Selasa, 18 Februari 2014

#PRK-KAJANG APABILA ANWAR BERDAKWAH DIDALAM GEREJA MAKA BANYAK LAH ORANG PAS MEMBENCINYA ?

PORTAL yang akrab dengan pembangkang, The Malaysian Insider menyiarkan berita panjang lebar mengenai ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatannya ke sebuah gereja di Kajang, semalam. Tajuk beritanya cukup terus terang, “Anwar impresses congregation during visit to Holy Family church in Kajang” (Anwar mengkagumkan jemaah semasa lawatan ke gereja Holy Family di Kajang).
Laporan itu berjaya mempotretkan Anwar sebagai pemimpin Melayu yang begitu sederhana, fleksibel dan ambil berat tentang kebingungan orang Kristian berhubung penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam – isu sensitif yang masih mewarnai landskap politik Malaysia sejak kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
Berita itu pula hanya disiarkan dalam versi bahasa Inggeris manakala ruangan versi bahasa Melayu sekadar dikupas secara umum dengan tajuk “Kebencian dan keganasan kuasai Putrajaya, kata Anwar.”
Bagaimana editor The Malaysian Insider berhati-hati memilih tajuk dan menentukan berita apa yang patut disiar kepada pembaca versi bahasa Melayu, begitu jugalah waspadanya Anwar menyusun bait-bait ucapannya di hadapan 1,200 penganut Kristian yang hadir pada majlis tersebut.
Anwar sedar, sebahagian audiens pada majlis itu bukan sahaja akan turun sebagai pengundi pada pilihan raya kecil DUN Kajang yang ditandinginginya pada 23 Mac nanti, lebih penting, beliau mesti menjadikan majlis tersebut untuk mencerna kesangsian audiens terhadap musuh politiknya – UMNO/Barisan Nasional.
Dari satu segi, Penasihat PKR itu melakukan satu perkara yang pemimpin Barisan Nasional (BN) jarang lakukan sejak sekian lama – bertemu rakyat Malaysia di luar komuniti sendiri. Anwar mahu mempotretkan imej dirinya sebagai pemimpin untuk semua lapisan masyarakat, bukannya hanya kaum dan agamanya sendiri.
anwar gereja2Cara bersahaja dan sesekali meninggikan suara bagi membakar perasaan audiens, motif kehadiran Anwar di gereja sebenarnya sudah boleh diteka. Di sebalik kemarahan umum ekoran tindakan partinya mengosongkan kerusi DUN Kajang untuk memberi laluan kepadanya bertanding, beliau berusaha membina kepercayaan bahawa pilihan raya itu terpaksa atau mesti diadakan kerana BN memainkan isu agama dan perkauman.
Seperti pernah ditegaskan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, DUN Kajang mesti dilakukan bagi mengekang usaha UMNO untuk “mendaruratkan” Selangor dan merampas negeri itu daripada PR – alasan yang disambut sinis ramai pihak termasuk sekutu PKR sendiri.
“Apabila saya bertanya seorang ulama antarabangsa mengenainya (isu kalimah Allah).
“Saya memberitahunya ia (isu kalimah Allah) adalah persoalan oleh UMNO, jadi dia menjelaskan bahawa umat Islam sembahyang lima kali sehari:” Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan langit dan bumi.
“Jadi, jika Allah adalah Tuhan bagi seluruh alam semesta, bagaimana boleh ada batasan?” kata Anwar dipetik The Malaysian Insider pada majlis itu.
Lebih mengejutkan, Anwar menyakinkan audiens di gereja bahawa isu kalimah Allah bukan soal keimanan atau kepercayaan – kenyataan yang tidak pernah diucapkan beliau apabila berucap di hadapan orang Melayu sebelum ini.
Namun, Anwar susuli kenyataan keras itu dengan kata-kata selamat: “Kalau ia mengenai keimanan, maka pendirian mereka (UMNO) mesti menyeluruh. Tetapi dalam kes ini mereka mengatakan Sabah dan Sarawak boleh menggunakan perkataan itu (Allah) tetapi tidak di Semenanjung,” kata Anwar dan disambut sorakan kuat audiens.
Mungkin sorakan itulah yang dimaksudkan The Malaysian Insider apabila meletakkan tajuk “Anwar impresses congregation during visit to Holy Family church in Kajang.”
Persoalannya, kalau Anwar mempersoalkan pendirian bulat pemerintah dalam isu kalimah Allah, apa pula pendirian Pakatan Rakyat? Bukankah itu isu pokok yang sepatutnya dijelaskan oleh beliau dalam majlis tersebut? Jika itu penjelasan itu yang dimahukan oleh 1,200 penganut Kristian pada majlis itu, mereka tentunya kecewa.
Ironinya, Anwar hadir ke gereja itu tanpa kelibat pemimpin Pas – parti sekutu PR yang akhir-akhir ini menampakkan sisi berbeza dalam isu kalimah Allah walaupun pada kempen PRU-13 mengambil pendirian bersama untuk menyokong saranan DAP supaya kalimah itu dibenarkan digunakan oleh bukan Islam.
Mursyidul Am Pas, Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat baru-baru ini dilaporkan membuat ‘pusingan U’ apabila menyatakan bahawa kalimah Allah hanya untuk umat Islam sekaligus memberi tamparan hebat kepada Anwar dan kepimpinan DAP. Rata-rata pemimpin Pas yang lain lebih gemar menutup mulut.
Namun, perkara itu tidak disebut Anwar dalam majlis tersebut. Anwar juga tidak menyebut pendirian Dewan Ulama Pas yang sejak awal lagi tidak setuju dengan pendirian beliau dan DAP dalam isu kalimah Allah.
Jika Anwar yang mahu diangkat sebagai Perdana Menteri ketujuh tidak mampu menyakinkan Pas sebagai parti sekutunya, bagaimana beliau mahu menyakinkan publik termasuk penganut Kristian dalam isu tersebut? Adakah sudah memadai untuk sekadar berkata: “Kita ada pendirian yang jitu. Kami (PR) sentisa bersama anda untuk menentang politik perkauman?.”
Paling tidak pun, Anwar sewajarnya mengambil peluang pada majlis itu untuk menyampaikan keluh kesah umat Islam terhadap gerakan-gerakan Kritianisasi yang dikesan berlaku sejak kebelakangan ini, isu yang sebenarnya turut melatari polemik isu kalimah Allah.
Bukankah akan menjadi lebih hebat jika Anwar selaku bekas pemimpin Angkatan Belia Islam (ABIM) memainkan peranan dakwah untuk menjelaskan kepada penganut Kristian betapa umat Islam sebagai golongan majoriti negara ini mahu hak dan kepentingan mereka terjaga dan pada masa sama tidak meminggirkan hak bukan Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Namun, ia tidak berlaku kerana itu mungkin bukan niat Anwar untuk datang dan berucap ke gereja. Beliau datang ke majlis itu sebagai calon pilihan raya kecil DUN Kajang yang memungkinkan beliau diangkat sebagai Menteri Besar Selangor yang baru. Tidak kelihatan ia lebih dari itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan