Jumaat, 15 Mac 2013

PERANG LAHAD DATU: KFC Hantar 2,500 Set Makanan Ke Lahad Datu

KUALA LUMPUR – KFC Malaysia akan mengedarkan sebanyak 2,500 makanan KFC kepada anggota pasukan keselamatan dan penduduk Lahad Datu, Sabah yang terjejas berikutan pencerobohan militan bersenjata Sulu dari Filipina. 

Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata, makanan KFC bernilai RM30,000 tersebut akan diedarkan kepada anggota polis dan tentera yang sedang bertugas di daerah berkenaan serta sebilangan penduduk Lahad Datu yang kini menginap di tiga pusat pemindahan.



“Pasukan pekerja KFC akan menyerahkan dan mengedarkan makanan tersebut secara terus kepada penghuni dan juga anggota pasukan keselamatan di pusat pemindahan Dewan Cenderawasih. Makanan KFC kepada dua lagi pusat pemindahan akan disalurkan melalui pasukan keselamatan.
“Setiap makanan KFC itu mengandungi dua ketul ayam, kentang putar, roti dan juga air mineral,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Ahmad Zaki berkata, KFC Malaysia mengambil berat keadaan masyarakat dan anggota pasukan keselamatan di Lahad Datu yang sedang berusaha keras melindungi dan mempertahankan negara ini.

Justeru, katanya, sumbangan berbentuk makanan KFC itu diharap dapat membawa `senyuman’ kepada mereka selain berharap krisis berdarah yang berlaku di daerah itu akan tamat dalam masa terdekat.

Sehubungan itu juga, kata beliau, KFC Malaysia mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan negara dan menyanjung tinggi pengorbanan wira negara dalam mempertahankan negara ini.

Read more at disini 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan