SHAH ALAM: Kepentingan Islam mesti dipertahankan seperti dalam isu larangan penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam di Selangor walaupun dalam perjuangan politik, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar.
Beliau berkata bahkan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib berkata PAS bersatu di bawah Pakatan Rakyat (PR) hanya berkaitan politik tetapi tidak dalam urusan agama dan tiada kompromi tentang hukum-hakam dan Islam.
“Justeru rakyat perlu melihat perkara ini dengan lebih jelas kerana apa jua yang diperjuangkan di dalam politik kita mesti mempertahankan juga agama, ” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Isnin.
Noh juga berkata Umno Selangor melihat DAP Selangor sudah mula besar kepala apabila memberi cadangan untuk mengubah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.
“Mereka melihat isu ini boleh menguntungkan mereka dari segi politik tanpa memikirkan impikasi daripada cadangan mereka itu,” katanya.
Beliau berkata DAP tidak merasa malu untuk mendesak pindaan enakmen itu kerana mereka memperjuangkan kepentingan agama bukan Islam di Selangor dan merasakan PR mempunyai suara majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri. Umno Selangor melihat usaha yang dilakukan oleh DAP campur tangan dalam hal ehwal agama Islam menunjukkan bagaimana mereka cuba menghapuskan penguasaan agama Islam di Selangor secara praktikal, katanya.
Noh berkata Umno Selangor juga kesal dengan kenyataan Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor, Salehen Mukhyi kelmarin untuk mengadakan perjumpaan dengan Pengarang Majalah Mingguan Katolik “The Herald” Paderi Lawrence Andrew.
“Sebagai seorang Exco Agama beliau perlu tegas dan mematuhi titah perintah DYMM Sultan Selangor dan mempertahankan tindakan yang dilakukan oleh JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor). Soal siapa yang bersalah biar mahkamah yang menentukan,” katanya.
Beliau berkata Andrew harus sensitif dan faham undang-undang beragama di Selangor dan jangan menggunakan alasan tidak memahami undang-undang sebagai satu alasan untuk melanggar undang-undang.
Paderi itu seharusnya mematuhi titah perintah Sultan Selangor dan isu kalimah Allah juga telah menjadi kes di mahkamah, katanya.
Pada masa yang sama, Noh berkata Umno Selangor akan terus memantau perkembangan isu ini dan mahukan pihak berkuasa supaya jangan sekali-kali tunduk terhadap desakan pihak-pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat kedudukan Islam di Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan