KUALA LUMPUR- Kapal terbang penyiasat canggih milik Tentera Laut Amerika Syarikat, P-8 Poseidon tidak menemui apa-apa di kawasan yang dikatakan ada kelihatan objek pada radar Australia.
Menurut NBC News, kapal terbang pengintip itu selesai melalui kawasan itu namun tidak menemui apa-apa objek.
Namun begitu, kapal terbang lain dalam perjalanan ke kawasan yang sama.
Sebelum ini, Jabatan Keselamatan Maritim Australia (AMSA) memaklumkan pihaknya mengesan dua imej oleh satelit Australia kemungkinan besar adalah serpihan pesawat MH370 yang hilang, namun ia kurang jelas dengan objek yang besarnya berukuran 24 meter.
“Ia adalah objek yang saiznya wajar dan kemungkinan ditolak oleh air dengan tenggelam timbul di permukaan laut,” kata John Young, Pengurus Besar kepada Divisyen Tindakan Kecemasan, satu unit di bawah AMSA memberitahu sidang media hari ini.
Australia menghantar empat buah kapal terbang dan dua kapal laut ke kawasan pencarian di Lautan Hindi itu untuk mengenalpasti objek yang dikesan oleh satelit itu.
Air di kawasan itu adalah ‘dalam beberapa ribu meter’ dan penglihatan yang kabur akan menyukarkan pencarian, walaupun cuaca adalah sederhana, kata Young.
Imej satelit itu kabur namun saiznya sesuai sekali dengan serpihan kapal terbang, lapor Reuters.
Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu sidang akhbar di sini memberitahu, walaupun penemuan objek berkenaan adalah “perkembangan yang penting”, belum ada pengesahan boleh dilakukan sama ada ia mempunyai kaitan dengan MH370.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan