Jumaat, 28 Mac 2014

Filipina, MILF tandatangani perjanjian bersejarah

Presiden Filipina Benigno Aquino (kedua dari kanan, baris kedua) dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dengan MILF hari ini di Istana Malacanang, Manila.
Presiden Filipina Benigno Aquino (kedua dari kanan, baris kedua) dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dengan MILF hari ini di Istana Malacanang, Manila.
KUALA LUMPUR- Kerajaan Filipina (GPH) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) hari ini membuka lembaran baru bagi hubungan mereka sebelum ini yang ditandai dengan permusuhan dan sikap saling tidak mempercayai apabila mereka duduk semeja untuk menandatangani Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) bagi membuka jalan ke arah mencari penyelesaian politik di Mindanao.
Perjanjian penuh bersejarah yang diusahakan Malaysia ini berlangsung di perkarangan Istana Malacanang serta turut dihadiri Presiden Filipina Benigno Aquino III dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak.
Rundingan damai dengan MILF, yang bermula pada 1997, bertujuan menamatkan pemberontakan di wilayah selatan Filipina sejak tahun 1970-an, yang sehingga kini telah meragut lebih 100,000 nyawa.
Malaysia bertindak sebagai pemudah cara pihak ketiga dalam proses damai ini, dengan Kuala Lumpur mula menyertainya pada 2001.
Perjanjian damai GPH-MILF bermatlamat mewujudkan satu entiti politik berperintahan sendiri dikenali sebagai Bangsamoro, yang akan mempunyai lebih banyak kuasa politik dan ekonomi.
Entiti baru ini akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao, sejajar dengan Undang-undang Asas Bangsamoro, yang akan diluluskan Kongres Filipina dan disahkan penduduk terbabit. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan