Rabu, 5 Mac 2014

Meterai MoU: Saya terikat dengan undang-undang – Khalid

KHALID IBRAHIM
KHALID IBRAHIM
KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tindakannya tidak memaklumkan Perjanjian Persefahaman (MoU) kerajaan negeri itu dengan kerajaan pusat berkaitan penstrukturan semula industri air di Selangor kepada pemimpin PKR adalah disebabkan terikat dengan undang-undang.
Beliau berkata peruntukan undang-undang melarangnya membuat kenyataan berhubung perkara itu, dan jika perlu, hendaklah dilakukan secara tertib bagi mengelak syarikat yang mengendali air di Selangor, terjejas di pasaran saham.
“Syarikat yang mengendalikan air di Selangor tersenarai di pasaran saham dan tidak boleh dibincang secara terbuka kepada umum,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU dengan kerajaan negeri Kelantan semalam.
MoU antara Kelantan dan Selangor itu ialah bagi kerjasama kepakaran membabitkan tujuh perkara iaitu Pendidikan, sistem gadaian Islam Ar Rahn, Pusat Makanan Halal, Perundangan, Pembangunan Siber, Pemasaran Produk dan Air.
Kelantan diwakili Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob manakala Selangor oleh Abdul Khalid.
Abdul Khalid diminta mengulas dakwaan pemimpin PKR bahawa beliau tidak memaklumkan perkara itu terlebih dahulu sebelum memeterai MoU dengan kerajaan pusat berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor.
Khalid sebelum ini mendedahkan terdapat pemimpin-pemimpin PKR cuba untuk mempengaruhi terhadap penilaian aset air di negeri itu.
Beliau berkata, beberapa pemimpin parti telah memperkenalkannya kepada beberapa pihak yang cuba untuk membuat kes mereka mengenai mengapa penentuan harga aset air perlu lebih tinggi.
“Saya pernah menjadi pegawai bank pelaburan sekian lama bahawa saya melihat prinsip penilaian itu sebelum menentukan harga (aset). Saya berpendirian dengan prinsip saya mengenai penilaian dan menetapkan harga pada RM9.65 bilion.
“Mereka ini mahu menetapkan harga dan mahu penilaian untuk memberikan justifikasi pada harga mereka,” katanya dalam satu temuramah baru-baru ini.
Khalid juga menjelaskan mengapa mekanisme daripada perjanjian itu tidak dapat didedahkan kepada pihak dalaman mahupun di luar parti sebelum perjanjian itu ditandangani bersama Kerajaan Persekutuan pada Rabu.
Beliau menegaskan bahawa maklumat itu sekiranya didedahkan, akan memberi kesan kepada nilai saham berkaitan dengan aset-aset air.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan