Selasa, 13 Mei 2014

PENGUNDI MELAYU SG GELUGUR TEGASKAN AGAR PENDUDUK TIDAK MENGUNDI PAKATAN RAKYAT BAGI MENGHALANG PENGUSIRAN MELAYU SECARA SENYAP DAN TERATUR ?

GEORGETOWN: Penduduk Sungai Gelugor yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Melayu kecewa terhadap pentadbiran kerajaan negeri kerana didakwa gagal menyediakan rumah mampu milik dengan harga yang lebih rendah.

Seorang penduduk, Mohd Tahir Marikan, 73, berkata, ini kerana kebanyakan rumah yang dibina di kawasan pesisir pantai dekat Sungai Gelugor mampu mencecah harga sehingga jutaan ringgit.

"Bayangkan harga sebuah pangsapuri bermula dari RM600,000. Jadi kebanyakan orang Melayu di sini tidak mampu memiliki rumah sendiri disebabkan harga  yang terlampau tinggi," katanya ketika ditemui mStar Online di Kampung Sungai Gelugor di sini, Ahad.

Mohd Tahir yang juga bekas kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, beliau turut bimbang jika lot tanah yang didiaminya sekarang akan 'hilang' pada  masa hadapan kerana dibina perumahan mewah.

"Sekarang kebanyakan orang Melayu di sini sudah mula kehilangan lot tanah masing-masing sama ada dijual kepada individu yang ingin mengaut keuntungan semata-mata.

"Selagi saya masih hidup saya akan tetap mempertahankan tanah yang saya diami sejak era 60-an lagi.  Saya percaya seramai 600 penduduk asal di kampung turut bersependapat seperti saya," katanya.

Seorang lagi penduduk, Salleh Ahmad, 62, mendakwa masyarakat Melayu di sini sering dianak-tirikan berbanding kawasan lain di dalam Parlimen Bukit Gelugor.

"Sebelum ini, calon rakyat yang bertanding hanya akan datang bertemu penduduk kampung apabila tiba musim Pilihan Raya Umum (PRU).

"Jika tidakpun dia hanya akan suruh wakilnya datang jumpa kami. Pada waktu itu calon akan berikan bantuan mengikut apa sahaja yang dikehendaki oleh penduduk di sini," katanya.

Ketika ditanya mengenai calon DAP yang dipilih untuk bertanding di kerusi Parlimen itu iaitu Ramkarpal Singh Deo, Salleh berkata, beliau sudah meramalkan budaya politik kekeluargaan tetap akan menjadi amalan Pakatan Rakyat.

"Dahulu bapanya bertanding, kini anaknya pula. Inilah yang dinamakan politik kekeluarga yang sentiasa kita lihat dalam diri setiap pemimpin DAP. Legasi kekeluarga tetap diteruskan," katanya.

Jelas Salleh, walaupun Barisan Nasional (BN) dikatakan tidak menurunkan calonnya pada PRK ini,  beliau hanya akan memilih calon yang benar-benar menjaga kepentingan rakyat di negeri.

"Di sini 95% penduduknya terdiri dari kaum Melayu dan penyokong BN. Memang susah DAP nak tawan hati penduduk di Sungai Gelugor," katanya yang juga pesara kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

PRK Bukit Gelugor bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan DAP akan ditentang empat lagi calon lain yang sudah mengesahkan turut bertanding.

Empat calon itu ialah ahli Pas Gombak, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abd Sathar, 63; Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan; wakil parti yang baharu dibentuk, Penang Front Party (PFP) dan calon bebas, Mohd Yacoob Mohd Noor.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Karpal memenangi kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi selepas mendapat 55,839 undi menewaskan calon BN daripada MCA, Teh Beng Yeam (14,061 undi). 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan