Khamis, 5 Jun 2014

NAJIB BERHAK SAMAN MALAYSIAKINI !!SAYA SOKONG. NAMUN KALAU SAYA TAKKAN BUAT BEGITU -TUN M

GOMBAK: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  hari ini berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhak untuk menyaman laman portal Malaysiakini.

Bagaimanapun Tun Mahathir berkata beliau sendiri tidak akan mengambil tindakan undang-undang seperti diambil Najib meskipun ramai yang memfitnahnya.

Ini kerana beliau tidak mempunyai wang untuk menyaman orang.

“Dia punya rights . You cakap satu benda bagi orang sakit hati. The law is there. Saya, banyak orang kata saya macam-macam.

“Tetapi saya tidak pergi ke mahkamah sebab tidak ada duit hendak bayar lawyer. Akhirnya lawyer dapat duit,” katanya semasa satu sidang media selepas program Syarahan Perdana Presiden di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini.

Tun Mahathir menambah beliau hanya mendapat RM70,000 apabila disaman oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

“Baru-baru ini, Anwar saman saya untuk RM100 juta. Saya lawan dia lima tahun, bayar lawyer. Lepas tu dia kalah. Saya dapat RM70,000.

“Saya hendak bayar lawyer pun tak cukup. Sepatutnya dia saman saya RM100 juta, bila dia kalah dia bayarlah saya RM100 juta. Ini baru lah adil. Ini tak adil, RM70,000 bagi. Semuanya pergi dekat lawyer, saya tiada apa-apa. Lima tahun seksa,” katanya.

Najib dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh memfailkan saman fitnah terhadap syarikat, ketua editor dan ketua pengarang laman web portal Malaysiakini berhubung penerbitan dua artikel bulan lepas.


Najib dan Ab Rauf menamakan syarikat Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Pengarang Malaysiakini.com Steven Gan dan Pengarang Fathi Aris Omar sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan, Najib dan Ab Rauf mendakwa ketiga-tiga defendan melaporkan, mengeluarkan dan membenarkan penerbitan dua artikel berasingan yang bertajuk "A case of the PM reaping what he sows" dan "How much will Najib spend to keep Terengganu?"


Kedua-dua artikel itu didakwa diterbitkan pada 14 Mei lalu.

Mereka mendakwa artikel tersebut diletakkan di bawah ruangan "Yoursay" di laman web portal www.malaysiakini.com oleh defendan-defendan sendiri atau pembantu mereka melalui komen daripada pelanggan atau pengguna laman web itu yang kemudiannya digabungkan sebagai satu artikel di bawah tajuk utama.

Najib, yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi dan Ab Rauf bagi pihak UMNO, mendakwa defendan-defendan membenarkan penerbitan artikel berkenaan dengan sengaja selain mengetahui ia adalah tidak benar dan tuduhan melulu tanpa mempedulikan kebenarannya.

Najib mendakwa kata-kata fitnah itu menjejaskan reputasinya sebagai ahli politik, presiden UMNO dan perdana menteri.

Selain itu, kedua-dua plaintif mendakwa komen-komen tersebut membawa maksud secara sindiran untuk menunjukkan UMNO tidak kompeten sebagai sebuah parti politik dan tulang belakang Barisan Nasional.

Kedua-dua plaintif mendakwa akibat daripada penerbitan artikel itu, reputasi mereka terjejas teruk apabila UMNO dikecam terutama di media sosial dan media massa.

Dakwa plaintif lagi, artikel berkenaan adalah komen-komen yang diberi tanpa sebarang asas dan hanyalah tuduhan melulu yang berniat jahat terhadap Umno, menyebabkan ketegangan antara rakyat dan Umno.

Turut dituntut adalah ganti rugi teruk, ganti rugi keterlaluan, faedah, injunksi untuk menahan defendan-defendan atau pembantu mereka menerbitkan artikel tersebut, perintah bahawa defendan-defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis untuk diterbitkan di surat khabar dan kos.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan