Rabu, 25 Disember 2013

Touch 'n Go bukan pemegang duit Rebat ,20 peratus ini adalah hadiah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak)


SHAH ALAM – Syarikat pengendali sistem pembayaran elektronik, Touch ‘n Go Sdn Bhd (TGSB) bukan pemegang duit rebat kad prabayar Touch ‘n Go dan SmartTag.

Menurut sumber, TGSB adalah syarikat berkanun di bawah kerajaan dan bertindak sebagai badan pengurusan sahaja.

“Segala sumber kewangan diuruskan Kementerian Kewangan. Kami hanya menyediakan laporan berkenaan rebat dan kementerian akan menyalurkan duit rebat kepada satu unit khas, iaitu Universal Trustee yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.

“Segala bentuk dokumen dan transaksi dibuat menerusi atas talian sahaja, dikenali sebagai 'centre clearance house',” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, TGSB juga tidak berhak membuat sebarang keputusan kerana ia bergantung kepada kerajaan.

“Rebat 20 peratus ini adalah hadiah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak). Jadi, semua keputusan akan dibuat Kementerian Kewangan.

“Sejak diperkenalkan pada 2009, kami telah berjaya menguruskan semua rebat dengan baik tanpa sebarang masalah,” katanya.

TGSB, katanya juga menambah kaunter tuntutan di sepanjang lebuh raya untuk kemudahan pengguna.

“Kami juga menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat pam minyak untuk diletakkan kaunter khas, iaitu Touch ‘n Go Spot, untuk tambah nilai dan penebusan rebat,” katanya.  

Mengenai jumlah pengguna kad prabayar Touch ‘n Go ini, katanya, ia telah meningkat kepada lima juta pengguna aktif.

“Ramai yang sudah menggunakan kad prabayar ini, bukan sahaja untuk tol malah untuk kegunaan lain seperti bayaran tempat letak kereta dan pengangkutan awam lain. Jadi, ia memudahkan banyak pihak,” katanya.

Menurutnya, hanya 70,000 pengguna kad prabayar ini yang menuntut rebat setiap bulan.

“Dalam rekod kita, ada 100,000 pengguna yang pernah membuat tuntutan rebat ini, tetapi hanya 70,000 yang membuat secara konsisten.

“Kami mendapat maklumat, ada pengguna yang masih tidak mengetahui tentang rebat ini walaupun ia ada dalam laman web kami,” katanya.

Justeru, katanya, semua pengguna boleh membuat semakan kadar rebat mereka menerusi laman web TGSB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan