Rabu, 19 Februari 2014

Perkasa Selangor gesa Tony Pua dikenakan tindakan kenyataan di Facebook

tonypua_kajang_300_200_100KUALA LUMPUR – Perkasa Selangor menggesa siasatan dan tindakan dikenakan terhadap pengerusi DAP Selangor Tony Pua (gambar) atas kenyataan yang didakwa berbaur sindiran di Facebook terhadap keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan melarang umat Islam menyambut Hari Kekasih baru-baru ini.
Yang Dipertuanya Abu Bakar Yahya berkata kenyataan Pua itu boleh mencetuskan kemarahan dan seolah-olah satu cubaan provokasi terhadap umat Islam di negara ini.
“Setelah membaca dalam blog dan Facebook, tindakan ini jika benar seperti yang dimaksudkan oleh pihak yang terlibat, ia merupakan satu penghinaan kepada umat Islam.
“Kami tidak boleh berdiam diri kerana ini boleh menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini terutamanya agama Islam,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.
Melalui laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini, Pua membuat kenyataan yang didakwa menyentuh larangan pihak berkuasa agama Islam di negara ini yang mengisytiharkan sambutan Hari Kekasih sebagai haram.
Abu Bakar berkata pihaknya juga kesal dengan kenyataan Pua yang seolah-olah mempersenda peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kami berharap Pua tidak campur tangan dalam hal agama kami dan kami tidak pernah menghina malah menghormati agama lain. Negara kita sudah merdeka berpuluh tahun kenapa tiada masalah sebelum ini.” soal beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan