Festival Hari Belia pada tahun ini tidak hanya menumpukan kepada hiburan semata-mata, sebaliknya Kementerian Belia dan Sukan sudah mengatur program agar lebih seimbang dan menyeluruh.
Ini termasuk mengadakan lebih banyak aktiviti ilmiah dan keagamaan membabitkan pertandingan tilawah al-Quran, pertandingan nasyid, persembahan teater dan bacaan puisi serta karnival sukan.
Sambutan Hari Belia 2014 juga buat pertama kalinya akan diadakan di peringkat daerah dan negeri di seluruh Malaysia manakala acara kemuncaknya akan dilangsungkan di Putrajaya.
Walaupun terdapat lebih banyak aktiviti dirancang serta melibatkan penglibatan di peringkat daerah dan negeri, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kos penganjuran pada tahun ini jauh lebih rendah berbanding tahun lepas.
"Kosnya jauh lebih rendah sebab kita tidak mahu belanja terlalu banyak. Kita akan gunakan 60 peratus daripada kos tersebut untuk program-program peringkat daerah dan negeri.
"Bakinya barulah kita gunakan untuk Festival Belia Putrajaya iaitu kemuncak kepada sambutan Hari Belia Negara," katanya semasa sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Kepimpinan Belia Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, penganjuran Festival Hari Belia pada tahun ini akan dilakukan secara seimbang di antara aktiviti hiburan dan ilmiah selepas mengambil kira pandangan-pandangan yang diberikan oleh para cendekiawan dan ahli agama.
Malah, ia juga bakal memberi lebih banyak pilihan kepada anak-anak muda yang mempunyai pelbagai kecenderungan dan minat.
"Ada anak-anak muda yang datang kepada saya dan mencadangkan supaya sambutan tersebut dilakukan di luar daerah walaupun mereka sebenarnya tidak ada masalah sekiranya ia terus diadakan di Putrajaya.
"Saya merasakan cadangan tersebut adalah baik dan mampu mendekati lebih ramai anak-anak muda di seluruh Malaysia, sebab itulah tahun ini kita akan adakan di peringkat daerah dan negeri,” katanya.
Tahun lalu, Festival Belia Putrajaya 2013 yang berlangsung selama empat hari itu melibatkan penganjuran kira-kira 500 acara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan