Selasa, 27 Mei 2014

Yammy tiada pendirian ,sanggup berbohong demi anaknya

Yummy bersungguh-sungguh menyokong pelaksanaan hudud oleh Pas Kelantan, tetapi setelah anaknya dipilih sebagai calon DAP bagi kerusi Parlimen Teluk Intan, serta merta juga beliau menolak hudud.
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan kecewa dengan sikap berdolak-dalik Yammy Samat dalam menyatakan pendiriannya mengenai status keahlian beliau dalam pertubuhan Melayu itu.
Pengerusinya, Mohd Fauzi Muhammad berkata, selain kecewa, beliau juga terkejut dengan bekas Ketua Wiranita Perkasa Perak itu yang sanggup menggadai maruah Melayu demi kepentingan politik diri dan anaknya, Dyana Sofya Mohd Daud.
Katanya, Yammy tidak perlu takut atau malu untuk membuat pengakuan yang beliau adalah ahli Perkasa kerana anaknya, Dyana sudah berjaya menanam kepercayaan DAP kepada mereka sekeluarga.
“Cuma yang kita kesal, apabila ditanya mengenai keahliannya dalam Perkasa, sekejap dia menafikan dan sekejap dia mengaku sebagai ahli. Walau dia mengaku dari awal sekali pun, tidak akan menjejaskan kepercayaan DAP terhadap Dyana.
“DAP sudah jatuh hati dan amat sayang sekali kepada Dyana, sebab bagi mereka, Dyana satu-satunya anak muda Melayu yang boleh digunakan untuk mencapai matlamat perjuangan parti itu.
“Kenapa Yammy perlu risau atau takut hendak berterus terang dari awal lagi mengenai statusnya dalam Perkasa? Takut DAP membatalkan hasratnya hendak menjadikan Dyana sebagai calon pilihan raya keci?” 
Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Yammy yang hendak membatalkan keahliannya sebagai ahli Perkasa bagi memastikan perjuangan Dyana dalam DAP tidak terganggu.
Yammy dilaporkan berkata, beliau tidak lagi mempercayai ideologi Perkasa, selain menganggap pertubuhan itu sebagai NGO suruhan UMNO.
Menurut Mohd Fauzi, Yammy tidak perlu memberi alasan dengan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Perkasa jika mahu keluar dari pertubuhan itu.
“Beliau dan sesiapa sahaja boleh pada bila-bila masa keluar dari Perkasa sekiranya merasakan dirinya atau jiwanya tidak sesuai dengan perjuangan NGO Melayu ini.
“Jika banyak sangat memberi alasan, nanti Yammy akan menanggung malu pula sebab rekodnya sepanjang menjadi ahli dan pemimpin Perkasa di Perak pun bukan baik sangat,” katanya.
Mohd Fauzi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong di Kelantan menjelaskan, kalau Yammy sanggup berbohong demi anaknya, tidak mustahil sikap sedemikian akan menjadi kebiasaan baginya jika ditakdirkan Dyana berjaya di Parlimen Teluk Intan.
Biasanya, kata beliau, jika dalam Perkasa dan UMNO pun boleh menipu, tidak mustahil sepanjang bersama DAP pun perbuatan sama boleh berlaku.
Beliau memberi contoh, ketika Yammy dalam Perkasa, bekas Wiranita itu bersungguh-sungguh menyokong pelaksanaan hudud oleh Pas Kelantan, tetapi setelah anaknya dipilih sebagai calon DAP bagi kerusi Parlimen Teluk Intan, serta merta juga beliau menolak hudud.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan