkat pertama pemerintahannya, cukup hebat dan mengkagumkan dari pelbagai sudut namun kejayaan gemilang itu tidak dapat menjamin keutuhan dan kekukuhan pemerintahnya apabila kegawatan mula menggugat kedudukannya sebagai khalifah.
Banyak jasa-jasa dan juga kejayaan yang telah dilakukan oleh Khalifah Uthman dalam menyebar dan memperkembangluaskan Islam. Ini termasuklah kejayaannya dalam:

1. Bidang Ketenteraan

Khalifah Uthman banyak melakukan perluasan kuasa terhadap beberapa buah negara dalam usahanya menyebarkan Islam, ini dapat dilihat pada keluasan empayar Islam yang dapat mengatasi keluasan empayar Rom Timur dan juga empayar Parsi pada zaman kegemilangan mereka. Antara wilayah baru yang telah berjaya ditakluki ialah Cyprus, Afganistan, Samarqand, Libya, Algeria, Tunisia, Morocco dan beberapa buah negara lagi. Beliau juga bertanggungjawab dalam menubuhkan angkatan tentera laut Islam yang pertama bagi menjamin keselamatan dan melakukan perluasan kuasa. Banyak negara-negara yang telah dibuka melalui angkatan tentera ini.

2. Pembukuan Al-Quran

Perluasan kuasa telah menyebabkan penyebaran Islam terjadi secara meluas. Apabila ramainya orang-orang yang memeluk Islam sudah tentu banyaknya perbezaan antara sesuatu wilayah dengan wilayah yang lain dari segi mereka mempelajari Islam. Apa yang paling ketara sekali ialah dalam masalah mereka mempelajari Al-Quran. Banyak terdapatnya perbezaan bacaan yang membawa kepada salah bacaan antara satu tempat dengan tempat yang lain. Dengan keadaan ini banyak terjadinya salah faham dan saling tuduh menuduh sesama orang Islam dalam menyatakan siapakah yang betul pembacaannya.
Oleh itu Khalifah Uthman telah mengadakan satu naskhah Al-Quran yang baru yang mana ianya digunakan secara rasmi untuk seluruh umat Islam. Khalifah Uthman telah menggunakan lahjah Bahasa Quraish dan yang mana Al-Quran yang berbeza telah dibakar. Al-Quran inilah yang digunakan hingga kehari ini yang mana ianya dikenali dengan nama Mushaf Uthmani atau Resm Uthmani. Langkah-langkah ini bertujuan untuk menjamin kesucian Al-Quran sebagai sumber perundangan Islam.

3. Kerja-kerja Pembangunan

Bangunan-bangunan pejabat dibina, begitu juga rumah-rumah rehat untuk kegunaan para pegawai yang bertugas di beberapa bandar seperti Kufah, Basrah dan Syria. Bagi kepentingan rakyat umum, jalan raya, jambatan dan telaga air dibina bagi keperluan para pengembara, dan begitu juga tebing-tebing sungai turut dibina bagi mengatasi masalah banjir yang sering dihadapi oleh penduduk Madinah. Manakala Masjid Nabawi telah menjadi padat kerana dipenuhi dengan jemaah yang semakin ramai, Oleh itu Khalifah Uthman telah membesarkan masjid tersebut dengan membeli tanah bagi memperluaskan kawasan tersebut. Masjid tersebut telah diluaskan pada tahun 29 Hijrah.

4. Menyebarkan Dakwah Islam

Khalifah Uthman sering berdakwah di penjara dan beliau berjaya mengislamkan ramai banduan. Beliau juga banyak mengajar hukum-hukum Islam kepada rakyatnya. Ramai pendakwah telah dihantar keserata negeri bagi memperluaskan ajaran Islam. Beliau juga telah melantik ramai pengajar hukum Islam dan juga melantik petugas khas yang membetulkan saf-saf solat. Beliau juga banyak menggunakan Al-Quran dan as-Sunah dalam menjalankan hukum-hukum.

5. Pentadbiran Wilayah

Mereka yang di lantik sebagai pentedbir wilayah pada zaman pemerintahannya adalah Muawiyah bin Abi Sufian di Syria, Ya’ala bin Muhabbah di Yaman, Abdullah bin Hadrami di Makkah, Qasim bin Rabi’ah al-Thaqafi di Ta’if, Abdullah bin Amir, Abdullah bin sa’ad di Mesir, Abu Musa al-asy’ari di Kufah, dan Habib Muslimah Fahmi di Asia kecil, termasuk Armenia dan Antalia.

Al-Fitnah al-Kubra (Zaman Fitnah)

Pada akhir tahun 34 Hijrah, pemerintahan Islam dilanda fitnah. Sasaran fitnah tersebut adalah Saidina Uthman ra. hingga mengakibatkan beliau terbunuh pada tahun berikutnya.
Fitnah yang keji datang dari Mesir berupa tuduhan-tuduhan palsu yang dibawa oleh orang-orang yang datang hendak umrah pada bulan Rejab.
Saidina Ali bin Abi Thalib ra. bermati-matian membela Saidina Uthman dan menyangkal tuduhan mereka. Saidina Ali menanyakan keluhan dan tuduhan mereka, yang segera dijawab oleh mereka,
Uthman telah membakar mushaf-mushaf, shalat tidak diqasar sewaktu di Mekah, mengkhususkan sumber air untuk kepentingan dirinya sendiri dan mengangkat pimpinan dari kalangan generasi muda. la juga mengutamakan segala kemudahan untuk Bani Umayyah (golongannya) melebihi orang lain.
Pada hari Jumaat, Saidina Uthman berkhutbah dan mengangkat tangannya seraya berkata,
Ya Allah, aku beristighfar dan bertaubat kepadaMu. Aku bertaubat atas perbuatanku.
Saidina Ali ra menjawab,
Mushaf-mushaf yang dibakar ialah yang mengandungi perselisihan dan yang ada sekarang ini dan adalah yang disepakati bersama keshahihannya. Adapun shalat yang tidak diqasar sewaktu di Mekah, adalah kerana dia berkeluarga di Mekah dan dia berniat untuk tinggal di sana. Oleh kerana itu shalatnya tidak diqasar. Adapun sumber air yang dikhususkan itu adalah untuk ternakan sedekah sehingga mereka besar, bukan untuk ternakan unta dan domba miliknya sendiri. Umar juga pernah melakukan ini sebelumnya. Adapun mengangkat pimpinan dari generasi muda, hal ini dilakukan semata-mata kerana mereka mempunyai kemampuan dalam bidang-bidang tersebut. Rasulullah SAW juga pernah melakukan ini hal yang demikian. Adapun beliau mengutamakan kaumnya, Bani Umayyah, kerana Rasulullah sendiri mendahulukan kaum Quraish daripada bani lainnya. Demi Allah seandainya kunci syurga ada di tanganku, aku akan memasukkan Bani Umayyah ke syurga.
Setelah mendengar penjelasan Ali ra., umat Islam pulang dengan rasa puas. Tetapi para peniup fitnah terus melancarkan fitnah dan merencanakan makar jahat mereka. Di antara mereka ada yang menyebarkan tulisan dengan tanda tangan palsu daripada sahabat termuka yang memburukkan Uthman. Mereka juga menuntut agar Uthman dibunuh.
Fitnah keji pun terus menjalar dengan kejamnya, sebahagian besar umat termakan fitnah tersebut hingga terjadinya pembunuhan atas dirinya, setelah sebelumnya terkepung selama satu bulan di rumahnya. Peristiwa inilah yang disebut dengan “Al-Fitnah al-Kubra” yang pertama, sehingga merobek persatuan umat Islam.

Detik Kisah Pembunuhan Uthman

Nilah binti Furaifisha adalah isteri terakhir  Uthman bin Affan. Nailah lahir dalam keluarga Kristian di kota Kufah sebelum memeluk Islam di atas pelawaan Aishah binti Abu Bakar. Nailah berkahwin dengan Uthman pada tahun 29 Hijrah. Apabila Uthman dilantik sebagai khalifah ketiga, banyak jawatan penting dipegang oleh keturunan Umaiyah. Di antaranya termasuklah Marwan bin al-Hakam sebagai setiausahanya. Beliau selalu mencampuri urusan pemerintahan negara. Ini mengakibatkan mula timbul rasa tidak puas hati pada masyarakat Islam.
Pada suatu hari, Marwan memberitahu ada sekumpulan orang di sebalik pintu rumah Uthman. Uthman membenarkan Marwan berkata apa sahaja kepada kumpulan orang itu. Marwan mengeluarkan kata-kata kesat berbunyi,
Kamu semua datang merebut kerajaan daripada tangan kami. Keluarlah kamu daripada pihak kami. Demi Allah, sekiranya kamu membangkang kami, pasti kamu semua akan menghadapi kesulitan dan tidak suka pada akibatnya.
Perbuatan Marwan mengeluarkan ucapan kasar kepada kumpulan orang yang berkunjung ke rumah Uthman menimbulkan kemarahan Ali. Ali bergegas ke rumah Uthman dan berjumpa dengannya. Ali berkata kepada Uthman dengan nada marah,
Kenapa kamu mengizinkan Marwan berkata apa sahaja kepada kumpulan orang yang datang tadi? Demi Allah, Marwan tidak layak diminta pandangan tentang agama atau dirinya sekalipun.
Nailah yang terkejut mendengar kata-kata Ali terus berlari mendapatkan suaminya yang masih duduk membatu selepas Ali meninggalkan rumah itu.
Saya dengar kata-kata Ali yang dia tidak akan berjumpa kamu lagi kerana kamu mengikut kata-kata Marwan.
Berkata Khalifah Uthman kepada isterinya,
Apa pendapat kamu tentang hal ini?..
Nailah memberikan pendapatnya,
Takutlah kepada Allah kerana tidak sekutu baginya. Ikutlah sunnah kedua sahabat kamu iaitu Abu Bakar dan Umar. Sekiranya kamu mengikut kata Marwan, nescaya dia akan membunuh kamu. Marwan adalah orang yang tidak memiliki maruah di sisi Allah, apatah lagi rasa takut dan cinta. Hantarlah utusan berjumpa Ali bagi berdamai kerana dia mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kamu. Dia tidak layak dimusuhi .
Khalifah Uthman segera menghantar seorang utusan kepada Ali tetapi Ali menolak kedatangannya lalu berkata:
Saya telah memberitahu Khalifah Uthman bahawa saya tidak akan kembali lagi.
Dalam tahun 35 hijrah, satu rombongan penduduk Mesir sekitar 1,000 orang telah datang ke Madinah untuk berjumpa Khalifah Uthman. Tujuan mereka ialah meminta Khalifah Uthman menggantikan gabenor Mesir. Khalifah Uthman bersetuju dengan permintaan mereka lalu melantik Muhammad bin Abu Bakar. Mereka pulang dengan hati yang gembira.
Namun demikian, ketika berada tiga hari perjalanan dari Madinah, mereka terserempak dengan hamba kulit hitam menaiki unta dengan tergesa-gesa melintas di hadapan mereka. Mereka menahan unta tersebut kerana mengesyaki ada sesuatu yang buruk akan berlaku.
“Anda mahu ke mana dengan tergesa-gesa?,” soal salah seorang ahli rombongan Mesir itu.
“Saya adalah pembantu Khalifah Uthman yang diutus bagi menemui Gabenor Mesir,” jawab hamba itu dengan pantas.
“Kamu utusan siapa?,” tanya ahli rombongan itu lagi untuk kepastian.
“Saya pembantu Khalifah Uthman”. Jawab hamba itu dengan gagap dan ragu dan kadang kala dia menjawab: “Saya pembantu Marwan”.
Mereka mengeluarkan surat dari beg bawaan hamba itu lalu diserahkan kepada Muhammad bin Abu Bakar untuk membacanya. Semua ahli rombongan terkejut apabila mendengar isi surat yang bercop mohor Khalifah Uthman meminta agar gabenor Mesir sebelum ini mesti terus menjadi gabenor.
Kemudian dia mesti membunuh Muhammad bin Abu Bakar dan rombongan bersamanya dan membatalkan surat pelantikannya sebagai gabenor yang baru. Rombongan itu menjadi marah lalu berpatah ke Madinah untuk menunjukkan surat itu kepada Ali. Ali bersama beberapa sahabat bertemu dengan Khalifah Uthman untuk melihat kebenaran surat itu. Dia menafikan menulis surat itu dan bersumpah dengan nama Allah.(untuk makluman sahabat pm di bawah di jelaskan secara detail tentang hukum bersumpah)

Kemudian mereka menjalankan penyiasatan dan terbongkarlah rahsia, Marwan yang menulis surat itu. Mereka meminta Khalifah Uthman menyerahkan Marwan kepada mereka namun dia tidak bersedia melakukannya.
Mereka mengepung rumah khalifah dan menghalang bekalan air ke rumahnya. Mereka mengepung rumahnya selama 30 hari dan mula kedengaran berita ada orang ingin membunuhnya. Ali meminta anaknya, Hasan dan Husain dan beberapa orang sahabat mengawal pintu rumah Khalifah Uthman daripada dicerobohi oleh pihak pemberontak Mesir.
Cubaan menyerbu masuk ke rumah Khalifah Uthman digagalkan oleh Hasan dan Husain serta sahabat menyebabkan pihak pemberontak mencari jalan lain untuk masuk ke dalam rumah khalifah untuk membunuhnya.  Akhirnya tiga orang pemberontak berjaya masuk ke dalam rumah Khalifah Uthman melalui atap rumah. Ghafiqi terus memukul Khalifah Uthman dengan besi dan menyepak al-Quran yang dibaca olehnya. Khalifah Uthman tidak melepaskan al-Quran dari tangannya dan darah menitis dari mukanya lalu jatuh ke atas muka surat al-Quran yang terbuka itu.
Kemudian Sudan pula menghampiri Khalifah Uthman, lalu dilibas pedangnya ke arah khalifah itu tetapi Nailah menahannya sehingga pedang itu telah memutuskan jarinya. Sudan yang hilang peri kemanusiaan terus menetak Khalifah Uthman beberapa kali sehingga dia gugur syahid. Najih, anak Khalifah Uthman terus menerkam ke arah Sudan lalu membunuhnya. Kemudian Qatirah, seorang lagi ahli pemberontak membunuh Najih. Para pemberontak cuba menganiaya mayat Khalifah Uthman, namun jeritan tangisan Nailah mengejutkan Hasan dan Husain yang mengawal di pintu hadapan.
Mereka meluru masuk untuk melihat apa yang berlaku. Mereka sedih melihat Khalifah Uthman mati terbaring bersama anaknya dan mereka gagal menghalang pembunuhan itu.
Beliau meninggal dunia pada 8 Zulhijah 35 Hijriah. Uthman menghembuskan nafas terakhirnya sambil memeluk Al-Quran yang dibacanya. Sejak itu, kekuasaan Islam semakin sering diwarnai oleh titisan darah. Pemerintahannya memakan masa selama 12 tahun, yang mana ianya merupakan pemerintah yang paling lama dalam pemerintahan Khulafa‘ ar-Rasyidin.

APAKAH HUKUM BAGI SESEORANG YG HENDAK BERSUMPAH.


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:
رَأَى عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَجُلاً يَسْرِقُ فَقَالَ لَهُ: أَسَرَقْتَ! قَالَ: كَلاَّ! وَاللَّهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ! فَقَالَ عِيسَى: آمَنْتُ بِاللَّهِ وَكَذَّبْتُ عَيْنِي.
(Nabi) ‘Isa ibni Maryam (‘alaihi al-salam) melihat seorang lelaki mencuri, lalu dia berkata kepadanya: “Apakah kamu mencuri?” Lelaki itu menjawab: “Tidak! Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia!” Maka ‘Isa berkata: “Aku beriman kepada Allah dan aku mendustakan mataku.” (1)
Demikianlah besarnya kedudukan sumpah di dalam Islam sehingga ia diunggulkan atas mata yang melihat. Berdasarkan hadis ini juga, jika bertembung antara sumpah dengan sesuatu yang lain, maka yang diunggulkan ialah sumpah.

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3444 (Kitab Ahadits al-Anbiya’, Bab firman Allah berkenaan Maryam…).
 pdf-icon.jpgKlik untuk download artikel ini  
Namun, tentu sahaja sebelum sesuatu sumpah itu dapat memiliki authority seumpama di atas, orang yang bersumpah dan orang yang mendengar sumpah perlu mengetahui hukum dan adab-adab bersumpah di dalam Islam. Jika tidak, dibimbangi sumpah akan menjadi alat mainan sehingga ia hilang authority yang sepatutnya ia miliki. Oleh itu marilah kita mengkaji dan mendalami “sumpah” di dalam Islam.

Erti Sumpah.
Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman (الأيمان) yang merupakan jamak dari perkataan al-Yamin (اليمين). Pada dasarnya ia bererti tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab lazimnya mengangkat tangan kanan mereka.[2] Juga, apabila mereka saling bersumpah, masing-masing memukul tangan kanannya dengan tangan kanan orang yang bersumpah.[3]Adapun dari sudut istilah, ia bererti menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. [4]

Syarat Sumpah.
Agar sumpah menjadi sah (valid) dan berauthority sebagaimana hadis di atas, ia perlu terlebih dahulu menepati satu syarat, iaitu ia disumpah atas nama Allah, salah satu dari nama-nama Allah atau salah satu dari sifat-sifat Allah. Berikut diperincikan syarat ini:
  • Sumpah dengan nama Allah.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ بِاللَّهِ أَوْ لِيَصْمُتْ.
Sesiapa yang ingin bersumpah, maka bersumpahlah atas nama Allah atau (jika tidak) maka diamlah.[5]
Maka orang yang ingin bersumpah hendaklah menyebut “Wallahi”, “Billahi” atau “Tallahi” yang semuanya bermaksud “Demi Allah”.
  • Sumpah dengan salah satu dari nama-nama Allah.
Berdasarkan hadis di atas juga, boleh bersumpah dengan salah satu nama Allah seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Khalik dan sebagainya. Seumpama: “Demi al-Rahman, aku tidak pernah melakukan hal itu”. [6]
  • Sumpah dengan salah satu sifat Allah.
Sumpah sebegini pernah dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, umpama:
أَعُوذُ بِعِزَّتِكَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ الَّذِي لاَ يَمُوتُ وَالْجِنُّ وَالإِنْسُ يَمُوتُونَ.
Aku berlindung dengan Kemuliaan Kamu, yang tidak ada Tuhan melainkan Kamu yang tidak mati manakala jin dan manusia akan mati. [7]
عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: كَانَتْ يَمِينُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ وَمُقَلِّبِ الْقُلُوبِ.
Daripada Ibn ‘Umar (radhiallahu 'anhuma), dia berkata, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersumpah dengan berkata: “Tidak! Demi yang membolak-balikkan hati.”[8]
وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لاَ يَسْمَعُ بِي أَحَدٌ مِنْ هَذِهِ الأُمَّةِ يَهُودِيٌّ وَلاَ نَصْرَانِيٌّ ثُمَّ يَمُوتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ إِلاَّ كَانَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ.
Demi yang jiwa Muhammad berada di Tangan-Nya, tidaklah seorang jua dari umat ini yang mendengar tentang aku, baik Yahudi mahupun Nasrani, kemudian dia mati tanpa beriman kepada apa yang aku diutus dengannya (Islam) melainkan dia menjadi dari kalangan ahli neraka.[9]
Jika seseorang bersumpah dengan sesuatu selain Allah, nama-nama Allah atau sifat-sifat Allah, sumpahnya bukan sahaja tidak sah tetapi dia telah menyekutukan Allah. Ini adalah dosa syirik yang tidak akan diampuni oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala jika orang itu tidak bertaubat. Hadis berikut menjadi rujukan:
سَمِعَ ابْنُ عُمَرَ رَجُلاً يَحْلِفُ: لاَ وَالْكَعْبَةِ! فَقَالَ لَهُ ابْنُ عُمَرَ: إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللَّهِ فَقَدْ أَشْرَكَ.

Ibn ‘Umar (radhiallahu 'anhuma) mendengar seorang lelaki bersumpah: “Tidak, demi Ka’bah!” Lalu Ibn ‘Umar berkata kepadanya: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah berbuat syirik.” [10]

Sumpah dengan selain Allah bukan sahaja tidak sah dan syirik, orang yang melakukannya perlu segera mengucapkan syahadah, mempersaksikan bahawa “Tiada Tuhan Melainkan Allah”:
مَنْ حَلَفَ مِنْكُمْ فَقَالَ فِي حَلِفِهِ: بِاللاَّتِ, فَلْيَقُلْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَمَنْ قَالَ لِصَاحِبِهِ: تَعَالَ أُقَامِرْكَ فَلْيَتَصَدَّقْ.
Sesiapa di antara kalian bersumpah lalu berkata dalam sumpahnya itu: “Demi Latta!”, maka hendaklah dia mengucapkan La ilaha illallah. Dan sesiapa yang berkata kepada temannya: “Ayuh, aku ingin bertaruh dengan kamu”, maka hendaklah dia bersedekah.[11]
Mengapakah sumpah dengan selain Allah boleh melibatkan syirik? ‘Abd Allah al-Bassam hafizhahullah menjawab persoalan ini:
al-Yamin ialah sumpah dengan kata-kata khusus bagi menguatkan sesuatu yang disumpah, iaitu dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. Orang yang bersumpah apabila ingin menguatkan sesuatu, baik dalam rangka menafikan atau menetapkan, maka dia perlu menguatkannya dengan sumpah yang disandarkan kepada yang mulia, yakni dengan mengucapkan sesuatu mulia yang dia miliki.
Sejak dahulu lagi, manusia menyakini bahawa sesuatu yang dijadikan sandaran sumpah akan menguasai orang yang bersumpah, di mana ia dapat memberikan manfaat atau mudarat berdasarkan sebab-sebab rasional dan tidak rasional. Apabila orang yang bersumpah menepati apa yang dia sumpahkan, maka (diyakini) yang dijadikan sandaran sumpah tersebut telah rela dan mengabulkan sumpahnya. Apabila (yang dijadikan sandaran sumpah) tidak rela, maka ia akan menimpakan bahaya kepadanya.
Atas dasar inilah, sumpah atas nama selain Allah Subhanahu wa Ta'ala atau atas nama selain sifat Allah dikatakan sebagai perbuatan syirik (kerana menyakini manfaat dan mudarat datang dari apa yang dijadikan sandaran sumpah dan bukan datang dari Allah).[12]
Selain larangan bersumpah dengan selain Allah, seseorang itu juga diperingatkan agar jangan berdusta dalam sumpah, sekalipun terhadap perkara yang amat kecil. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
مَنْ اقْتَطَعَ حَقَّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ بِيَمِينِهِ فَقَدْ أَوْجَبَ اللَّهُ لَهُ النَّارَ وَحَرَّمَ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ. فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ: وَإِنْ كَانَ شَيْئًا يَسِيرًا يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: وَإِنْ قَضِيبًا مِنْ أَرَاكٍ.
“Sesiapa yang mengambil hak seorang muslim dengan sumpahnya (yang dusta), maka sesungguhnya Allah mewajibkan baginya neraka dan mengharamkan ke atasnya syurga.”
Lalu seorang (yang hadir bersama) bertanya kepada baginda: “Sekalipun terhadap sesuatu yang remeh ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “(Ya), sekalipun sebatang kayu arak (yang digunakan untuk bersiwak).”[13]
Mengingatkan besarnya ancaman bagi orang yang berdusta dalam sumpahnya, maka Islam menganjurkan sikap “cegah sebelum parah”, yakni jangan biasakan diri bersumpah. Jangan bersumpah tentang itu dan ini tanpa sebarang keperluan untuk bersumpah. Kebiasan bersumpah akan menyebabkan orang itu merasa tidak mengapa untuk berdusta dalam sumpahnya sehingga akhirnya terjebak dalam ancaman hadis di atas. Justeru Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَلاَ تُطِعْ كُلَّ حَلاَّفٍ مَهِينٍ .
Dan janganlah kamu menurut orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina.[al-Qalam 68:10]

Beberapa Persoalan Berkaitan Sumpah.
  • Sah atau tidak sumpah dengan lafaz yang tidak jelas?
Para ilmuan berbeza pendapat tentang orang yang bersumpah dengan lafaz yang tidak jelas, umpama “Demi janji Allah…” atau orang yang hanya menyebut “Aku bersumpah…” tanpa menyandarkannya kepada Allah. Perbezaan ini membuahkan tiga pendapat:
1.      Sumpah tersebut adalah sah (valid).
2.      Sumpah tersebut tidak sah (invalid).
3.      Sumpah tersebut sah jika penyumpah meniatkannya sebagai satu sumpah, tidak sah jika penyumpah tidak meniatkannya sebagai satu sumpah.
Di antara tiga pendapat ini, yang terbaik ialah meminta penyumpah melafazkan semula sumpahnya dengan lafaz yang pasti, umpama “Demi Allah aku bersumpah tidak melakukan hal ini”. Jika dia enggan, maka sumpahnya dianggap tidak sah kerana memiliki unsur keraguan di dalamnya.

  • Sah atau tidak sumpah dengan ucapan insya-Allah?
Sumpah ini tidak sah berdasarkan hadis berikut:
مَنْ حَلَفَ فَاسْتَثْنَى فَإِنْ شَاءَ رَجَعَ وَإِنْ شَاءَ تَرَكَ غَيْرَ حِنْثٍ.
Sesiapa yang bersumpah lalu dia membuat pengecualian (dengan menyebut insya-Allah), maka jika dia menghendaki dia boleh menarik balik (sumpahnya itu) dan jika dia menghendaki dia boleh mengabaikan (sumpahnya itu) kerana ia bukanlah satu pelanggaran sumpah.[14]

  • Bolehkah bersumpah dengan al-Qur’an?
Kamal bin al-Sayyid Salim hafizhahullah menjawab persoalan ini:
al-Qur’an ialah perkataan Allah (kalamullah) dan ia bukan ciptaan (Allah). Perkataan Allah yang suci itu merupakan satu sifat dari sifat-sifat-Nya. Oleh kerana itu jumhur ilmuan, kecuali Abu Hanifah, berpendapat boleh bersumpah dengan al-Qur’an dan sumpah itu menjadi sah… Sementara itu tokoh Mazhab Hanafi yang mutakhir seperti Ibn al-Hamam dan al-Aini menguatkan pendapat jumhur membolehkan sumpah dengan al-Qur’an. (Demikian kenyataan Wahbah al-Zuhaili dalam) al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, jld. 3, ms. 379.
Sesiapa yang bersumpah dengan mushaf al-Qur’an sementara yang dia maksudkan ialah perkataan Allah yang tertulis dalam mushaf itu, maka ia dibolehkan. Namun jika yang dia maksudkan ialah lembaran kertas yang tertulis (atasnya ayat al-Qur’an), maka ia tidak dibolehkan. Dan Allah sahaja yang lebih mengetahui.[15]
 Saya (Hafiz Firdaus) menambah, dalam suasana kebanyakan umat Islam masa kini yang tidak faham tentang sifatKalamullah dan kaitannya dengan al-Qur’an, serta tidak tahu membezakan antara Kalamullah dan tulisan di atas al-Qur’an, maka adalah lebih selamat mereka tidak bersumpah dengan menggunakan al-Qur’an.

  • Apakah hukum orang yang melanggar sumpahnya?
Orang yang bersumpah dengan menepati syarat sahnya lalu dia melanggar sumpah itu, maka diwajibkan kafarat sumpah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
لاَ يُؤَاخِذُكُمْ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمْ الأَيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ.
Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dalam keadaan bersungguh-sungguh. Maka kafaratnya ialah:
  1. Memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu,
  2. Atau memberi pakaian untuk mereka,
  3. Atau memerdekakan seorang hamba.
  4. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan tiga pilihan kafarat di atas), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari.
Yang demikian itu ialah kafarat penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur. [al-Maidah 5:89]
Bagi sumpah yang berganda, maka ia diperincikan sebagai berikut:
  1. Orang yang melafazkan sumpah beberapa kali untuk satu perkara yang sama lalu dia melanggarnya, maka kafaratnya hanya sekali.
  2. Orang yang melafazkan satu sumpah untuk beberapa perkara dengan satu lafaz, maka satu kafarat bagi setiap perkara yang dilanggarnya.[16]
Walaubagaimanapun terdapat beberapa jenis pelanggaran sumpah yang tidak diwajibkan kafarat, iaitu:
  1. Sumpah dusta (al-Yamin al-Ghamus). Sumpah ini hukum asalnya memang tidak sah kerana ia adalah dusta. Disebabkan ia sejak awal adalah tidak sah, maka pelanggarannya tidak mewajibkan kafarat. Akan tetapi orang yang melakukan sumpah dusta tersebut diwajibkan bertaubat dan menyatakan apa yang benar di sebalik pendustaannya itu.
  2. Percakapan biasa yang tidak dimaksudkan sebagai sumpah (al-Yamin al-Laghw). Terhadap ayat 89 surah al-Maidah di atas, ‘Abd Allah al-Bassam hafizhahullah menulis: “Aisyah radhiallahu 'anha menafsirkan sumpah yang tidak dimaksudkan adalah perkataan yang sering diucapkan oleh lisan manusia saat mereka berbicara, iaitu ucapan mereka sendiri seperti La wallahi dan Bala billah. Ia adalah ungkapan yang sering diucapkan oleh lisan tetapi tidak diniatkan oleh hati sebagai sumpah. Penafsiran sebegini dikemukakan oleh tiga imam mazhab.”[17]
  3. Orang yang melanggar sumpahnya kerana terlupa, keliru atau dipaksa. Ini berdasarkan keumuman hadis Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ.
Sesungguhnya Allah memaafkan dari umatku kesilapan, kekeliruan dan apa yang dipaksa ke atasnya.[18]
Orang yang telah bersumpah untuk sesuatu yang akan datang, lalu kemudian dia mendapati sesuatu yang lebih baik dari apa yang dia sumpahkan, maka tidaklah bersalah untuk dia melanggar sumpahnya yang awal, asalkan dia membayar kafarat. Dalilnya ialah hadis berikut:
وَإِذَا حَلَفْتَ عَلَى يَمِينٍ فَرَأَيْتَ غَيْرَهَا خَيْرًا مِنْهَا فَكَفِّرْ عَنْ يَمِينِكَ وَأْتِ الَّذِي هُوَ خَيْرٌ.
Apabila kamu bersumpah dengan sesuatu sumpah, lalu kamu melihat sesuatu lain yang lebih baik dari apa yang telah kamu sumpah, maka bayarlah kafarat dari sumpah kamu (yang awal itu) dan ambillah yang lebih baik itu.[19]

  • Bagaimana menangani pendapat yang membolehkan sumpah dengan selain Allah?
Diketahui terdapat sebahagian pihak yang membolehkan sumpah dengan selain Allah. Mereka berhujah dengan beberapa sumpah Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam al-Qur’an, di mana Allah bersumpah dengan menyandar kepada ciptaan-ciptaan-Nya. Antara ayat al-Qur’an yang dimaksudkan:
وَالسَّمَاءِ وَالطَّارِقِ.
Demi langit dan (bintang) al-Thariq! [al-Thariq 86:01]
وَالْفَجْرِ (1) وَلَيَالٍ عَشْرٍ (2).
Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh! [al-Fajr 89:01-02]
وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا.
Demi matahari dan cahayanya di pagi hari! [al-Syams 91:01]
Penghujahan di atas dapat ditolak dengan penjelasan:
  1. Sumpah-sumpah seperti di atas mengandungi sandaran sumpah yang tersembunyi, iaitu Pencipta bagi ciptaan-ciptaan tersebut, yakni Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sehingga yang dimaksudkan dalam sumpah-sumpah tersebut ialah “Demi Pencipta langit dan bintang al-Thariq”, “Demi Pencipta waktu fajar dan malam yang sepuluh” dan “Demi Pencipta matahari dan cahayanya di pagi hari”.
  2. Sumpahan Allah dengan menyandar kepada ciptaan-ciptaan-Nya memiliki tujuan menunjukkan kekuasaan dan keagungan-Nya dalam mencipta perkara-perkara tersebut. Justeru apabila Allah bersumpah “Demi matahari…”, ia bagi menunjukkan kepada manusia kekuasaan dan keagungan-Nya dalam mencipta matahari.
Berdasarkan dua penjelasan di atas, dapat diketahui bahawa sumpah seumpama ayat-ayat al-Qur’an di atas hanya layak bagi Allah, justeru menjadi hak-Nya sahaja. Kita sebagai manusia tidak layak meniru tatacara sumpah sedemikian.
Selain itu pihak yang membolehkan sumpah dengan selain Allah menggunakan hadis berikut sebagai dalil:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا؟ فَقَالَ: أَمَا وَأَبِيكَ لَتُنَبَّأَنَّهُ أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيحٌ شَحِيحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْبَقَاءَ وَلاَ تُمْهِلَ حَتَّى إِذَا بَلَغَتْ الْحُلْقُومَ قُلْتَ لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنٍ.
Daripada Abu Hurairah (radhiallahu 'anh) dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah sedekah yang paling tinggi anjarannya?”
Rasulullah menjawab: “Demi ayah kamu! Tentu aku akan menjelaskannya. Iaitu sedekah ketika kamu sihat tetapi kedekut kerana bimbang kefakiran dan berharap agar harta itu kekal bersamamu. Janganlah menunda sedekah sehingga ke saat nyawa kamu hampir ditarik, lalu pada saat itu kamu berkata: “Untuk si-fulan harta ini, untuk si-fulan harta itu” padahal pada saat itu harta tersebut memang sudah menjadi hak orang-orang itu.”[20]
Pendalilan dengan hadis di atas dijawab, bahawa perkataan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam “Demi ayah kamu!” bukanlah satu sumpah tetapi sekadar ungkapan yang lazim di sisi masyarakat Arab (al-Yamin al-Laghw). al-Nawawi rahimahullah menjelaskan:
(Rasulullah) bersumpah dengan ayah (sahabat itu) padahal (baginda) melarang bersumpah dengan selain Allah. Maka berkenaan sumpah dengan sandaran ayah ini, dijelaskan bahawa sumpah yang dilarang dengan selain Allah adalah apabila ia memang dimaksudkan (sebagai sumpah). Adapun lafaz sumpah dalam hadis ini, ia merupakan kebiasaan di atas lisan orang-orang Arab tanpa (mereka) memaksudkannya (sebagai sumpah). Maka ia tidak termasuk dalam kategori sumpah yang dilarang oleh baginda.[21]

  • Dalam kes jenayah, bolehkah yang tertuduh bersumpah sebelum diminta oleh hakim?
Terdapat dua hadis yang menjadi rujukan bagi persoalan ini:
يَمِينُكَ عَلَى مَا يُصَدِّقُكَ عَلَيْهِ صَاحِبُكَ.
Sumpah kamu wajib berada di atas apa yang diminta oleh lawan kamu (yang membuat tuduhan).[22]
الْيَمِينُ عَلَى نِيَّةِ الْمُسْتَحْلِفِ.
Sumpah bergantung kepada niat orang yang meminta sumpah.[23]
Berdasarkan dua hadis di atas, para ilmuan terbahagi kepada dua pendapat:
  1. Orang yang tertuduh hendaklah menunggu hingga hakim meminta dia bersumpah bagi membersihkan tuduhan ke atas dirinya.
  2. Asalkan ada tuduhan, orang yang tertuduh boleh bersumpah bagi membersihkan dirinya. Dengan syarat ia diminta atau dicadangkan oleh orang yang memiliki kedudukan di sisi masyarakat atau negara, baik orang itu ialah seorang hakim atau selainnya.
Pada analisa saya, yang lebih kuat ialah pendapat yang kedua. Penjelasannya adalah seperti apa yang dikatakan oleh Muhammad bin Ismail al-Shan‘ani rahimahullah:
Kesimpulannya, sumpah itu sesuai dengan niat orang yang bersumpah dalam semua perkara kecuali apabila diminta bersumpah oleh hakim atau wakilnya terhadap sesuatu tuduhan yang dihadapkan ke atasnya. Maka dalam kes ini sumpah hendaklah sesuai dengan maksud orang yang meminta dia bersumpah (yakni hakim atau wakilnya). Inilah maksud hadis di atas.
Adapun apabila dia bersumpah tanpa diminta untuk bersumpah oleh hakim atau wakilnya terhadap sesuatu tuduhan yang dihadapnya, maka sumpah itu sesuai dengan niat orang yang bersumpah.
… Saya (al-Shan‘ani) berkata, tidak diketahui dari mana datangnya pembatasan (terhadap keumuman) hadis di atas kepada hakim atau wakilnya sahaja (dalam persoalan permintaan sumpah). Padahal zahir hadis menunjukkan apabila sumpah itu diminta oleh orang yang memiliki hak (yakni kedudukan dalam masyarakat atau negara), maka niat sumpah itu sesuai dengan niat orang yang memintanya (dan ini berlaku secara) mutlak.[24]

  • Apakah maksud sumpah Mubahalah?
Sumpah mubahalah merujuk kepada ayat berikut:
فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنْ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ.
Kemudian sesiapa yang membantahmu mengenainya sesudah kamu beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.” [‘Ali Imran 3:61]
Perkataan Mubahalah (مباهلة) berasal daripada kata bahlah atau buhlah (بهلة) yang bererti doa yang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kutukan kepada lawan yang membangkang. Imbuhan Mubahalah menunjukkan wujudnya dua pihak yang saling melakukan perkara yang sama, dalam kes ini saling berdoa kepada Tuhan untuk menjatuhkan laknat kepada pihak yang mengingkari kebenaran.[25]
Merujuk kepada ayat di atas, diriwayatkan bahawa pada satu ketika datang delegasi Nasrani dari Najran[26] untuk berdialog dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di Kota Madinah dalam subjek perbandingan agama antara Kristian dan Islam. Setelah disampaikan segala hujah yang benar yang tidak mampu dijawab oleh delegasi Nasrani, mereka tetap enggan mengakui kebenaran Islam, apatah lagi memeluknya. Keengganan delegasi Nasrani ini menyebabkan AllahSubhanahu wa Ta‘ala menurunkan ayat 61 surah ‘Ali Imran di atas.
Berdasarkan ayat ini, apabila terdapat dua pihak yang bertikai dengan saling menuduh sementara masing-masing pihak telah mengemukakan hujah masing-masing, maka alternatif terakhir bagi menyelesaikan pertikaian ialah melakukan sumpah mubahalah. Melalui sumpah mubahalah masing-masing pihak membawa ahli keluarga terdekat masing-masing dan bersumpah seandainya pihak yang menuduh berdusta, laknat Allah akan tertimpa ke atas ahli keluarganya.
Kehadiran ahli keluarga terdekat memiliki pengaruh yang amat mendalam sehingga orang yang berdusta dalam membuat tuduhan akan menarik balik tuduhannya itu. Ini kerana dia tidak mahu kesalahan dirinya sendiri memberi kesan buruk kepada ahli keluarga tersayangnya, yang pada asalnya memang tidak bersalah langsung.
Dengan merujuk kepada hadis-hadis yang mengkhabarkan peristiwa mubahalah yang dilakukan oleh Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam, dapat dirumuskan beberapa syarat sumpah mubahalah:
  1. Ia sebagai alternatif terakhir setelah semua alternatif lain dilaksanakan bagi meleraikan pertikaian.
  2. Masing-masing pihak membawa bersama ahli keluarganya yang terdekat.
  3. Masing-masing pihak bersama ahli keluarga terdekat hadir secara berhadapan.
  4. Masing-masing pihak bersumpah, umpama: “Demi Allah! Aku bersumpah aku tidak bersalah dalam tuduhan ini. Ya Allah! Yang menuduh telah berdusta dalam membuat tuduhan, maka jatuhkanlah laknat-Mu ke atas penuduh dan ahli keluarganya.” Pihak kedua pula bersumpah, umpama: “Demi Allah! Aku tidak berdusta dalam membuat tuduhan ini. Ya Allah! Yang tertuduh telah berdusta dalam menafikan tuduhan, maka jatuhkanlah laknat-Mu ke atas tertuduh dan ahli keluarganya.”
Lazimnya apabila masing-masing pihak hadir bersama ahli keluarga terdekat secara berhadapan, sumpah mubahalahtidak akan berlaku. Pihak yang membuat tuduhan palsu akan menarik diri. Bahkan dia mungkin tidak akan hadir atau tidak akan membawa ahli keluarganya. Ini sebagaimana yang berlaku kepada delegasi Najran itu sendiri. Hadis berikut menjadi rujukan:
عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ: جَاءَ الْعَاقِبُ وَالسَّيِّدُ صَاحِبَا نَجْرَانَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُرِيدَانِ أَنْ يُلاَعِنَاهُ. قَالَ: فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ لاَ تَفْعَلْ فَوَاللَّهِ لَئِنْ كَانَ نَبِيًّا فَلاَعَنَّا لاَ نُفْلِحُ نَحْنُ وَلاَ عَقِبُنَا مِنْ بَعْدِنَا, قَالاَ إِنَّا نُعْطِيكَ مَا سَأَلْتَنَا وَابْعَثْ مَعَنَا رَجُلاً أَمِينًا وَلاَ تَبْعَثْ مَعَنَا إِلاَّ أَمِينًا. فَقَالَ: لأَبْعَثَنَّ مَعَكُمْ رَجُلاً أَمِينًا حَقَّ أَمِينٍ. فَاسْتَشْرَفَ لَهُ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَقَالَ: قُمْ يَا أَبَا عُبَيْدَةَ بْنَ الْجَرَّاحِ. فَلَمَّا قَامَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَذَا أَمِينُ هَذِهِ الأُمَّةِ.
Daripada Huzaifah (radhiallahu 'anh), dia berkata: al-Aqib dan al-Sayyid, ketua delagasi Najran datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk saling melaknat (Mubahalah).
(Huzaifah menyambung): Lalu berkata salah seorang daripada mereka kepada sahabatnya: “Janganlah berbuat demikian kerana Demi Allah, jika benar dia (Muhammad) seorang Nabi lalu kita melaknat dia pasti kita dan generasi sesudah kita tidak akan mencapai kejayaan.”
Lalu akhirnya mereka berdua berkata: “Kami akan memberikan apa yang kamu minta (sebagai perjanjian damai) dan utuskanlah kepada kalangan kami seorang yang amanah, tidak sebarangan orang kecuali yang amanah.” Rasulullah menjawab: “Aku akan mengutus bersama kalian seorang yang amanah, benar-benar amanah.”
Setelah itu maka setiap seorang daripada para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sangat-sangat berharap agar merekalah yang terpilih sebagai utusan yang amanah tersebut. Lalu Rasulullah bersabda: “Bangunlah wahai Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah.” Tatkala (Abu ‘Ubaidah) berdiri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Inilah orang amanah umat ini.” [27]





[1]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3444 (Kitab Ahadits al-Anbiya’, Bab firman Allah berkenaan Maryam…).
[2]               ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam – Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (Maktabah al-Asri, Mekah, 2003), jld. 7, ms. 105.
[3]               Abu Malik Kamal bin al-Sayyid Salim – Shahih Fiqh al-Sunnah wa Adillatuh wa Taudhih Mazahib al-Aimmah (Maktabah al-Taufiqiyyah, Kaherah), jld. 2, ms. 285.
[4]               Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, jild. 7, ms. 105.
[5]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2679 (Kitab al-Syahadat, Bab bagaimana cara bersumpah).
[6]               Shahih Fiqh al-Sunnah, jld. 2, ms. 288.
[7]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 7383.
[8]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6628.
[9]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 153.
[10]             Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albbani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3251.
[11]             Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1647.
[12]             Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, jild. 7, ms. 108.
[13]             Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 137.
[14]             Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3262.
[15]             Shahih Fiqh al-Sunnah, jld. 2, ms. 289-290.
[16]             Shahih Fiqh al-Sunnah, jld. 2, ms. 314-315.
[17]             Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, jild. 7, ms. 117.
[18]             Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no: 1675.
[19]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6622.
[20]             Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1032-2.
[21]             al-Minhaj Syarh Shahih Muslim bin al-Hajjaj (Dar al-Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut), jld. 4, ms. 359.
[22]             Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1653.
[23]             Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1653-2.
[24]             Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram (Dar al-Arqam, Beirut), jld. 2, ms. 423.
[25]             Quraish Shihab – Tafsir al-Mishbah (Lentera Hati, Djuanda), jld. 2, ms. 105.
[26]             Najran terletak di Yaman, kira-kira 240km di utara bandar San’a. [Syed Anwar Ali – Qur’an: The Fundamental Law of Human Life(Hamdard Foundation, Karachi 1987), jld. 4, ms. 172].
[27]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 4380.

SUMBER BERKAITAN SUMPAH DI AMBIL DARI BLOG SAHABAT http://hafizfirdaus.com/#_ftn27

Tiada ulasan:

Catat Ulasan