Isnin, 6 Januari 2014

Pekebun tewaskan ular sawa batik seberat 130kg

image
Samuri (kanan) menunjukkan ular sawa batik seberat 130kg yang berjaya ditangkapnya di Kampung Gelang Chinchin, semalam
SEGAMAT – Seorang pekebun di Kampung Gelang Chincin, di sini terkejut apabila menjumpai seekor ular sawa sepanjang lebih 7 meter dan seberat 130 kilogram (kg) sewaktu membersihkan kebunnya, semalam.
Pekebun berkenaan, Samuri Pardi, 50, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 12 tengahari itu, dia sedang membersihkan dusun durian miliknya yang terletak kira-kira 50 meter daripada kawasan rumahnya.
“Ketika sedang menebas semak samun di kawasan kebun, saya terdengar bunyi daun dan ranting bergesel seperti orang berjalan dan saya ingatkan pak cik saya yang tinggal bersebelahan rumah saya yang datang kerana dia juga sering ke kebun tersebut.
“Sebaik saya menoleh ke arah bunyi tersebut, baru saya sedar terdapat seekor ular sawa besar berhampiran tempat saya berdiri dan ini merupakan kali pertama saya jumpa ular sawa sebesar ini. Biasanya yang saya jumpa dalam 50kg sahaja,” katanya.
Terkejut melihat keadaan ini, Samuri segera menghubungi seorang rakannya yang tinggal di kampung tersebut untuk membantunya menangkap ular berkenaan memandangkan dia juga seorang penangkap ular mahir.
Menurutnya, dengan berbekalkan seutas tali dan sekarung guni, Samuri dan rakannya itu terpaksa mengambil masa kira-kira setengah jam untuk menangkap ular tersebut sebelum mengikatnya di batang pokok kelapa di halaman rumahnya.
“Ular ini bertindak agresif pada awalnya mungkin kerana lapar dan dengan tertangkapnya ular ini menjawab persoalan kehilangan binatang ternakan penduduk kampung di sini terutamanya pada waktu malam.
“Memang di bawah kebun saya ini kawasan paya dan saya juga sering kali menangkap dan terjumpa ular di kawasan ini. Tapi ini kali pertama saya terjumpa ular sawa sebesar ini,” katanya.
Menurutnya, ular tersebut juga menjadi tumpuan penduduk kampung yang lalu-lalang di hadapan rumahnya sebelum Ketua Kampung Gelang Chinchin, Salleh Mohamad, 56, menghubungi pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah Segamat bagi memaklumkan penemuan ular tersebut.
Sementara itu Pegawai JPAM Segamat, Staf Muda Mohd Nazlan Ruslan berkata, beliau mengarahkan lapan anggotanya untuk ke kawasan tersebut selepas menerima panggilan pada jam 1 petang dan memuji tindakan berani Samuri itu.
“Ular sawa batik itu reptilia pertama dan terbesar yang ditangkap pada tahun ini. Mujur ular tersebut tidak bertindak agresif sehingga mencederakan si penangkapnya,” katanya. – SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan