Isnin, 31 Mac 2014

Sepuluh tahun tidak diselenggara

SUNGAI BESAR – Kira-kira 10 orang penduduk Taman Gembira Sungai Besar diancam bau busuk setiap hari berikutan longkang utama hadapan rumah mereka tersumbat dan berbau akibat tidak pernah diselenggarakan pihak berwajib sejak lebih 10 tahun lalu.

Penduduk, Chia Lee Seng, 49, berkata, bau busuk itu berpunca daripada air kumbahan longkang rumah penduduk yang tidak berfungsi dengan baik akibat tersumbat kerana tidak pernah diselenggarakan pihak berwajib.

Menurutnya, keadaan itu sudah tentu meresahkan penduduk yang terpaksa menghidu bau busuk longkang hadapan rumah mereka setiap hari hingga meloyakan tekak setiap kali ingin menjamah makanan.

“Longkang ini dah lama tak dicuci dan keadaannya amat teruk. Kami minta pihak berwajib pandang serius keselesaan kami yang dihimpit masalah pencemaran bau yang amat kuat,” katanya.

Lee Seng berkata, masalah itu seharusnya ditangani segera oleh pihak berwajib memandangkan keadaan air longkang itu juga berubah warna kehitam-hitaman dan memerlukan tindakan proaktif dalam menanganinya.

“Kami mahu agar pihak berwajib mengambil langkah positif dengan mengenal pasti punca dan membersihkan longkang berkenaan demi keselesaan kami di sini,” katanya.

Ketua khidmat Pemuda MCA Dun Sungai Besar, Tang Peng Hoon, berkata, penduduk bukan saja berdepan masalah bau busuk, malah mereka bimbang jika takungan air tersumbat itu menjadi sarang pembiakan nyamuk.

“Kami bimbang longkang ini dijadikan tempat nyamuk membiak dan dikhuatiri penghuni di sini akan diserang pelbagai jenis penyakit termasuk demam denggi,” katanya.

Beliau berkata, pihak berwajib tidak boleh lepas tangan dalam soal kebersihan dan meminta agar satu jadual disusun bagi membersihkan semula longkang tersumbat termasuk kerja mendalam parit berhampiran.

“Air longkang ini akan dibuang ke parit utama dan jika alirannya tak lancar, mungkin parit pembuangan berhampiran perlu didalamkan lagi untuk melancarkan aliran air,” katanya.

Sementara Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata, pihak berkaitan diminta lebih peka dengan aduan yang disuarakan penduduk terbabit.

"Adalah lebih baik agar pihak berwajib dan penduduk mengadakan perbincangan untuk menangani masalah itu bagi mengembalikan persekitaran bersih tanpa diganggu dengan pencemaran bau tersebut.

“Kita harap perkara ini dipandang serius oleh pihak berwajib kerana masalah ini bukan baharu sehari dua berlaku, tapi saya difahamkan sudah lama tidak dibersihkan,” katanya.-SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan